Respon Nik Nazmi Kepada Jawapan MAIWP Tentang Salahguna Wang Zakat Jamil Khir

29 December 2011

Pendapat

Pendapat Anda?

Berikutan kenyataan saya semalam, Muhamad Yamin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan menyatakan bahawa pembiayaan kos guaman Datuk Jamil Khir Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan dua lagi pegawai kanan MAIWP dalam menghadapi kes permohonan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim diambil daripada geran
kerajaan.

Dalam kenyataannya, beliau juga menyalahkan Anwar dan pihak-pihak tertentu yang ‘menyalahgunakan’ proses mahkamah terhadap penjawat awam yang menyebabkan dana dan wang rakyat terpaksa digunakan bagi melayan proses mahkamah.

Pada Jun 2011 juga Jamil Khir menafikan penggunaan wang zakat untuk membayar kos guaman ini.

Malangnya Yamin tidak menyebut tentang ‘pendahuluan’ RM63,650 daripada wang zakat yang telah disahkan oleh Ketua Audit Negara pada November
2011.

Yamin juga harus sedar bahawa apabila seorang itu dizalimi, beliau
mempunyai hak yang diiktiraf di dalam syarak dan sistem Perlembagaan kita untuk mempertahankan diri mereka.

Saya berharap Jamil Khir sebagai Menteri yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal agama Islam Malaysia dapat segera tampil ke hadapan dan bukan menyorok di belakang pegawai kerajaan bagi menjawab isu ini.

Pada Jun lalu juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Md Hashim Yahya telah menegaskan sebarang salahguna wang zakat yang disalurkan selain daripada asnaf yang lapan adalah kesalahan dan dosa besar.

Sekurang-kurangnya apabila isu ini mula-mula timbul peguam Zainul
Rijal Talha dan Amir terbuka dalam bertanya tentang pandangan Mufti Wilayah Persekutuan.

Persoalannya, adakah pandangan tersebut diberikan dan sekiranya ya,apakah pandangan beliau? Yang nyatanya Ketua Audit mengesahkan wang zakat dibayar kepada peguam sebelum dipulangkan hampir enam bulan kemudian pada Disember 2010.

Juga mengapa wujud dwi-standard dengan kes amil zakat di Johor Redzuan Mohd Said yang menyalahgunakan RM19,510 dan memulangkannya tetapi dipenjarakan empat tahun dan dihukum tiga kali sebatan tahun ini?

Umat Islam yang menyumbang berbilion ringgit wang zakat setiap tahun di seluruh negara tidak mahu timbul sebarang keraguan terhadap
pengurusan wang zakat.

NIK NAZMI NIK AHMAD
PENGARAH KOMUNIKASI
PARTI KEADILAN RAKYAT

Pendapat Anda

Switch to our mobile site