Arkib Tahun 2012

6 December 2012

Pendapat

Pendapat Anda?

Habibie dan Almarhum Ainun dua nama yang cukup rapat dengan saya dan Azizah. Berkenalan semasa saya masih di dalam kerajaan, Habibie telah memainkan peranan besar sebagai Presiden Indonesia, mengecam kezaliman dan penganiayaan yang dilakukan ke atas saya dan keluarga lebih 14 tahun lalu. Seumur hidup, saya dan keluarga terhutang budi pada beliau.

Minggu ini, Habibie hadir di Malaysia sebagai tetamu kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor. Amat bertuah apabila kita dapat menimba ilmu berharga daripada sosok ini – yang bilamana di saat genting Reformasi 1998 di Indonesia, Habibie telah berjaya menjernihkan suasana dan menjayakan transisi demokrasi. Keamanan dikembalikan dan pendemokrasian Indonesia itu terlaksana tanpa perlunya campurtangan kuasa asing.

Saya baru – baru ini di atas undangan Habibie Center telah meluncurkan buku terbaru; Democracy Takeoff : The B.J Habibie Period – merupakan satu koleksi penulisan yang mengamati perkembangan politik, ekonomi dan sosial ketika kepimpinan Habibie sebagai Presiden (pasca Reformasi 1998). Beliau selaku pemimpin yang berjiwa besar dan punya kesedaran tinggi akan aspirasi rakyat ketika itu – tuntas telah melakukan reformasi menyeluruh ke atas asas – asas demokrasi pasca pemerintahan Suharto; menghapuskan segala hambatan demi menegakkan prinsip keadilan, kebebasan dan dasar kepeduliaan kepada rakyat. Hari ini, Indonesia, mara sebagai negara di rantau ini yang unggul, bebas, demokratik dan pesat membangun.

Pengalaman Habibie harus menjadi pedoman kepada kita semua – untuk negara kita maju ke hadapan – pastinya segala hambatan harus direbahkan dan Reformasi wajib ditegakkan.

Terima kasih buat Habibie.  

ANWAR IBRAHIM
4 petang, Kuala Lumpur – Permatang Pauh

6 December 2012

Pendapat

Pendapat Anda?

Harakah
Oleh Abd Shuku Harun

Presiden Ketiga Indonesia, B.J. Habibie yang kini berada di Malaysia memenuhi beberapa undangan untuk menyampaikan ceramah adalah antara tokoh pemimpin terhebat di rantau ini.

Beberapa hari lalu, beliau menyampaikan ceramah di Pulau Pinang dan esok (Khamis) akan menyampaikan pidatonya di Dewan Pro Canselor Unisel, Shah Alam.

Beliau memberi fokus ceramahnya mengenai transisi Indonesia ke dunia demokrasi iaitu sesuai dengan peranan beliau mengubah Indonesia menjadi negara demokrasi.

Nama penuhnya Bacharuddin Jusuf Habibie adalah presiden ketiga Republik Indonesia. Lahir di Pare-Pare, Sulawesi Selatan, pada 25 Jun 1936.

Bayangkan, dalam tempoh singkat memegang jawatan Presiden Indonesia – 21 Mei 1998 hingga 20 Oktober 1999 – beliau telah berjaya membuka gerbang demokrasi seluas-luasnya di negara 240 juta rakyat itu.

Ini tentunya sangat luar biasa, justru beliau digelar sebagai Guru Demokrasi di rantau ini.

Walaupun dalam masa yang singkat sebagai presiden, namun B.J. Habibie telah:

1) Memberi kebebasan pada rakyat untuk menyalurkan aspirasi mereka sehingga banyak bermunculan partai-partai politik baru yakni sebanyak 48 partai politik.

2) Membebaskan tahanan politik dari NGO (Napol) seperti Sri Bintang Pamungkas dan Mochtar Pakpahan.

3) Mencabut larangan berdirinya pertubuhan buruh independen.

4) Membentuk tiga undang-undang yang demokratik iaitu:

1. UU No. 2 tahun 1999 tentang Partai Politik

2. UU No. 3 tahun 1999 tentang Pemilu

3. UU No. 4 tahun 1999 mengenai Susunan Kedudukan DPR/MPR.

Di bawah kepemimpinan Habibie, Indonesia memilih demokrasi sebagai jalan hidup berbangsa dan bernegara.

Habibie sebagai pembuka sejarah perjalanan bangsa Indonesia pada era reformasi dengan melakukan sejumlah perubahan mendasar bagi penegakan demokrasi dan keterbukaan politik.
Pilihan raya umum tahun 1999 tercatat sebagai pilihan raya umum paling demokratik yang pertama setelah pilihan raya umum 1955.

Media

Presiden Habibie juga membuka seluas-luasnya kebebasan bersuara, khususnya media.

Keterbukaan politik di masa pemerintahan BJ Habibie juga diiringi dengan sejumlah usaha pemulihan (recovery) ekonomi.

Pemerintahannya berhasil menekan laju turunnya inflasi dan krisis kewangan dunia berbanding saat awal krisis ekonomi muncul.

Kejayaan Habibie yang juga terserlah ialah menempatkan Bank Indonesia dalam kedudukan yang bebas dari kawalan pemerintah.

Sikap beliau sangat terbuka dalam berbicara, mesra dalam bergaul dan ia seorang liberal kerana kehidupan dan pendidikannya yang lama di dunia Barat.

Beliau mendapat pendidikan awal hingga menengah atas di tanah airnya dan kemudian melanjurkan pelajaran di bidang kejuruteraan kapalterbang di Jerman dan lama beliau menetap di sana.

