Perbandingan Prestasi Tadbir Urus Kerajaan Negeri BN Dan Pakatan Rakyat

30 December 2010

Pendapat

Pendapat Anda?

Oleh KPRU

Selepas dekat 3 tahun berlakunya perubahan politik pada 8 Mac 2008, satu pengesahan kepada prestasi tadbir urus negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat telah disediakan oleh Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU).

Lima negeri dalam dua kategori berasingan, iaitu Johor, Pahang dengan Selangor; dan juga Melaka dengan Pulau Pinang, telah dipilih untuk membuat perbandingan dari tiga sudut: pengurusan kewangan, pentadbiran negeri dan pendemokrasian masing-masing.

PENGURUSAN KEWANGAN
Johor/Pahang dengan Selangor

Secara keseluruhannya, proses membaiki status kewangan negeri telah bermula di Kerajaan Negeri Selangor, namun langkah pemantapan prestasi kewangan Kerajaan Negeri Johor dan Pahang belum lagi mempamerkan perubahan positif. Tahap kemantapan pengurusan kewangan dapat dilihat daripada Laporan Ketua Audit Negara yang mengesyorkan supaya Selangor meneruskan perbelanjaan berhemat dan terus berusaha mengutip baki pinjaman boleh dituntut di samping usaha berterusan terhadap kutipan tunggakan bayaran pinjaman boleh dituntut, manakala Johor dan Pahang disyorkan perlu mempertingkat dan memperkukuhkan lagi prestasi kewangan (Johor), dan perlu mengamalkan perbelanjaan berhemat (Pahang).

Dari segi Nisbah Semasa, Kerajaan Negeri Selangor memperoleh nisbah lebih daripada 1, manakala Kerajaan Negeri Johor dan Pahang memperoleh nisbah kurang daripada 1.[1] Fakta ini menunjukkan bahawa kecairan tunai Kerajaan Negeri Johor dan Pahang adalah rendah untuk menampung jumlah tanggungan semasa.

Dari segi defisit, ketiga-tiga negeri mencatat defisit, iaitu Johor RM70.35 juta, Pahang RM42.27 juta dan Selangor RM65.96 juta.[2] Namun begitu, defisit Negeri Pahang dan Johor adalah lebih parah jika berbanding dengan Selangor apabila diambil kira faktor kutipan hasil.

Keadaan di Negeri Pahang menunjukkan bahawa prestasi kewangan Kerajaan Negeri semakin menurun dengan ketara sejak tahun 2007 kerana hasil kutipan tidak dapat menampung perbelanjaan tahunan.[3] Kerajaan Pahang telah membentangkan belanjawan defisit untuk tahun ke-12 berturut-turut sehingga tahun 2010.[4] Bagi Negeri Johor, tahap defisit tahun 2009 adalah yang tertinggi dalam tempoh lima tahun kebelakangan.[5]
Selain itu, gabungan hasil kedua-dua buah negeri adalah sebanyak RM1,243 juta berbanding dengan hasil Negeri Selangor sebanyak RM1,764 juta, tetapi gabungan defisit adalah sebanyak RM120.95 juta, iaitu lebih kurang satu kali ganda lebih tinggi daripada defisit Selangor yang berjumlah RM65.96 juta.

Analisis Perbandingan Antara Hasil dengan Perbelanjaan Mengurus Kerajaan Negeri Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat Bagi Tempoh 2005 hingga 2009

2005
(RM juta)
2006
(RM juta)
2007
(RM juta)
2008
(RM juta)
2009
(RM juta)
Johor
Hasil 617.18 693.22 779.60 812.36 750.42
Perbelanjaan Mengurus 656.67 686.09 775.08 882.71 829.10
Lebihan/(Defisit) (39.49) 7.13 4.52 (70.35) (78.68)
Pahang
Hasil 485.70 435.69 441.04 481.84 492.14
Perbelanjaan Mengurus 412.98 363.52 422.91 508.96 534.41
Lebihan/(Defisit) 72.72 72.17 18.13 (27.12) (42.27)
Johor + Pahang
Hasil 1,102.88 1,128.91 1,220.64 1,294.20 1,242.56
Perbelanjaan Mengurus 1,069.65 1,049.61 1,197.99 1,391.67 1,363.51
Lebihan/(Defisit) 33.23 79.30 22.65 (97.47) (120.95)
Selangor
Hasil 967.76 1,160.20 1,285.10 1,516.34 1,763.86
Perbelanjaan Mengurus 1,034.50 1,087.69 1,153.22 1,467.24 1,829.82
Lebihan/(Defisit) (66.74) 72.51 131.88 49.10 (65.96)

Melaka dengan Pulau Pinang


Walaupun Kerajaan Pakatan Rakyat baru sahaja mengambil alih negeri Pulau Pinang, namun jika dibandingkan dengan Kerajaan Barisan Nasional di negeri Melaka, wujud perbezaan yang cukup meyakinkan mengikut gaya dan pendekatan seperti mana yang terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara 2009.

