KENYATAAN MEDIA: Janji Mewujudkan 3.3 Juta Peluang Pekerjaan Baru Dalam Manifesto BN Tidak Realistik

9 April 2013

Pendapat

Pendapat Anda?

Salah satu janji utama yang dimuatkan di dalam Manifesto BN adalah untuk mewujudkan sejumlah 3.3 juta peluang pekerjaan dengan sasaran 2 juta peluang pekerjaan berpendapatan tinggi. Tawaran peluang pekerjaan ini menjadi antara tawaran ekonomi paling utama di dalam Manifesto BN kepada rakyat Malaysia.

Sebelum ini, Barisan Nasional selalu ghairah menuduh bahawa program ekonomi yang dibawa oleh Pakatan Rakyat sebagai tidak realistik, walaupun mereka tidak berkemampuan untuk menyanggah pembentangan angka-angka yang dibawa oleh Pakatan Rakyat.

Untuk menyuburkan amalan demokrasi dan persaingan dasar menjelang PRU13 ini, KEADILAN mengambil langkah membandingkan janji-janji di dalam Manifesto BN dengan rekod pencapaian mereka setakat ini, untuk menilai sama ada janji yang dibawa itu benar-benar boleh ditepati seperti yang selalu dilaungkan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Setiap tahun, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri menerbitkan jumlah pekerjaan keseluruhan dan guna tenaga buruh rasmi di dalam negara kita. Angka ini adalah tepat untuk menganggarkan jumlah pekerjaan baru yang dihasilkan setiap tahun.

Perangkaan Unit Perancang Ekonomi[1] menunjukkan bahawa Barisan Nasional hanya berjaya mewujudkan sekitar purata 300,000 pekerjaan baru sahaja setiap tahun sejak Dato’ Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri, seperti berikut:

 

Tahun

Jumlah Pekerjaan

Bilangan Pekerjaan Baru

2009

11.6 juta

 

2010

11.9 juta

300,000

2011

12.2 juta

300,000

2012

12.5 juta

300,000

 

Untuk mewujudkan 3.3 juta peluang pekerjaan baru seperti yang dijanjikan di dalam Manifesto BN, ini bermakna Dato’ Seri Najib Tun Razak perlu menambah pekerjaan sebanyak 650,000 setahun secara purata, iaitu lebih dari satu kali ganda dari jumlah sedia ada.

Angka ini tidak munasabah, terutamanya apabila tidak ada apa-apa rancangan di pihak Barisan Nasional untuk mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing seperti yang dicadangkan oleh Pakatan Rakyat. Di dalam Manifesto Rakyat, Pakatan Rakyat mensasarkan untuk mewujudkan tambahan 1 juta peluang pekerjaan baru dengan tumpuan khusus untuk mengurangkan pekerja asing dan melatih pelajar lepasan SPM, bagi mengelakkan pengangguran di kalangan mereka.

Saya mohon Dato’ Seri Najib Tun Razak mempertahankan angka 650,000 peluang pekerjaan baru setiap tahun yang dijanjikannya, apabila jelas rekodnya dalam mewujudkan peluang pekerjaan tidak ditepati.

 

RAFIZI RAMLI

Pengarah Strategi

Ahli Jawatankuasa Dasar dan Manifesto Pakatan Rakyat

Pendapat Anda

Switch to our mobile site