B.J. Habibie berundur dari kerusi presiden setelah Ucapan Pertanggungjawabannya ditolak oleh MPR (Majlis Perunding Rakyat Sementara – Parlimen).

Kesilapan beliau, kalau boleh dikatakan kesilapan, ialah semasa pemerintahannya, beliau telah ‘membebaskan’ Irian Jaya dari wilayah Indonesia, tetapi tentu Habibie mempunyai sebab tertentu mengapa beliau berbuat demikian.

Bagaimanapun, jiwa besar dan keterbukaan Habibie terlihat jelas di mana beliau masih boleh tersenyum dan mesra dengan ahli-ahli politik MPR yang tidak menyokong Ucapan Pertanggungjawabannya itu menyebabkan beliau meletakkan jawatan.

Dalam buku memoernya ‘Detik-Detik Yang Menentukan – Jalan Panjang Indonesia menuju demokrasi, bekas pemimpin Parti Keadilan Sejahtera (PKS), Hidayat Nur Wahid menyebut:

“Tokoh ini yang dengan reformasi berubah dari wakil presiden menjadi presiden dan kemudian meninggalkan kerusi keperisedenannya dengan bibir tersenyum dan kepala tegak. Semuanya berlaku secara damai, tanpa setitis darahpun yang tumpah. Kemudian beliau membuka pintu seluas-luasnya untuk para pemimpin menerusnya agar dapat mengisi momentum yang ada lebih berjaya.”

Buku memoer B.J. Habibie itu ditulis berdasarkan catatan harian beliau dengan ulasan pelbagai media dan tokoh. Bukunya itu seolah-olah sebagai rakaman ulang sebuah realiti politik yang amat gawat di saat itu.

Meskipun demikian kelembutan dan di tengah ketegasan sikapnya, seorang putera bangsa terbaik bernama B.J. Habibie itu sangat jelas tergambar dalam bukunya itu.

Khamis ini tokoh besar demokrasi di nusantara itu dijangka akan bercakap di Shah Alam mengenai demokrasi dan bagaimana rakyat Indonesia bertuah menikmatinya.

Umpamanya dalam Pemilu (Pilihan Raya Presiden) 2004, 2009 di mana saya turut menyaksikannya terlihat jelas bahawa pilihan raya itu benar-benar sebagai pesta demokrasi.

Tidak ada kekerasan, fitnah dan tuduhan melalu, elemen-elemen rasis dan seumpamanya. Ia berjalan lancar, telus, ceria dan penuh demokratik.

Bagi rakyat Indonesia, semuanya ini adalah hasil usaha B.J. Habibie justru beliaulah yang membuka pintu gerbang demokrasi seluas-luasnya di negaranya. Dalam masa yang sama beliau mengembalikan semula harga diri dan hak asasi anak bangsanya.

Negara-negara yang belum menikmati erti demokrasi sepenuhnya, terutama di rantau ini, sewajarnyalah meneladani kepimpinan B.J. Habibie.

6 December 2012

Pendapat

Pendapat Anda?

Sinar Harian

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa insiden serangan ketika ceramah Jelajah Merdeka Rakyat di Gombak, Selangor malam tadi membuktikan akan timbul huru hara apabila ada pihak tidak boleh menerima kekalahan jika Pakatan Rakyat (PR) memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Sehubungan itu soal beliau, apakah faedah diperoleh oleh musuh politik dengan menyerang ceramah-ceramah anjuran PR.

“Sudah jelas dan nyata siapa yang akan buat huru hara apabila kalah pada PRU13 nanti. Ada keuntungankah menyerang ceramah Pakatan Rakyat?” kata beliau mesej dipaparkan pada laman sosial Facebooknya petang ini.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, “moga ALLAH berbuat apa yang sepatutnya sama ada memberi hidayah ataupun turunkan bala setimpal apa yang telah dilakukan mereka beserta dengan sekutu-sekutu mereka.”

Dalam pada itu, Bernama melaporkan polis akan memanggil saksi bagi mendapatkan keterangan berhubung pergaduhan penyokong dua parti politik semasa ceramah umum pemimpin pembangkang di tanah lapang di Batu 8 1/2, Gombak malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Supt Rosly Hassan berkata polis mempunyai rakaman video berhubung kejadian itu yang berlaku pada pukul 9.30 malam yang menyebabkan dua lelaki berusia 37 tahun cedera di dahi dan bahu dipercayai akibat terkena objek yang dibaling seperti batu dan botol air.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana memiliki senjata bahaya dalam rusuhan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, kekecohan dikatakan berlaku apabila kira-kira 250 lelaki tidak berpuas hati kerana ceramah yang turut dihadiri Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim diadakan di kawasan berhampiran kediaman mereka.

“Kedua-dua mangsa dirawat di Hospital Selayang dan Hospital Kuala Lumpur sebagai pesakit luar dan polis telah merakamkan keterangan kedua-dua mangsa bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media hari ini.

Mengenai notis untuk mengadakan ceramah, Rosly berkata pihak penganjur gagal mematuhi Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman yang mensyaratkan notis diberi dalam tempoh 10 hari kepada polis dan bukan hanya lapan hari.

Sementara itu Pemuda Umno Gombak menafikan mereka memulakan provokasi sehingga menyebabkan kedua-dua pihak saling membaling objek seperti botol dan batu ke arah satu sama lain.

Ketua Pemudanya Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, penduduk membantah secara aman ceramah itu kerana ia diadakan di kawasan mereka, tanpa berniat mencetuskan pergaduhan.

Naib Presiden PKR, Tian Chua ketika dihubungi melahirkan rasa kesal dengan kejadian itu dan mengalu-alukan siasatan polis.

6 December 2012

Pendapat

Pendapat Anda?