Umpamanya, KPRU mendapati bahawa kedudukan kewangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang secara keseluruhannya adalah baik dengan melakukan beberapa pengubahsuaian dalam aktiviti perolehan, bentuk perbelanjaan yang benar-benar berhemat tanpa menjejaskan kebajikan rakyat Pulau Pinang. Hasilnya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengakhiri tahun kewangan 2009 dengan lebihan sejumlah RM77.34 juta menjadikan lebihan dana terkumpul berjumlah RM538.95 juta. Berbanding dengan pesaingnya, prestasi kewangan yang dicatatkan oleh Kerajaan Negeri Melaka bertambah baik daripada defisit RM4.56 juta pada tahun 2008 kepada lebihan dana RM0.30 juta.

Selain itu, analisis Nisbah Semasa Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada tahun 2009 mendapati Nisbah Semasa Kerajaan Negeri adalah 5.25:1 melebihi satu, manakala Nisbah Semasa Melaka adalah kurang daripada 1. Fakta ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang berkemampuan untuk menampung jumlah tanggungan semasa manakala Melaka gagal menampung tanggungan tersebut.

Dari segi pelaburan kerajaan negeri, kebijakan pelaburan Kerajaan Negeri Pulau Pinang harus menjadi teladan bukan sahaja kepada Kerajaan Negeri Melaka, malah semua Kerajaan Negeri dalam Persekutuan di mana jumlah dividen dan keuntungan mencatatkan angka tertinggi sejak tahun 2005. Sila rujuk jadual yang dipetik daripada Laporan Ketua Audit Negara 2009 (m.s 28).

Pelaburan Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Bil Butiran 2008 2009
(RM Juta) (RM Juta)
1 Dividen Diterima 1.43 0.95
2 Keuntungan Diterima 2.37 4.14
Jumlah Dividen dan Keuntungan 3.8 5.09
3 Bayaran Yuran Pengurusan 0.15 0.09

Kerajaan Negeri Melaka pula mencatatkan pencapaian yang sebaliknya. Semakin besar pelaburan yang dibuat olehnya, belum tentu lagi pulangan faedahnya lumayan. Fakta ini terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara 2009 (m.s 32)

Pelaburan Kerajaan Negeri Melaka

Tahun Pelaburan (RM Juta) Faedah Dan Perolehan Diterima (RM Juta) Faedah Diterima (%)
2005 186.05 1.68 0.9
2006 182.78 4.8 2.6
2007 189.66 10.93 5.6
2008 192.27 16.6 8.6
2009 210.93 10 4.7

PENTADBIRAN NEGERI

Johor/Pahang dengan Selangor

Secara keseluruhannya, adalah didapati bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat bersikap lebih responsif dan cekap dalam urusan pentadbiran negeri. Kerajaan Pakatan Rakyat bukan sahaja tidak segan mendedahkan isu-isu kontroversi supaya orang awam termaklum dengan perkembangan, malah ianya juga tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap mereka yang didapati bersalah. Misalannya, dalam isu jamuan makan yang menelan RM300 ribu anjuran Yayasan Selangor baru-baru ini, Timbalan Pengurus Besar Yayasan Selangor diarah mengambil cuti selama sebulan berkuat-kuasa serta merta.[6] Corak pentadbiran sebegini tidak kelihatan dalam negeri pemerintahan Barisan Nasional.

Kajian Kes: Isu Curi Pasir

Dari segi pentadbiran negeri, sebenarnya Negeri Pahang dan Johor juga dibelenggui isu curi pasir, malah mungkin lebih serius daripada apa yang berlaku di Selangor. Akan tetapi isu curi pasir di kedua-dua negeri tersebut jarang diberi perhatian akibat liputan media yang tercondong.

Misalnya, pada tahun 2009, Kerajaan Negeri Selangor mengalami kerugian RM1.82 juta daripada royalti tidak berkutip, tetapi kerugian yang dialami oeh Kerajaan Negeri Pahang adalah sebanyak RM3.23 juta, iaitu lebih kurang satu kali ganda lebih daripada kerugian yang dialami oleh Kerajaan Selangor.[7]

Di Johor pula, adalah didapati juga kegiatan perlombongan pasir yang mula beroperasi sejak tahun 2003 tetapi tidak menyediakan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), aliran air sungai berubah, berlakunya tanah runtuh, pencerobohan, pihak penguatkuasa tidak memantau secara berkala, dan banyak lagi.

