Dr Syed Husin Ali tatkala menyingkap pengalaman dalam Dua Wajah menzahirkan sikap tegas menentang kezaliman dan kepedulian jitu terhadap perjuangan rakyat.
Kesibukan pemimpin dan penyokong KEADILAN; kalangan veteran dan pimpinan muda harus tawakuf sejenak dari keghairahan bertarung dan menelaah wawancara terkini sdr Syed Husin dengan Merdeka Review.
Dalam kemelut sekarang, amat sukar sekali tokoh seperti beliau diberikan ruang bukan sahaja dalam media milik Umno; malah juga dalam apa yang dilonggokkan sebagai media alternatif. Ini justeru kerana pendirian tegas beliau tidak memenuhi selera atau agenda mereka.
Namun buat pejuang dan penggerak setia KEADILAN, saranan malah teguran beliau betapa pun menyengat harus dihadham. Hikmah nasihat dan peringatan beliau amat bernilai bagi perjuangan.
Saya yakin demi kesinambungan dan kemurnian perjuangan suara dhamir dan conscience suara sdr Syed Husin harus terus bergema.
ANWAR IBRAHIM
