6 December 2012

Pendapat

Pendapat Anda?

5 December 2012

Pendapat

Pendapat Anda?

Dari Blog Sharpshooter

Rakyat wajib ajar dan tolak budaya samseng puak-puak umporno dan b-end pada PRU 13 akan datang. Mereka ibarat lembu yang akan disembelih….Batu sebesar ini dilemparkan oleh samseng umporno…

Puak-puak upahan/samseng umporno/b-end datang membuat kacau dengan membaling batu dan objek keras ke atas orang ramai di tapak ceramah merdeka rakyat di gombak! seorang pendengar ceramah telah ditikam di bahu beliau!

Ketua cawangan PAS Air Panas, Gombak cedera dikepala selepas terkena balingan pasu. InsyaAllah esok, laporan polis akan dibuat. Kami akan dedahkan lebih banyak bukti. Terus bersama kami. Hancur samseng lembu umporno

 

Kesan darah pada baju mangsa lantaran kesamsengan Umno
Cedera di bahu.

5 December 2012

Pendapat

Pendapat Anda?

6 Disember 2012 (Khamis) – Kedah

1) 5.00 ptg – Dewan Karturaja, Paya Besar (DUN – Lunas, P- Padang Serai)

2) 7.00 mlm – Solat & Tazkirah Maghrib
Lokasi: Surau Taman Angsana, Kulim

3) 8.30 – 12.00 mlm – Ceramah Perdana (P- Kulim Bandar Baharu)
Lokasi: Dewan Masyarakat Tionghua, Serdang,

4) 9.00-12.00 mlm – Ceramah Perdana Merdeka Rakyat (P-Padang Serai)
Lokasi: Padang Taman Kuchai, Paya Besar, Lunas

5) Barisan Penceramah:
i. YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim
ii. YB Datuk Saifuddin Nasution
iii. YB Datuk Fakhrol Radzi Zawawi
iv. YBhg Datuk Wan Salleh Wan Isa
v. YBhg N Surendran
vi. YB Hee Loy Siang
vii. YB Chang Li Kang
viii. YB Husin Yaakob

7 Disember 2012 (Jumaat) – Perlis & Kedah

1) 2.00 ptg – Majlis Kesyukuran & Jamuan Makan (DUN Chuping)
Lokasi: Rumah Asri Che Abdullah, A64 Blok 5, Felda Chuping, Perlis.

2) 4.00 ptg – Ceramah di Pusat Khidmat Kor Chu Liang, Repoh, Kangar
(DUN-Sena, P- Kangar)

3) 8.00 mlm – Ceramah -Bilik Gerakan PKR DUN Pedu, Pekan Naka, Kedah

4) 8.30 – 12.00 mlm – HIMPUNAN KEBANGKITAN RAKYAT KEDAH

Lokasi: Stadium Sultan Abdul Halim, Jalan Suka Menanti,
Alor Setar, Kedah

5) Barisan Pemidato:

i. YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim
ii. YB Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
iii. YB Lim Kit Siang
iv. Pimpinan Pakatan Rakyat Kedah
v. Pimpinan NGO

4 December 2012

Pendapat

Pendapat Anda?

Dari JalanTelawi.com

Oleh Hasmi Hashim

Adapun gagasan pencerahan itu, buah fikir serta segala cita-cita pembaharuan yang tersandar kepadanya, sudah terasa berbenih sejak sebelum kemerdekaan Tanah Melayu lagi. Hanya, dalam setiap zaman, cita-cita berkenaan perlu diberi bahasa baharu di atas penelitian persoalan-persoalan semasa yang tentu sahaja sudah banyak beza dengan zaman-zaman sebelumnya.

Dan, tidaklah dapat ditemukan tapak persoalan sama berhubung soal tatanegara seandainya tidak diperakui bahawa politik dan kekuasaan perlu akhirnya bermatlamat membangun tamadun. Politik bukan cuma soal jadi penguasa dan pemerintah. Huraian mengenainya telah berkali-kali saya nyatakan sebelum sampai ke forum ini sekalipun. Terbaharu adalah dengan tajuk “Mencari Kili Suci” yang terbit dalam portalJalantelawi.com; bahawa begitu dalam banyak kes, batu penghalang kepada tujuan mengeluarkan manusia daripada “ketidakmatangan yang ditanggungnya sendiri” adalah datangnya daripada agamawan, institusi agama, yang keduanya telah bersekongkol dengan kekuasaan yang korup.[1]

Sepanjang sejarah dunia ini, tidakkah telah menyaksikan banyak raja-raja dan penguasa yang tak berguna, yang kemudiannya hanya meruntuhkan tamadun bangsa sendiri? Sementara seperti ungkapan seorang penulis di Era Pencerahan Eropah, Diderot berkata “filasuf mengkritik keras paderi, begitu juga sebaliknya. Namun filasuf tidak pernah membunuh seorang paderi pun tetapi paderi telah membunuh ramai filasuf”. Ibnu Khaldun, di dalam Mukadimah menyebutkan, simtom-simtom kehancuran itu berada pada “tahap yang kelima”.

Apa yang berlaku pada tahap berkenaan ialah pemegang tampuk pemerintahan mula suka berfoya-foya—membelanjakan kekayaan yang telah dikumpul oleh para pendahulunya dengan cara berlebih-lebihan untuk golongan bangsawan. Dia juga mengambil orang bawahannya yang berwatak jahat untuk melakukan tugas-tugas penting. Sementara sifat orang-orang yang diambil bekerja itu tidak mengetahui apa yang perlu dilakukannya.[2]

Demikian, secara keseluruhan Mukadimah oleh Ibnu Khaldun tidak lain adalah huraian panjang lebar akan keperluan dan cabaran kalamana kekuasaan-politik dilihat sebagai alat membangun tamadun. Tanpa kesedaran sesederhana itu, maka perebutan jawatan tak lain hanyalah perihal politik sempit peribadi-peribadi. Politik jenis ini akan hanya ibarat kata petuah, si kudung dapat cincin; tidak dia tahu untuk apa cincin kerana dia kudung; dan tak berguna pula kuasa kepadanya selain hanya untuk bermegah-megah.