Tambahan lagi, kegiatan perlombongan pasir di Pahang dan Johor telah menyukarkan nelayan yang menggunakan Kuala Sungai Miang tersebut sebagai laluan keluar masuk bot mereka untuk ke laut menangkap ikan. Menurut mereka, kuala sungai telah menjadi semakin cetek dan dipenuhi pasir yang menghalang pergerakan bot.

Dari segi mengatasi isu kekurangan koordinasi antara jabatan dan pencurian pasir, tindakan Kerajaan Negeri Selangor juga jauh lebih responsif jika berbanding dengan Kerajaan Negeri Pahang. Satu Jawatankuasa Khas diketuai Ketua Setiausaha Negeri, dan melibatkan Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) serta Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) yang sering mengadakan pemantauan bersama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) telah ditubuhkan serta merta. Sebaliknya, sehingga hari ini Kerajaan Negeri Pahang belum lagi mengambil apa-apa langkah untuk mengatasi masalah tersebut.
Melaka dengan Pulau Pinang

Struktur pentadbiran yang cekap dan beramanah juga banyak membantu mengangkat status sosioekonomi negeri Pulau Pinang. Agenda Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang menekankan kepada prinsip akauntabiliti, ketelusan dan kebertanggungjawaban (CAT) telah terbukti meyakinkan rakyat dan para pelaburnya walaupun memiliki sumber-sumber negeri yang begitu terhad sekali. Apatah lagi bantuan Kerajaan Persekutuan yang dihulurkan adalah tidak ikhlas dan bertujuan memporak-perandakan politik Pakatan Rakyat. Buktinya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mempersoalkan kewajaran Kerajaan Persekutuan yang memperuntukan RM200 juta kepada Khazanah Nasional untuk membangunkan dan memulihara lokasi warisan negeri sedangkan peruntukan RM30 juta yang turut dinikmati oleh Kerajaan Negeri Melaka diuruskan sendiri tanpa pihak ketiga. Adakah tindakan tersebut dianggap hukuman Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional kepada rakyat Pulau Pinang?

Walaupun begitu, hal ini langsung tidak menghalang Kerajaan Negeri untuk menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Berlainan pula dengan Kerajaan Negeri Melaka yang mempunyai daya kebergantungan yang tinggi terhadap Kerajaan Persekutuan untuk menjana pendapatan negerinya. Misalannya, Kerajaan Negeri Melaka memperoleh hasil jualan aset pengurusan air kepada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM39.73 juta. Mungkinkah tanpa pengambilan aset pengurusan air tersebut, Kerajaan Negeri Melaka akan terus terperangkap dalam hutang serta defisit yang tidak tertanggung? Beberapa kelemahan yang ketara perlu diatasi oleh Kerajaan Negeri Melaka seperti kegagalan monorel menyeberangi Sungai Melaka dan projek Eye on Malaysia yang tergendala sekian lama sekiranya negeri Melaka masih berhasrat menjadi pesaing terdekat kepada negeri Pulau Pinang dalam sektor pelancongan.[8]

PENDEMOKRASIAN
Johor/Pahang dengan Selangor

Dari segi pendemokrasian, adalah jelas bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat, terutamanya Kerajaan Negeri Selangor dan Pulau Pinang masih berada di barisan depan dalam proses pendemokrasian berbanding dengan Negeri-negeri Barisan Nasional. Kerajaan Negeri Selangor telah menerajui dasar dan langkah-langkah berikut yang langsung tidak dihirau oleh Kerajaan Negeri Pahang dan Johor:

Menggubal Akta Kebebasan Maklumat;

Memberikan satu pertiga kuota kerusi Ahli Majlis PBT kepada badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO);

Enakmen Perkhidmatan Dewan Negeri Selangor yang memberikan kuasa lebih besar kepada Speaker;

Menghidupkan semula SELCAT;

Menubuhkan jawatankuasa pilihan khas (Select Committee) dalam sidang DUN Selangor;

Mengumumkan aset Exco Selangor;

Menggunakan kuasa MB di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) untuk mendedahkan pelbagai penyelewengan yang tertutup sebelum itu, antaranya Yayasan Basmi Kemiskinan, Rancangan Revolusi Hijau di Bukit Cherakah, Projek Perhutanan Semula dan lain-lain.

