Menangani Masalah Kemiskinan Bandar Dan Ketidakseimbangan Sosio-Ekonomi Nasional

17 December 2011

Pendapat

Pendapat Anda?

Merdeka Review

Azrul Azwar

Seperti kebanyakan negara membangun yang lain, Malaysia telah mengalami proses urbanisasi pesat, salah satu faktor yang banyak membantu melayakkan Malaysia menjadi negara berpendapatan pertengahan atas (upper middle-income) pada hari ini.  Ini adalah kerana di kawasan bandarlah selalunya aliran pengetahuan, ilham, bakat, pelaburan dan sebagainya berada pada tahap paling optimum bagi sesebuah negara, suatu pra-syarat penting bagi mencetus innovasi, kreativiti dan semangat keusahawanan sekaligus membantu memacu pertumbuhan ekonomi.

Dianggarkan lebih kurang 72.2% rakyat Malaysia menetap di kawasan bandar pada 2010 dan nisbah ini dijangka mencecah 76% menjelang tahun 2015 berdasarkan satu unjuran yang dibuat oleh United Nations (UN) atau Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).  Menurut unjuran PBB juga, penduduk bandar dijangka tumbuh pada kadar 2.4% secara purata di antara 2010 dan 2015, jauh lebih pesat berbanding 1.5% yang diunjurkan bagi pertumbuhan purata populasi Malaysia.

Sebenarnya, pembentukkan “urban agglomerations” atau kelompok-kelompok bandar adalah penting dan selari dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi ekonomi maju, berpendapatan tinggi kerana salingkait yang tinggi di antara kepesatan proses urbanisasi dengan peningkatan pertumbuhan ekonomi, produktiviti, kemewahan dan kemajuan secara keseluruhan.  Maka, tidaklah menghairankan apabila “Greater Kuala Lumpur” atau Lembah Kelang yakni Kuala Lumpur dan bandar-bandar satelit di sekitarnya telah dikenalpasti sebagai salah satu daripada 12 National Key Economic Areas (NKEAs) di bawah “New Economic Model” atau Model Ekonomi Baru kerana ia dianggarkan menyumbang hampir satu pertiga kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

Tahap urbanisasi di Malaysia adalah berbeza-beza mengikut:

•Negeri, dari serendah 35% sehingga 90% bagi negeri maju seperti Selangor
•Kumpulan etnik di mana majoriti kesemua kumpulan etnik berada di kawasan bandar kecuali Bumiputera lain (other Bumiputera)

Walau bagaimanapun, dalam keghairahan kita mengejar pembangunan bandar sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan, kita sering terlepas pandang kesan-kesan sampingan akibat proses urbanisasi yang tidak terkawal.  Tanpa suatu pelan induk atau rangka kerja jangka panjang yang holistik, kepesatan proses urbanisasi tanpa kawal bakal mengundang pelbagai permasalahan terutamanya berkaitan sosio-ekonomi seperti migrasi luar bandar ke bandar dan kebanjiran pekerja warga asing untuk mencari peluang pekerjaan yang mengakibatkan meningkatnya kepadatan penduduk bandar dan kemunculan kawasan setinggan atau penempatan daif, sekaligus memberi tekanan kepada prasarana-prasarana awam, pasaran buruh, pasaran barangan dan perkhidmatan terutamanya bagi keperluan utama, bekalan perumahan, alam sekitar dan sebagainya di kawasan bandar.

Fenomena seperti ini mengakibatkan kenaikan harga yang mendadak dan persaingan melampau di kawasan bandar sehingga terbentuknya suatu situasi “inequality” atau ketidaksamaan di kalangan penduduk bandar dalam pelbagai segi terutamanya peluang pekerjaan, pendapatan dan pengumpulan kekayaan, selanjutnya melebarkan jurang di antara yang kaya dan yang miskin di bandar.