Lantas apabila disebut akan istilah “Pencerahan”, maka paling tinggi sekalipun akan dikaitkan dengan Zaman Enlightenment di Eropah yang tercetus abad delapan-belas. Begitu pula ada orang-orang yang malas, lemah atau tak cermat berfikir pernah mengaitkan slogan “Reformasi” dengan gerakan Protestant Reformation di dalam agama Kristian sepertimana yang dibawa Martin Luther pada abad ke-16. Semua ini adalah tafsiran buram.

Kerajaan Pulau Pinang [sama seperti kerajaan negeri Selangor, Kedah dan Kelantan] bolehlah ditandakan sebagai “Kerajaan Reformasi”. Kerajaan-kerajaan ini adalah Pemerintah yang terbentuk daripada selusur jejak Reformasi 1998”; sama ada aktivisnya, pemimpin pelbagai peringkat; bahkan persoalan dan dasar yang dibawa tak lain adalah terkepal sebermula peristiwa “September 1998”. Demikian, selepas empat tahun berdirinya kerajaan-kerajaan empat negeri itu, maka elok juga diukur sejauh mana pembesar-pembesarnya betul-betul faham apa arti dan tujuan-tujuan reformasipembaharuan atauislah (?) yang nampaknya tak difahami dan gagal dirungkai oleh rejim sebelum mereka. Jalan pintas yang dilakukan oleh pewaris rejim itu ialah melabel-semula dengan bungkusan baru seperti penggunaan istilah “tranformasi” yang tipis pengertian.

Sering ditanya, apakah matlamat agung politik-perubahan yang hendak dibawa? Atau yang mahu dijanjikan hanyalah selingkar pemberian air percuma, penghapusan saman letak kereta, cikgu sekolah tadika naik gaji dan seumpama-seumpama itu? Kalau hanya seumpama itu, maka bukanlah sesuatu yang boleh dipandang jelek atau perlu ditentang kalau lawan politik Pakatan Rakyat memberikan wang langsung RM500 sepertimana dalam program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) menjelang pilihanraya umum.

Arakian perlu terus dipertanyakan tanpa jemu kepada para pemimpin politik, apakah sebenarnya yang dilawan; soalan yang hanya dalam nada lain kepada maksud, apa itu Reformasi? Seiringan itu, maka pencerahan pasti akan segera naik panggung.

 

AKTIF DAN PROGRESIF

Perspektif agama yang diketengah Syed Sheikh Al-Hadi (1867-1934) adalah Islam yang mampu menjadikan seawal-awalnya masyarakat Muslim yang progresif serta maju. Kekuatan asas yang tercecer kalangan masyarakat Muslim adalah kekuatan akal dan daya fikir. Lantas, tidak hairanlah mengapa akhirnya Muslim tidak punya daya hidup nan kental. Semakin hari semakin merela diri jadi keliru dan melemah.

Sepertimana juga Ibnu Khaldun yang mengingat dan meletakkan peranan dan kemuliaan manusia (berbanding binatang) tidak lain adalah disebabkan Tuhan telah mengurnia manusia dengan akal (“ra’y”). Allah, jelas Ibnu Khaldun, membezakan manusia daripada makhluk-makhluk lainnya dengan keupayaan untuk dijadikan sejak awal-awal lagi suatu kesempuranaan dan sehabis mulia dan berdarjat daripada makhluk-makhluk yang ada.[3]

Kongkongan terhadap akal adalah penjajahan tingkat pertama. Buku Syed Sheikh yang popular yang turut cuba membicarakan hal ini adalah “Ugama Islam dan Akal”, yang edisi baru dicetak pada 1965.[4] Akal-dengan-Tuhan, kepada Syed Sheikh bukan subjek yang terpisah. Hujahnya:

Apa, dapat-kah lari lagi ‘akal yang menuntut kebenaran, daripada mengaku bahawa sa-benar2-nya ada Tuhan yang sangat2 berkuasa atas tiap2 suatu dengan sebab ada segala tanda2 kuderat-kuasa-Nya itu di-pandang dan dapat di-rasa serta dapat di-perhati dengan mata kepala dan mata hati yang menggunakan ‘akal.”[5]

Seruan itu tentu sahaja pada ketika ini bagi sesiapa yang pernah membaca makalah ringkas filasuf Jerman, Immanual Kant (1724-1804), “Was ist Aufklärung?” akan tahu sejajaran pandangan Kant dengan Syed Sheikh. Tulis Kant bahawa ketidakmatangan seseorang manusia bukanlah disebabkan kurangnya kefahaman, tetapi kurangnya azam untuk menggunakannya (kefahaman itu) tanpa panduan orang lain. Seruannya adalah “Sapere Aude” demi beranilah menggunakan kefahaman sendiri.[6] Ya! Kant tidak hanya terhenti di situ. Dia di dalam karangan sama segera memashyurkan bahawa “zaman ini,” kata Kant, “iaitu abad Friederich, adalah Zaman Pencerahan”.[7]

Entah apa sialnya, dalam zaman mana sekalipun, golongan yang menyeru dan bertindak atas kecerdasan akal (pencerahan) akan disisih atau paling tidak dicemuh dengan macam-macam tuduhan liar. Mereka ditindas. Ada yang dibunuh.