Di samping itu, antara kelebihan lain Kerajaan Negeri Pulau Pinang jika berbanding dengan Melaka adalah idea demokrasi itu dipraktikan secara terbuka. Walaupun terlalu awal untuk diperkatakan, sekurang-kurangnya sudah ada keazaman politik yang jelas untuk melakukan perubahan pada pihak Pakatan Rakyat. Berikut adalah usaha-usaha Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang dalam agenda pendemokrasian negeri:

Membentangkan Enakmen Hubungan Kaum pada tahun hadapan;

Pilihanraya Ahli Majlis Tempatan untuk perwakilan masyarakat sivil;

Membentangkan Enakmen Kebebasan Maklumat pada tahun 2010.

Kesimpulannya, fakta-fakta di atas menunjukkan Kerajaan Negeri Selangor dan Pulau Pinang diperintah secara lebih berhemat, telus dan cekap berbanding dengan Kerajaan Negeri Johor, Pahang dan Melaka. Laporan Ketua Audit Negara juga memberikan pengiktirafan kepada pengurusan kewangan Negeri Selangor dan Pulau Pinang yang lebih professional. Dari segi pendemokrasian, negeri-negeri tersebut juga mendahului dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif yang dapat menjamin hak rakyat.

Perkembangan-perkembangan tersebut dapat dilihat sebagai pengambil-alihan kerajaan baru yang bergiat merealisasikan janjian kepada rakyat dan masih segar untuk melalukan reformasi tanpa ikatan beban tradisi.

Dalam konteks negeri, perkembangan positif pasca 8 Mac 2008 juga dapat dinilai dari sudut kebangkitan sistem dua parti, di mana kewujudan sekatan dan imbangan (check and balance) kuasa menjadikan pihak pemerintah lebih berhat-hati dan segan melakukan kesilapan. Secara keseluruhannya, perbandingan dari segi prestasi kewangan, pentadbiran dan pendemokrasian ini wajar menjadi satu asas rujukan kepada rakyat yang sudah berubah dan belum berubah agar mereka menjadi lebih bijaksana dan termaklum dalam membuat keputusan dalam pilihanraya akan datang.
======

Rujukan am:
Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Pengurusan Kewangan Jabatan/Agensi Negeri Johor Tahun 2009
Laporan Ketua Audit Negara – Aktiviti Jabatan/Agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Johor Tahun 2009
Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Pengurusan Kewangan Jabatan/Agensi Negeri Pahang Tahun 2009
Laporan Ketua Audit Negara – Aktiviti Jabatan/Agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Pahang Tahun 2009
Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Pengurusan Kewangan Jabatan/Agensi Negeri Selangor Tahun 2009
Laporan Ketua Audit Negara – Aktiviti Jabatan/Agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Selangor Tahun 2009
Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Pengurusan Kewangan Jabatan/Agensi Negeri Melaka Tahun 2009
Laporan Ketua Audit Negara – Aktiviti Jabatan/Agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Melaka Tahun 2009
Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Pengurusan Kewangan Jabatan/Agensi Negeri Pulau Pinang Tahun 2009
Laporan Ketua Audit Negara – Aktiviti Jabatan/Agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Pulau Pinang Tahun 2009
[1] Analisis Nisbah Semasa adalah untuk mengukur kedudukan kecairan tunai Kerajaan Negeri dalam membiayai jumlah Tanggungan Semasa. Sekiranya nisbah yang dihasilkan melebihi daripada 1, maka ini menunjukkan tanda yang positif dari segi kedudukan kecairan tunai.
[2] Defisit dalam maksud ini mengambil kira perbandingan antara hasil dengan perbelanjaan mengurus Kerajaan Negeri bagi tempoh perakaunan semasa dan tahun sebelumnya untuk mengukur lebihan atau defisit bagi Akaun Hasil Disatukan.
[3] Laporan Ketua Audit Negera, Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Pengurusan Kewangan Jabatan/Agensi Negeri Pahang Tahun 2009, m.s 17
[4] http://paslipis.wordpress.com/2009/11/19/kerajaan-bn-pahang-bentang-bajet-defisit-12-tahun-berturut-turut-2/
[5] Laporan Ketua Audit Negera, Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Pengurusan Kewangan Jabatan/Agensi Negeri Johor Tahun 2009, m.s 19
[6]http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29467:timbalan-pengurus-yayasan-selangor-diarah-cuti&catid=1:utama&Itemid=50
[7] Laporan Ketua Audit Negara, Aktiviti Jabatan/Agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Selangor Tahun 2009, m.s 50
[8]Eye on Malaysia jadi ‘gajah putih’ http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0923&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_01.htm

Pendapat Anda

Switch to our mobile site