Cadangan Pengharaman Buku 13 Mei Cabuli Kebebasan Bersuara

18 May 2007

Pendapat

Pendapat Anda?

Cadangan pengharaman buku May 13 Declassified Documents on the Racial Riots of 1969 mencabuli kebebasan bersuara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Di dalam era di mana maklumat tersebar secara bebas, dan kebebasan Perlembagaan mesti dihormati dan bukan dicabuli, undang-undang dan peraturan yang memberi kuasa kepada kerajaan untuk menyekat penerbitan mestilah digunakan hanya dalam keadaan-keadaan yang cukup luar biasa.

Buku tersebut mungkin mengundang kontroversi, tetapi sekiranya kerajaan tidak bersetuju dengan isu-isu yang dibangkitkan, kerajaan sepatutnya menyanggah isu-isu tersebut dengan cara yang terbuka dan telus. Sebagaimana isu-isu berkaitan agama, kerajaan tidak boleh menggunakan tindakan keras untuk menutup perbincangan awam secara berterusan. Ini tidak termasuk hakikat bahawa menyekat buku tersebut akan secara langsung meningkatkan nilainya dan menaikkan keinginan pembaca. Lebih penting lagi, pengharaman buku ini akan memperkukuhkan lagi tesis bahawa rusuhan 13 Mei tersebut sememangnya disebabkan oleh rampasan kuasa yang dirancang pimpinan tertentu untuk menjatuhkan Tunku Abdul Rahman.

Secara peribadi, saya menganggap buku ini sebagai proses untuk memberi penjelasan kepada rusuhan perkauman 13 Mei yang selepas hampir empat dekad terus dibincangkan secara senyap memandangkan tiada jawapan muktamad yang diberi oleh pihak berkuasa. Sememangnya akan wujud perbezaan pendapat berkenaan kejadian tragis di dalam sejarah kita dan saya menyeru rakyat Malaysia untuk mempunyai pemikiran terbuka di dalam perbincangan ini dan terus menghormati sensitiviti semua kaum.

ANWAR IBRAHIM

Pendapat Anda

Switch to our mobile site