Kebanyakan rakyat Malaysia terutamanya warga kota merasakan bahawa perangkaan inflasi rasmi yang diterbitkan oleh Jabatan Statistik tidak mencerminkan gambaran sebenar betapa hebatnya kenaikan kos sara hidup sejak separuh tahun kedua 2009 akibat kenaikan harga barangan dan perkhidmatan terutamanya berkaitan dengan makanan, tenaga, perumahan, pendidikan, pengangkutan dan penjagaan kesihatan.  Sebagai contoh, menurut Indeks Kos Sara Hidup terkini yang diterbitkan oleh Economist Intelligence Unit(EIU), kedudukan Kuala Lumpur di kalangan bandaraya termahal di dunia naik 15 anak tangga ke tempat 86 pada akhir Jun 2011 berbanding tahap 101 dua tahun yang lalu.  Kajian setiap dua tahun ini yang menjadikan New York sebagai penanda aras membandingkan 400 harga individu bagi lebih 160 barangan atau perkhidmatan, menunjukkan bahawa Tokyo merupakan bandaraya termahal manakala bandaraya termurah adalah Karachi.

Berdasarkan data tahun 2009, kategori 40% isirumah terbawah (bottom 40%) yang berpendapatan kasar kurang daripada RM2,300 sebulan (berbanding pendapatan kasar bulanan purata sebanyak RM4,025 bagi seluruh Malaysia iaitu RM4,705 di bandar dan RM2,545 di luar bandar) terdiri daripada 2.4 juta isirumah yang mana:

•1.8% dalam golongan miskin tegar (yakni isirumah yang berpendapatan kasar bulanan kurang daripada RM440 secara purata bagi seluruh Malaysia)
•7.6% dalam golongan miskin relatif (yakni isirumah yang berpendapatan kasar bulanan kurang daripada RM800 secara purata bagi seluruh Malaysia)
•90.6% dalam golongan berpendapatan rendah

Pada tahun 2009, lebih kurang 51.4% daripada 40% isirumah terbawah tinggal di kawasan bandar yang mana 59.1% adalah di kalangan Bumiputera, 29.2% masyarakat Cina dan 11.4% kaum India.  Memandangkan bahawa jumlah warga bandar di kalangan 40% isirumah terbawah adalah lebih besar daripada di kawasan luar bandar (48.6%), semua pihak yang berkenaan sama ada di peringkat Kerajaan Pusat, kerajaan-kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan perlu duduk semeja dan bekerjasama untuk menggariskan suatu kerangka ekonomi spesifik yang mementingkan pembangunan saksama dan inklusif untuk merapatkan jurang di antara kaya dan miskin bandar serta menangani isu kemiskinan bandar kerana kehidupan golongan miskin bandar adalah jauh lebih mencabar berbanding golongan miskin luar bandar. Sebagai contoh, jika golongan miskin luar bandar masih berpeluang mencari makan dengan memancing atau bercucuk tanam sendiri, peluang sebegini hampir tidak wujud bagi golongan miskin bandar.

Menurut Jabatan Statistik, isirumah bandar di Malaysia memerlukan sekitar RM2,500 sebulan secara purata untuk cukup membiayai kos sara hidup berdasarkan harga pada tahun 2010.

Berikut adalah antara beberapa langkah yang boleh dipertimbangkan untuk meningkatkan penglibatan golongan miskin bandar dalam ekonomi dan menaikkan pendapatan kasar purata golongan 40% isirumah terbawah melebihi RM2,500 sebulan supaya cukup untuk menampung kos sara hidup bagi isirumah bandar:

