BERSIH Lambang Kejujuran Dan Kebebasan Pilihanraya Malaysia

19 June 2011

Pendapat

Pendapat Anda?

Dari keadilandaily

KEADILAN mengesali sikap kerajaan Umno Barisan Nasional (Umno BN) terhadap himpunan aman BERSIH yang diadakan pada 9 Julai ini, kata Presidennya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Menurutnya, ugutan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan Umno BN menyekat kebebasan rakyatnya untuk berhimpun.

“Himpunan BERSIH adalah kejujuran dan kebebasan sistem pilihanraya di negara ini.

“Ruang dan hak rakyat memilih wakilnya secara bebas adalah aspek integriti politik terpenting yang dituntut rakyat mutakhir ini, ” katanya dalam kenyataan media.

Himpuan BERSIH katanya, bakal menguji pendokong dan penentangnya.

“Di pihak pendokong, ia akan menguji kesepakatannya menuntut sistem pilihanraya lebih adil dan telus manakala penentang perlu membuktikan kesediaannya menjadi lebih terbuka dan bertolak ansur,” katanya.

Oleh itu, kata beliau, menjadi tanggungjawab penganjur dan peserta himpunan BERSIH untuk mengelak dari sebarang konfrontasi  akibat provokasi pihak tertentu.

“Saya menyeru penganjur berjaga-jaga dan peserta wajar mengetahui selok belok amalan himpunan aman dan melengkapkan diri dengan ilmu keselamatan sebelum berhimpun.

“Kita juga berharap pihak berkuasa khasnya Polis bersikap profesional dan menyambut baik tawaran penganjur untuk bekerjasama bagi menjamin kelancaran himpunan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan penentang BERSIH agar menghormati hak sebahagian besar rakyat Malaysia yang mahu berhimpun secara aman, sebagaimana hak kumpulan tertentu untuk berhimpun dihormati selama ini.

“Sejak penubuhannya, KEADILAN komited untuk membaiki sistem pilihanraya Malaysia dan himpunan BERSIH adalah lambang kepada usaha itu.

“Maka, KEADILAN memastikan anggotanya turun beramai-ramai menyertai ratusan ribu rakyat Malaysia pada 9 Julai ini,” tegasnya.

Sementara itu, pada hari ini, KEADILAN menjadikan himpunan BERSIH sebagai tema utamanya bersempena berlangsungnya Konvensyen Pilihanraya Kebangsaan parti itu.

Pendapat Anda

Switch to our mobile site