Misalnya bukan hanya berlaku kepada Syed Sheikh dan lingkungan beliau yang berkongsi kesedaran sama, tetapi juga pernah menimpa ke atas filasuf di dalam pemerintahan Andalusia, iaitu Ibnu Rushd (nama penuhnya Abu Walid Muhammad Ibnu Ahmad: 1126-1198). Ibnu Rushd dalam garis hayatnya telah bergelumang dengan cabaran seumpama demi membuktikan bahawa akal-sedar sama sekali tidak selamanya berlawanan dengan agama. Dalam kata mudah, falsafah tidak bertentangan dengan syariah.

Sepintas lalu, Ibnu Rushd menyeru, termasuk di dalam perkara-perkara agama serta ayat-ayat Quran seharusnya dapat dihujahkan dengan hujah yang dapat didatangkan pembuktian-pembuktian (empirical argument). Jalan pemikiran itu juga sering disebut sebagai “falsafah”. Adapun sekali peringatan Ibnu Rushd bahawa menghalang orang menggunakan akal untuk mencapai kebenaran tidak lain umpama menghalang orang yang dahaga meminum air yang dingin dan lazat sehingga menyebabkan seseorang itu mati [akibat dahaga] semata-mata kerana [barangkali sebelumnya] ada seseorang yang tercekik air.[8] Mati terbukun air adalah kebetulan; mati kerana dahaga adalah pasti.

Meski pembelaan terhadap akal-sihat dan waras telah sampai ke satu paras ke kemuncak, tapi yang tetap terjadi di gelanggang kekuasaan dan di perut masyarakat tetap sahaja merupakan helah mahupun serangan peribadi. Ketika mula-mula Syed Sheikh memimpin sidang pengarang Al-Imam di Singapura selama empat tahun sebermula 1906, sehinggalah penerbitan majalah bulanan Al-Ikhwan di Pulau Pinang pada 1926; dua tahun selepas itu, dia menerbitkan pula surat khabar dua kali seminggu, Saudara. Keghairahan Syed Sheikh untuk berkali-kali menerbitkan majalah di awal abad 20 lalu boleh sahaja dianggap sebagai kesedaran baru dan progresif pada ketika itu.

Terbukti ‘sasaran serangan’ Syed Sheikh menjurus kepada “Ketua-ketua Agama”. Dalam satu karangan panjangnya di dalam Al-Ikhwan keluaran ke-3 (16 November 1930: muka surat 65-75), dengan tajuk “Bukan Sa-kali-kali Agama Islam ini Sebab bagi Kejatuhan Kaum Islam tetapi Hanya-lah sebab Angkara Ketua-ketua Agama” menegaskan kebodohan jualah yang menyebabkan runtuhnya sesuatu pemerintahan Muslim. Antara hujah Syed Sheikh yang sudah diterjemah dalam buku berbahasa Inggeris, “The Real Cry of Syed Shaykh Al-Hadi” begini:

So Wrapped in ignorance and stupidity and so covered by continual darkness are their minds that they have lost all ability to understand the true calling sublime religion.”[9]

Golongan yang dimaksudkan Syed Sheikh dalam kenyataan di atas ialah penguasa Muslim di Mesir di bawah pemerintahan Abbasiyah yang runtuh apabila diserbu dan diserang oleh bangsa Monggol [atau disebut juga sebagai “Tartar”] pada 1258. Dapatlah kita faham akan pesan yang mahu dititipkan Syed Sheikh mengenai kelemahan dan gelap akal sehingga sebuah kerajaan yang bagaimana besar pun dapat ditumpaskan. Serangan Syed Sheikh kepada golongan “ulamak” juga sangat jelas dan keras di dalam tulisan lain, yang bertajuk “Perchayakan Ulamã’: Pertelingkahan di-antara kaum Tua dengan Kaum Muda” yang juga terbit di dalam majalah al-Ikhwan pada 1929. Tunjulan Syed Sheikh bahawa ulamak sendiri bukanlah “maksum” dan pasti betul.

It is for this reason that Kaum Muda contends that not all words uttered by the ‘ulamã’ are necessarily true and should be accepted as we accept what is written in the Qur’ãn!”[10]

Menurut seorang lagi penulis dalam buku yang sama, Linda Tan, sedari awal-awal lagi penerbitan Al-Imam, sepertimana yang menjadi salah satu judul karangan Syed Syeikh, iaitu dia berkehendak di dalam cita-citanya untuk “Menuntut Ketinggian akan Anak-anak Negeri”.[11] Sifat paradok kaum tradisionalis, “Kaum Tua” atau pernah juga disebut sebagai “lebai pondok” yang “memakai ketayap” yang sering ‘bersenang-senang’ dengan kefahaman tradisi, cuba dijolok apabila membawa kenyataan sekiranya benar golongan itu telah menggunakan akal-fikirnya, mengapakah diizinkan orang lain yang memerintah, menjadi penguasa di tanahair tercinta ini?[12]

Banyak sekali tulisan-tulisan yang disiar melalui media cukup menampar dan memberi kesan khasnya kepada penguasa dan agamawan yang berada dalam lingkaran kekuasaan. Sebenarnya jolokan “Kaum Muda” adalah kata yang awalnya merupakan kata ejek kepada golongan pembaharuan, walaupun ketika di Singapura, mereka terlebih dahulu dikenali, misalnya sebagai “Kaum Al-Manar”.[13]

Sebagai perbandingan, mungkin keadaan hampir serupa juga berlaku di Indonesia ketika kelompok seniman dan budayawan yang menulis dan menyokong “Manifesto Kebudayaan” (terbit pada 1963 dan dicetuskan oleh Wiratmo Soekito) telah diejek-ejek dengan gelar “Manikebu” oleh kelompok lawan mereka yang berada di dalam Lembaga Kebudayaan Rakyat (Lekra). Begitu jolokan berkenaan telah kekal sehingga hari ini sebagai sesuatu yang tidak lagi bernada ejekan, apatah lagi bermaksud buruk.