• Memastikan akses kepada pendidikan hingga ke peringkat tertinggi bagi anak-anak golongan miskin bandar memandangkan hubungkait terbalik di antara kemiskinan dan pencapaian akademik.
• Menyediakan peluang kepada pendidikan seumur hidup, latihan dan penambahbaikan kemahiran bagi golongan miskin bandar untuk meningkatkan keupayaan dan daya tarikan mereka supaya mudah mencari peluang pekerjaan yang lebih baik terutamanya yang menjanjikan gaji yang lebih lumayan.
• Menyediakan program perumahan mampu milik yang berkualiti di kawasan bandar di lokasi yang tidak terlalu jauh daripada nukleus aktiviti ekonomi; dihubungkan dengan sistem pengangkutan awam yang murah, cekap, mudah akses, mampan dari segi alam sekitar, selamat dan boleh diharap; skim pembiayaan pembelian berdasarkan syarat-syarat munasabah yang tidak akan membebankan golongan berpendapatan rendah dan sederhana di bandar pada kemudian hari kelak terutamanya bagi pembeli rumah buat pertama kali; keprihatinan kepada warga emas, golongan kurang bernasib baik seperti orang kurang upaya atau yang mempunyai keperluan khas, ibu tunggal dan sebagainya.
• Memupuk minat keusahawanan di kalangan 40% isirumah terbawah di kawasan bandar untuk menggalakkan mereka menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan terutamanya berasaskan kemahiran sebagai satu cara menambah pendapatan melalui:

i. kemudahan untuk memulakan perniagaan dengan menyemak semula keperluan perlesenan yang membebankan oleh pelbagai pihak berwajib atau agensi kerajaan

ii. pelbagai insentif percukaian dan bukan cukai khusus bagi syarikat-mikro atau perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bandar

iii. program latihan teknikal dan keusahawanan merangkumi semua aspek perniagaan seperti pengurusan kewangan, pengurusan operasi, teknik jualan dan pemasaran,
dan sebagainya

iv. program pembiayaan mikro atau skim permodalan lain yang direkayasa khusus untuk memudahkan pengumpulan modal permulaan atau sebagai modal kerja bagi perniagaan milik golongan miskin dan sederhana bandar

v. inisiatif-inisiatif lain seperti mentor-mentee, syarikat induk dan sebagainya

Ketidakseragaman atau kepelbagaian kumpulan di kalangan 40% isirumah terbawah merentasi kaum, agama dan beberapa aspek latar belakang lain di bandar memerlukan pendekatan yang berbeza dalam usaha kita menangani isu “inequality” atau ketidaksamaan.  Dalam usaha menangani masalah kemiskinan bandar dan mempertingkatkan mobiliti sosial ini, apa yang penting adalah kita berikan mereka joran untuk memancing ikan dan bukannya ikan semata-mata.  Maka, untuk mencapai cita-cita menjadi negara maju, berpendapatan tinggi yang inklusif dan menitikberatkan keadilan sosial sejagat, kita memerlukan suatu pelan tindakan bagi “affirmative action” atau tindakan afirmatif yang mampan dan menyeluruh.

Berbincang mengenai tindakan afirmatif atau diskriminasi positif (positive discrimination) di Malaysia, kita tidak boleh lari daripada berdebat tentang New Economic Policy (NEP) atau Dasar Ekonomi Baru (DEB), diperkenalkan oleh Barisan Nasional sebagai polisi tindak balas selepas peristiwa 13 Mei 1969 dengan strategi serampang dua mata, yakni “mengurangkan dan akhirnya membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum” dan “mempercepatkan proses penyusunan semula masyarakat untuk memperbetulkan ketidakseimbangan sosio-ekonomi, seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi dan aktiviti ekonomi ke arah mengukuhkan perpaduan negara”.

Persoalannya, di manakah silap kita sekiranya meskipun sudah 40 tahun tindakan afirmatif tajaan Barisan Nasional ini dilaksanakan sejak 1971 dalam pelbagai nama dan bentuk, bermula dengan DEB (1971-1990), diikuti oleh National Development Policy atau Dasar Pembangunan Nasional (1991-2000) dan National Vision Policy atau Dasar Visi Nasional (2001-2010), kaum Bumiputera masih gagal mencapai sasaran pegangan ekuiti korporat sekurang-kurangnya sebanyak 30%.  Sedarkah kita sebenarnya pegangan ekuiti oleh pelabur asing yang melonjak kepada 37.9% daripada milikan saham keseluruhan pada tahun 2008 (2006: 30.1%) merupakan antara penyebab utama pegangan saham Bumiputera kekal rendah pada paras 21.9% (2006:19.4%) sedangkan pegangan saham bukan Bumiputera telah merosot kepada 36.7% (2006: 43.9%)?

