14
Jan
10

‘Gema’ Serah Memorandum Kepada Menteri Esok

Dari Harakah Daily

Gabungan Mahasiswa Tuntut Demokrasi Adil dan Bersih (Gema) akan mengadakan rapat umum mahasiswa negara esok bagi menyerahkan memorandum kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Memorandum berkenaan berhubung beberapa tuntutan mahasiswa iaitu menuntut demokrasi kampus telus dan adil, mengembalikan autonomi universiti dan kebebasan akademik serta memansuhkan sistem pengundian secara elektronik atau e-voting.

Penyerahan memorandum itu dijadualkan pada jam 2.30 petang di Pejabat Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) di Putrajaya.

Sehubungan itu, mahasiswa di semua kampus dari seluruh negara diseru untuk sama-sama menyertai rapat umum berkenaan bagi menunjukkan sokongan terhadap tuntutan berkenaan.

Sebelum ini, beberapa gabungan mahasiswa dari kampus di seluruh negara telah mengambil beberapa langkah bagi menuntut perkara itu.

Ini termasuk Gabungan Mahasiswa Bantah E-undi (Bantah) yang melancarkan kempen petisyen online serta kutipan 10,000 tandatangan sebagai referendum mendesak agar sistem pengundian secara e-voting dimansuhkan segera daripada digunakan pada pilihan raya kampus akan datang.

Selain itu, satu forum bertajuk ‘E-Voting dan Masa Depan Demokrasi Kampus’ juga diadakan pada awal Januari di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM).

Forum berkenaan disertai beberapa gabungan mahasiswa seperti Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Gabungan Mahasiswa Islam Se Malaysia (Gamis), Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (Dema), Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami) dan Sekretariat Presiden Kolej-Kolej Kediaman Universiti Malaya (SPKUM).

Terbaru, kumpulan pro-mahasiswa yang terdiri daripada beberapa front mahasiswa itu melancarkan misi ‘Mahasiswa Tawan Kampus’ (MiSi-10) dalam satu majlis di Kompleks Perdana Siswa Gazebo Universiti Malaya.

Selain beberapa gabungan mahasiswa, MiSi-10 itu turut disokong oleh kumpulan pro-mahasiswa dari sepuluh kampus utama di seluruh negara.

Pelancaran MiSi-10 ini juga sebagai isyarat awal mereka menuntut ruang pemilihan yang adil di kampus.


2 Responses to “‘Gema’ Serah Memorandum Kepada Menteri Esok”


  1. 1 farisz@az Jan 14th, 2010 at 10:37 pm

    Semoga perjalanan pro-mahasiswa dalam menuntut hak mahasiswa berjalan dengan lancar.Takbir!!!

    Reply

  1. 1 Tweets that mention ‘Gema’ Serah Memorandum Kepada Menteri Esok at Anwar Ibrahim -- Topsy.com Pingback on Jan 15th, 2010 at 1:04 am

Leave a Reply