Kepada William R. Roff, iaitu daripada pengamatannya terhadap “Golongan Al-Manar” atau “Kaum Muda”, beliau merumuskan bahawa yang menjadi perkara utama dan prinsip-prinsip “Kaum Muda” ialah pandangan yang manusia haruslah menggunakan akal untuk menentukan kebenaran dalam agama. Fungsi akal-sihat bagaimana pun tidak terbatas kepada persoalan agama sahaja, tetapi meliputi hal-hal lain serta harus tegas di dalam menolak sifat “karut penerimaan membuta tuli kekuasaan perantara.”[14]

Kesempurnaan Islam bagi Kaum muda, tambah William, bukan matlamat akhir. Hal itu tidak lebih sebagai alat bagi menggerakkan dan mengarahkan perubahan sosial dan ekonomi untuk kebaikan masyarakat Melayu.

Sepertimana juga hari ini, persaingan antara media, majalah dan surat-surat khabar bukan hanya persaingan perniagaan. Hampir setiap parti politik mempunyai surat khabarnya sendiri, atau syarikat-syarikat media yang dipegang bahagian besar sahamnya oleh parti politik. Jumlah surat khabar yang banyak itu, sama sekali tidak menunjukkan bahawa wujudnya demokrasi, atau paling tidak wujudnya kebebasan media. Jauh lagi untuk dibicarakan soal etika dan kualiti media yang sedia ada.

Daripada pengalaman pertembungan “Kaum Muda” lawan “Kaum Tua”, sepertimana yang dirasai oleh orang-orang segenerasi Syed Sheikh, maka “Kaum Tua” pun menerbitkan majalahnya sendiri sebagai aksi balas dan mahu menyebarkan juga fahaman-fahaman mereka.

Melalui Majlis Agama dan Adat-istihadar Melayu Kelantan, maka diterbitkan Pengasuh(1918-37) beredisi dua kali sebulan. Edaran majalah itu tidak hanya di Kelantan sahaja, tetapi ke negeri-negeri lain di Semenanjung. Bahkan untuk mengawal pengaruh dan orang-orang “Kaum Muda”, maka di Kelantan diwujudkan satu undang-undang untuk mengawal sesiapa yang mahu mengajar atau memberi kuliah di majlis-masjid mahupun di tempat awam.

Di bawah peraturan undang-undang Agama Islam tahun 1904, sudah wujud undang-undang yang melarang sesiapa “kecuali dalam rumahnya sendiri, dan di depan anggota keluarganya sahaja, mengajar sebarang ajaran agama melainkan dia terlebih dahulu mendapat izin bertulis berbuat demikian dari Duli Yang Maha Mulia Sultan”.[15] Lalu, tidaklah terlalu sukar untuk kita mengerti bagaimana sistem kawalan itu dilakukan sehingga ke hari ini.

 

PENGUASA GELAP

Dalam buku sama, William juga mengutip kembali tulisan Hamka yang mengkritik keras “Kaum Tua”. Kali ini sasarannya para mufti—kita juga tahu bahawa Hamka adalah antara sarjana Muslim-Melayu-Sumatera yang tergolong sebagai “Kaum Muda”.

Menjadi Mufti dalam keradjaan-keradjaan Melayu itu sangatlah megahnja. Memakai pakaian rasmi dengan pingat, berpisang sesikat di bahu, djubahnya berukir-ukir benang mas, dan serban daripada sutera dan mempunyai motokar sendiri. Rakjat pun sangat takut dan thaat, sisanja dimakan, sepah sirihnja dikunjah. Dan kalau beliau ingin hendak kawin, bismillah!”[16]

Bukan cuma hari ini di Malaysia, sejak seawal dasawarsa lalu pun, ketika politik dua kubu itu tercetus, orang politik dan penguasa selalu diam serta gelabah apabila timbul isu-isu yang genting, yang memerlukan daya pengamatan dan berfikir. Mereka seakan-akan lebih gemar membiarkan sahaja. Seakan-akan tidak faham apa perlunya turut serta di dalam perbincangan dan debat terbuka. Tapi, setidak-tidaknya, ke atas Presiden pertama Indonesia, Soekarno bukan kepalang dia menuliskan fikiran-fikiran dan gagasannya kepada sebuah negeri yang bakal lahir. Dia tak pernah takut untuk ikut berpolimik secara terbuka, di dalam surat-surat khabar mahupun majalah. Soekarno aktif untuk turut sama membicarakan soal sejarah, idea-idea daripada serata bangsa, kebudayaan, pemikiran agama dan sebagainya. Mungkin itulah yang membezakan antara dua bangsa serumpun ini dalam sejarah kelahiran dua negeri ini.

