Perutusan Hari Pekerja Oleh Presiden KEADILAN

1 May 2011

Pendapat

Pendapat Anda?

PERUTUSAN HARI PEKERJA PRESIDEN PARTI KEADILAN RAKYAT

1 Mei setiap tahun terus diingati sebagai hari bagi memperingati sumbangan dan komitmen golongan pekerja di seluruh dunia dalam membangunkan ekonomi sesebuah negara.

Sebagai sebuah parti politik yang sentiasa berusaha mengangkat dan memperkasa keupayaan golongan pekerja, KEADILAN komited dalam inisiatif untuk mengupayakan hak pekerja dalam setiap aspek.

Gejala kenaikan harga barang yang sedang berlaku serta trend penghijrahan keluar warga Malaysia ke luar negara akibat polisi perkauman pemerintahan UMNO-BN merupakan sesuatu yang membimbangkan terutamanya melibatkan pertumbuhan ekonomi negara.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Bank Dunia minggu lalu, sejumlah sejuta rakyat Malaysia dilaporkan telah berhijrah dan membina kerjaya di luar negara manakala 43% daripada jumlah ini menyatakan bahawa mereka tidak berhasrat untuk kembali semula ke tanah air selagi polisi ekonomi yang bersifat perkauman masih diamalkan di negara ini.

Justeru, KEADILAN dan Pakatan Rakyat menerusi Agenda 100 Hari yang terkandung di dalam Buku Jingga antara lain akan terus komited dalam usaha memacu ekonomi berprestasi tinggi, mapan dan adil dengan memperkenalkan gaji minima untuk semua pekerja Malaysia dan mempertahankan hak pekerja untuk membentuk kesatuan sekerja selaras dengan piawaian antarabangsa.

KEADILAN juga menjamin akan memberikan tumpuan menyeluruh kepada masalah kenaikan harga barang yang terus membelenggu rakyat di samping mengenalpasti langkah-langkah untuk terus meningkatkan ekonomi rakyat terbanyak.

Buat semua rakyat Malaysia, pimpinan dan anggota KEADILAN mengucapkan Selamat Hari Pekerja!

 
Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail
Presiden,
Parti Keadilan Rakyat

Pendapat Anda

Switch to our mobile site