Sebenarnya, obsesi kerajaan Barisan Nasional pada nombor ajaib 30% dalam pegangan saham Bumiputera sebagai “ultimate target” menyebabkan kita lupa dan leka sebenarnya terdapat banyak isu kemiskinan, ketidaksamaan dan ketidakseimbangan lain yang lebih mendesak dan perlu diatasi segera seperti yang berikut:

• Jurang pendapatan mutlak antara “quintile” isirumah terbawah dan teratas telah melebar hampir 93% dalam masa 20 tahun kepada RM8,000 pada 2009 berbanding RM4,150 pada 1989 berdasarkan paras harga 2009.

• Penambahbaikan yang kecil dalam masa 20 tahun kepada pekali Gini, satu kayu ukur ketidaksamaan, kepada 0.473 pada 2009 berbanding 0.482 pada 1989 bagi Malaysia secara keseluruhan.  Malah, jika dibandingkan dengan paras 0.471 pada tahun 2007, ketidaksamaan bertambah teruk di Malaysia.

• Kadar kemiskinan keseluruhan di Malaysia meningkat ke paras 3.8% pada 2009 berbanding 3.6% pada 2007, jauh daripada sasaran Rancangan Malaysia Kesembilan untuk turun ke paras 2.8%. Malah, kadar kemiskinan di kalangan Bumiputera lain (bukan Melayu) juga meningkat mendadak ke paras 17% pada tahun 2009 berbanding 14% pada 2007.

• Jumlah isirumah hidup dalam kemiskinan (di bawah paras pendapatan garis kemiskinan) meningkat 8.7% kepada 228,000 pada 2009 berbanding 210,000 pada 2007.

Fokus yang berlebihan Barisan Nasional terhadap agenda mengurangkan ketidaksamaan antara kumpulan etnik (inter-ethnic groups) telah mengakibatkan jurang yang semakin melebar di kalangan suatu kumpulan etnik (intra-ethnic groups) itu sendiri.  Semakin jelas hari ini bahawa belenggu kemiskinan, kesempitan hidup dan ketidaksaksamaan dalam peluang dirasai oleh semua kaum dan lapisan masyarakat di Malaysia meskipun 73% di kalangan 40% isirumah terbawah merupakan kaum Bumiputera berdasarkan pada statistik bagi tahun 2009.

Untuk memastikan pengagihan kekayaan yang lebih adil dan perkongsian pembangunan ekonomi yang lebih saksama ke arah keterangkuman dan keadilan sosial untuk semua tanpa menjejaskan daya saing negara di peringkat global, sudah tiba masanya Malaysia beralih kepada polisi tindakan afirmatif mesra pasaran yang baharu, berdasarkan keperluan dan meritokrasi, bukannya kaum untuk memperbetulkan ketidaksamaan secara keseluruhan dengan menyasarkan beberapa kumpulan spesifik di kalangan 40% isirumah terbawah seperti berikut:

• Orang Asal di Semenanjung dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak terutamanya kumpulan etnik minoriti.
• Pekerja estet atau mereka yang tinggal di kawasan ladang kelapa sawit atau getah, kebanyakkannya terdiri daripada kaum India.
• Peneroka Felda yang rata-ratanya terdiri daripada kaum Melayu.
• Petani, peladang dan nelayan persendirian di luar bandar yang diwakili oleh hampir kesemua kumpulan etnik di Malaysia.
• “Urban settlers” atau peneroka bandar yang meliputi hampir kesemua kaum terutamanya masyarakat Melayu, Cina dan India.
• Penduduk di perkampungan baharu Cina, kebanyakannya kaum Tionghua.

*Azrul Azwar ialah ahli Lawyers For Liberty (LFL).

Pendapat Anda

Switch to our mobile site