Meskipun bertentangan di dalam soal pemikiran, termasuk melihat erti bangsa dari jaring-jaring agama, makalah “Pembela Islam” pernah menerbitkan kembali siri tulisan Soekarno yang diberi judul, “Surat-surat dari Endeh”. Sementara tulisan Soekarno itu diterbitkan, penulis-penulis dan aktivis di dalam Pembela Islam terus bertanding dan lawan hujah dengan para pengikut Soekarno, atau dipanggil juga sebagai kelompok “Soekarno cs”. Apa yang terjadi, kalau pun tidak lebih buruk ialah makalah Pembela Islamjuga tetap yang membela Soekarno ketika Soekarno dibicarakan atau “diadili” di hadapan Landraad Bandung oleh pemerintah kolonial.[17]

Selanjutkan, Soekarno yang diketahui sebagai pemimpin besar, mempunyai pengikut bahkan pendukung di kalangan bijak pandai, tetap pula meneliti dan berdebat secara terbuka dengan Natsir, seorang anak Minang yang ke Jakarta untuk belajar dan kemudiannya mengharung cabaran mendirikan sekolah. Perdebatan pemikiran dan cerpik api polimik antara lainnya ialah apabila Natsir cuba menjawab tulisan Soekarno yang begitu mempertahankan Kamal Attatuk di Turki. Saking demikian, Natsir juga segera mengungkapkan bahawa Islam sebagai “ideologi” selepas dihambat kembali oleh karangan balas Soekarno yang antaranya di bawah tajuk-tajuk seperti “Cinta Agama dan Tanah Air”, “Rasionalisme dalam Islam” dan “Islam dan Akan Merdeka”. [18]

Pertembungan sebegini tidak dapat kita ikuti dengan jelas wujudnya di Semenanjung, sama ada sebelum mahupun selepas merdeka. Menurut anak Syed Sheikh, Syed Alwi yang berusaha membetulkan kembali pandangan yang dikutip ramai orang daripada Za’ba yang menyatakan bahawa Syed Sheikh sebagai “anti-British”, adalah tidak benar.

Cerita Syed Alwi behawa bapanya sering menyatakan akan segala dan pelbagai-bagai keburukan raja, sultan-sultan Melayu, ulamak dan para pemimpin, tetapi tidak pernah menyebutkan tentang keburukan British. Kepada Syed Sheikh, Sultan-sultan Melayulah yang tidak pernah meminta daripada British peluang yang lebih untuk pendidikan anak negeri. Demikian, tak ada gunanya untuk menjadi seorang yang anti-British apabila kebanyakan orang Melayu masih menjadi penanam padi di desa-desa, “lebai”, “haji” dan guru-guru yang mengajar Quran juga masih terlalu miskin sehinga mengambil wang daripada anak murid sendiri untuk sara hidup.[19]

Daripada sudut itu, maka terlihatlah bahawa tujuan agamawan yang selamanya dikritik “Kaum Muda” tak lain adalah mahukan masyarakat untuk belajar agama bagi membolehkan mereka memperolehi pendapatan… bukan kerana keperluan memajukan masyarakat dengan keupayaan akal sendiri. Sikap Syed Sheikh dalam berhadapan dengan persoalan penjajahan dan Inggeris dikatakan sama seperti pendekatan dan sifat S.A. Khan yang berhadapan dengan pemerintah Inggeris di India.[20] Tak ada gunanya mencapai kemerdekaan kalau tidak dengan persiapan untuk mentadbir negeri dengan baik, dan adalah mustahak untuk soal-soal keadilan, keamanan dan kebebasan segera dituntut seperti yang diingatkan agama.

Pada titik ini, persamaan yang dapat segera kita buat adalah bagaimana soal keadilan dandemokrasi, misalnya, yang menjadi tombak perjuangan sejak September 1998 harap-harap bukan hanya untuk menggerakkan rakyat untuk menggantikan pemerintah, tetapi untuk benar-benar kembali manfaatnya kepada msa depan rakyat. Kesempatan yang diperoleh oleh “Kerajaan Reformasi” bukan kesempatan untuk pemimpin politik dan elit penguasa menukar telefon bimbit atau iPad setiap dua-tiga bulan, berganti kereta besar, berumah bukan main mewah dan melonggok kekayaan untuk diri dan anak-pinak sendiri. Hal berkenaan sesungguhnya tidak lebih baik daripada membida nombor plat kereta!

Apa yang dibimbangi sebagai punca lemban mahupun runtuhnya tamadun itu bisa sahaja terjadi andai persoalan asas pembaharuan dan matlamat-matlamatnya masih juga tidak terjawab. Cuba saya rungkai dengan pantun ini:

Bagaimana titi tidak patah,
Susun bata kayu tak rapat;
Bagaimana hati tidak gundah,
Lain dicita lain yang dapat.

Demi masa, zaman akan tetap bergerak. Namun semangat pembaharuan dengan pencerahan (akal) itu nampaknya tidak akan pernah mampu dimatikan oleh sesiapa jua.

 

*Tulisan ini merupakan bahan sisipan di dalam Forum Nusantara (Siri 5) anjuran Penang Institute (PI) dengan tajuk “Syed Syeikh bin Syed Ahmad Al-Hadi Pengasas Madrasah Pulau Pinang: Pusat Tumbuhnya Gerakan Pencerahan di Malaysia?” pada 16 Jun 2012, pukul 9 pagi di dewan Auditorium Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP), Bandar Perda, Pulau Pinang.

4 December 2012

Pendapat

Pendapat Anda?

Harakah

Bekas Presiden Indonesia, BJ Habibie akan memberikan pidatonya 6 Disember ini di Dewan Pro Canselor Unisel, Shah Alam.

‘Habibie dan transisi Indonesia ke demokrasi’ bakal menjadikan topik ini sesuai dengan peranan yang telah beliau lakukan dalam mengubah Indonesia ke demokrasi.

Majlis yang bermula jam 9 pagi itu dikira penting untuk rakyat negara ini yang juga bercita-cita untuk membuat perubahan di negara ini.

Bacharuddin Jusuf Habibie adalah presiden ketiga Republik Indonesia. Beliau lahir di Pare-Pare, Sulawesi Selatan, pada 25 Juni 1936.

