Anwar: Belum terlambat runding pertembungan calon di S’wak

27 April 2016

Pendapat

Pendapat Anda?

Malaysiakini- Kow Wah Chie (26 April 2016)

Bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia belum terlambat untuk PKR dan DAP berunding mengenai pertembungan calon kedua parti itu dalam pilihan raya negeri Sarawak.

Dalam perkembangan yang sama, beliau turut melahirkan rasa kesal bahawa calon sekutu Pakatan Harapan terbabit dalam pertembungan sesama sendiri.

Anwar bagaimanapun menyeru mereka supaya terus bekerjasama bagi memastikan kemenangan.

“Saya kesal (ini berlaku dalam pilihan raya Sarawak),” kata Anwar ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Beliau ditanya mengenai pertembungan antara calon PKR dan DAP di enam kerusi dalam pilihan raya negeri Sarawak pada 7 Mei ini.

“Buat masa ini, saya mahu mereka terus bekerjasama untuk memastikan Pakatan Harapan menang.

“Masih ada masa bagi mereka untuk cuba berunding. Itulah yang terbaik,” katanya.

Calon PKR dan DAP akan bertembung di kerusi Mulu, Murum, Simanggang, Mambong, Ngemah dan Batu Kitang.

Anwar hadir di mahkamah hari ini untuk memohon kebenaran daripada Mahkamah Tinggi bagi merujuk kepada Mahkamah Persekutuan mengenai isu itu sama ada keengganan Lembaga Pengampunan untuk memberi keampunan kepadanya atas sabitan kesalahan liwat, boleh dicabar.

Pendapat Anda

Switch to our mobile site