PERBAHASAN USUL PENGUNTUKAN SEMULA PERUNTUKAN PERBELANJAAN TAHUN 2009
OLEH DATO’SERI ANWAR IBRAHIM
KETUA PEMBANGKANG
PADA 24 JUN 2009
VERSI HANSARD
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Saya bangun untuk menyatakan pada prinsipnya sokongan terhadap usaha Kementerian Kewangan untuk mengalihkan dan memindahkan peruntukan berdasarkan perubahan jabatan dan kementerian yang diumumkan oleh Perdana Menteri. Walau bagaimanapun, ada beberapa pertimbangan serius yang harus kita berikan.
Kita semua akui dan negara hadapi kemelut ekonomi dan walaupun ada beberapa pengakuan seperti yang dibuat oleh Yang Berhormat Pasir Salak, bahawa keadaan lebih baik setelah pakej rangsangan diumumkan, kenyataan itu tidak begitu. Ini diakui oleh Yang Amat Berhormat Menteri Kewangan bahawa penguncupan lebih parah daripada sebelum pengumuman Pakej Rangsangan. Baik yang pertama atau yang kedua. Mungkin bukan semuanya berpunca dari faktor domestik, tetapi kenyataannya dengan pengaruh permintaan yang sangat berkurangan, ia amat membimbangkan.
Ada beberapa perkara yang harus diberikan perhatian oleh Kementerian Kewangan dalam keadaan kita menghadapi kemelut sekarang. Pertama, peruntukan yang diberi kepada negeri-negeri jelas menunjukkan sikap dendam kesumat masih berterusan. Walaupun Perdana Menteri menyebut Satu Malaysia, dan rakan-rakan daripada Ahli Yang Berhormat Barisan Nasional minta kita supaya memberi sambutan yang positif, saya hendak beritahu bahawa laungan slogan ini, slogan murahan yang tidak dituruti dengan amal.
Saya beri contoh, mengikut peruntukan per kapita mengikut negeri-negeri, negeri-negeri yang terbawah peruntukan, paling rendah ialah Pulau Pinang, kedua rendahnya Kedah, ketiga rendahnya Kelantan, keempat Selangor, kelima Perak. Negeri-negeri Pakatan Rakyat duduk di tahap paling rendah dari segi peruntukan Kerajaan Persekutuan. Apa alasan boleh diberikan? Terutama bagi negeri yang miskin seperti Kelantan dan Kedah, diparas yang begitu rendah peruntukan walaupun yang diuar-uarkan itu Satu Malaysia. Perak kerana semasa mereka merangka, mereka fikir mereka masih belum
berjaya menawan, maka Perak daripada segi peruntukan per kapita - 230, Selangor - 221, Kelantan - 179, Kedah - 172 dan Pulau Pinang - 119.
Mengapa harus dihukum rakyat begitu rupa? Saya tidak menafikan keperluan kita menambah peruntukan negeri-negeri terutama negeri-negeri yang miskin. Terengganu, mahupun kawasan Pahang, Sabah dan Sarawak. Akan tetapi dasar yang jelas tidak telus dan menunjukkan dasar yang discriminative, gunalah KPI apa pun yang telah diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, KPI apa? Kalau kerangka dasar itu sendiri tidak menunjukkan kita mengambil sikap yang telus dan adil.
Jadi, ketika kita bicarakan soal pemindahan penguntukan semula peruntukan perbelanjaan, kita harus mengambil kira beberapa salah laku, tindakan discriminative yang dilakukan terus menerus. Kalau kita bandingkan dengan sebelumnya, ini tidak pernah berlaku begini. Corak perubahan peruntukan ini hanya berlaku setelah rakyat memilih Pakatan Rakyat di negeri-negeri berkenaan.
Saya harap Kementerian Kewangan dapat meneliti dan memperbaiki kerana zalim kita untuk menghukum rakyat semata-mata kerana mengambil keputusan dan kebijaksanaan memilih parti atau calon yang mereka dukung. Semua yang memilih Pakatan Rakyat atau UMNO Barisan Nasional dikenakan dengan sistem percukaian yang sama. Maka peruntukan itu harus lebih telus dan adil.
Continue reading ‘Perbahasan Usul Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan Tahun 2009.’
Komen Terkini