Sebagai presiden yang mengambilalih tampuk pemerintahan dari Sooharto, Habibie banyak membuat perubahan walaupun tempoh masa untuknya hanya singkat sahaja.

Antara perubahan besar yang dibuat Habibie adalah kebebasan media di Indonesia. Hari ini, media di Indonesia jauh lebih bebas dari Malaysia.

4 December 2012

Pendapat

Pendapat Anda?

3 December 2012

Pendapat

Pendapat Anda?

4 Disember 2012 (Selasa)

8.30 – 12.00 malam

Dataran Shaharuddin, Batu 8 1/2, Gombak Utara, Selangor

Penceramah:
i. YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim
ii. YB Azmin Ali
iii. YB Amiruddin Shaari
iv. YBhg Ustaz Salehuddin Nasir

3 December 2012

Pendapat

Pendapat Anda?

Dalam tempoh PRU13 yang kian hampir, UMNO telah menunjukkan tanda-tanda ketidakyakinan dalam mempertahankan kuasa mereka. Jelas mereka tidak mampu untuk menangkis setiap idea dan dasar kami; lantas menyerang dengan membenih politik kebencian dan ketakutan. Dengan media arus perdana yang semakin ketandusan isu, UMNO sedang memaksimakan setiap helah yang ada untuk memasung agenda perkauman dan ketakutan dalam kalangan rakyat demi mengelak balasan yang bakal menimpa mereka jika Pakatan Rakyat berkuasa kelak.

Perhimpunan Agung UMNO yang baru selesai itu adalah pelantar untuk meningkatkan lagi serangan yang berbentuk penipuan dan penghinaan diketuai oleh Perdana Menteri iaitu Presiden UMNO sendiri, Dato’ Seri Najib Razak. Kami mengecam kenyataan tidak bertanggungjawab beliau bahawa Malaysia akan hilang kedaulatannya dalam tiga tahun pertama Pakatan Rakyat memerintah. Ideanya mudah; memperbodoh-bodohkan rakyat dengan menyuburkan idea bahawa pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat adalah pengkhianat yang akan menggadaikan maruah negara demi kepentingan politik. Malah lebih malang lagi apabila idea itu tidak disokong dengan fakta dan hujah yang empirikal, kenyataan Najib adalah kenyataan yang tidak masuk akal dan hanya dibuat oleh orang yang tidak punya maruah dan moral sama sekali.

Senario simptom ketakutan hilang kuasa ini dimulakan momokkan insiden 13 Mei sekiranya Pakatan Rakyat memegang tampuk pemerintahan. Kami mengerti bahawa Ketua Wanita UMNO cuba untuk menghidupkan semula kareer politik beliau yang telah pupus akibat didesak untuk meletakkan jawatan dalam skandal ratusan juta NFC. Tetapi dengan menggunakan hujah picisan sebegitu adalah tidak munasabah. Tindakan menyeru kembali ‘hantu’ 13 Mei itu adalah untuk menimbulkan kebencian antara masyarakat Melayu dengan bukan Melayu, seterusnya menyemai budaya ketakutan dalam kalangan rakyat bahawa pertumpahan darah akan berlaku sekiranya UMNO kehilangan kuasa. Hujah tersebut bukan sahaja biadap, malah boleh dianggap sebagai hasutan dan dikategorikan sebagai satu jenayah.

Jelas sekali bahawa Pakatan Rakyat telah muncul sebagai ancaman utama kepada hegemoni UMNO-Barisan Nasional, dan ini menyebabkan mereka melancarkan tuduhan liar tentang pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat, terutamanya saya sebagai proksi kepada kedua-dua kuasa asing Amerika Syarikat dan China dalam satu masa! Kenyataan tidak masuk akal itu mungkin lucu, tetapi dengan pengawalan sepenuhnya media cetak dan elektronik, UMNO sedang menyebarkan agenda penipuan yang mampu membanggakan Goebbels. Menggunapakai taktik pengulangan ‘penipuan besar’ ini, media mereka bertujuan untuk menggambarkan kewangan atau perberhandaraan negara mungkin dikawal oleh kuasa luar sekiranya Pakatan Rakyat memerintah.

Media UMNO juga keterlaluan dengan membakar api perkauman dan agama dengan menyiarkan kenyataan-kenyataan berbaur ekstremis dan rasis daripada perwakilan. Menurut UMNO, hanya mereka sahaja yang mampu menjuarai Islam; bukan KEADILAN mahupun PAS. Justeru itu mereka berhujah bahawa gejala murtad akan dilestarikan dan Malaysia akan ditransformasikan menjadi negara Kristian jika UMNO pupus pada pilihanraya akan datang.

Ucapan pembukaan Najib dalam Perhimpunan Agung UMNO dipenuhi dengan serangan terhadap pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat, terutamanya ke atas saya dan di dalam gaya bahasa yang tidak sewajarnya dilafazkan oleh seorang yang negarawan. Adakah wajar bagi rakyat untuk terus mempertahankan pemimpin yang tidak mempunyai kaliber seperti itu? Apakah dasar baru yang dibentangkan demi kemajuan negara? Mana idea untuk ekonomi dan keadilan sosial, kesihatan, perumahan dan pendidikan? Jikalau beliau punyai alasan yang kukuh untuk menyaingi Pakatan Rakyat, beliau sepatutnya menyahut cabaran saya untuk bersemuka dan berbahas, supaya rakyat dapat menilai dengan sebaiknya siapa yang bercakap benar dan siapa yang gemar menipu. Janganlah berselindung di sebalik jentera propaganda murahan kamu dan jadilah anak jantan sebenar sebagai Perdana Menteri dan turun berdebat dengan saya di dalam gelanggang!

ANWAR IBRAHIM

Switch to our mobile site