PKR janji kembalikan kekebalan raja

29 November 2008

Pendapat

Pendapat Anda?

Dari Malaysiakini

PKR bersedia mengembalikan kekebalan institusi diraja jika berjaya memerintah negara sebagai memenuhi semangat Raja Berperlembagaan, kata presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di kongres parti itu hari ini.

Mengulangi muafakat bersama yang ditandatangani ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat untuk memberikan komitmen terhadap kedudukan Raja-raja Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu, bahasa Malaysia dan agama Islam, beliau berkata:

“Malah kita bersedia mengembalikan kekebalan Raja-raja berteraskan semangat Raja Berperlembagaan. Inilah erti sebenar harapan baru yang kita bawa.”

Rabu lepas, Pemangku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Naquiyuddin Ibni Tuanku Jaafar bertitah supaya kekebalan daripada tindakan undang-undang dikembalikan kepada kerabat diraja bagi membantu mereka berfungsi dengan berkesan sebagai pelindung Perlembagaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz bagaimanapun berkata, perkara itu bukan penting untuk dibincangkan oleh jemaah menteri kerana ia tidak dibangkitkan atau dipersetujui oleh Majlis Raja-raja.

Tidak seperti dijangkakan, projek 16 September – peralihan kuasa kerajaan persekutuan yang diusahakan Datuk Seri Anwar Ibrahim – tidak disentuh dalam ucapan Dr Wan Azizah.

Dalam ucapan bertemakan “Harapan Baru”, beliau hanya berkata “kita hanya setapak lagi untuk membentuk kerajaan baru.”

pkr national congress 291108 wan azizahSemalam, sewaktu merasmikan kongres Wanita dan Angkatan Muda parti itu, Timbalan Presiden PKR Dr Syed Husin Ali menjangkakan isu pertukaran kerajaan akan disentuh oleh Dr Wan Azizah dan Anwar.

Presiden PKR sebaliknya mengkritik pelan peralihan kuasa Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalannya Datuk Seri Najib Razak, Mac ini.

Isteri Anwar berkata, pelan peralihan itu hanya “membawa kepada sebuah pentadbiran yang mirip kepada regim lama” yang menyebabkan “kemusnahan dahsyat” kebanyakan insitusi pentadbiran dalam negara.

“Malah tidak keterlaluan kalau saya katakan, peralihan ini akan membawa kepada sebuah pentadbiran yang lebih mirip pentadbiran regim lama – meluasnya penggunaan ISA dan rasuah.

“Di mana bawah pentadbiran lamalah berlaku kemusnahan dahsyat kepada kebanyakan institusi pentadbiran dalam negara,” katanya di kongres tahunan kelima PKR di Stadium Malawati, Shah Alam pagi ini.

Berhubung kebajikan pekerja, Wan Aizah berkata, pengenalan gaji minimum RM1,000 sebulan akan dilaksanakan di negeri tuan rumah kongres itu, Selangor dalam tempoh terdekat.

pkr national congress 291108 pkr leadersBeberapa pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat yang turut hadir termasuklah Pengerusi DAP Karpal Singh, tokoh-tokoh utama parti Lim Kit Siang dan Teresa Kok, Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa dan setiausaha agungnya Datuk Kamaruddin Jaafar.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim dan presiden SAPP Datuk Seri Yong Teck Li turut hadir.

Dewan persidangan di stadium tertutup itu hampir penuh, antaranya dengan hampir 2,000 perwakilan dan 1,200 pemerhati rasmi. Beberapa ratus penyokong turut hadir.

Sebelum itu, kongres nasional bermula pagi tadi dengan pembentangan minit mesyuarat, laporan tahunan dan penyata kewangan parti itu bagi sesi tahun lepas. 

Kemudian menteri besar Selangor, yang juga ketua perhubungan PKR negeri, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyampaikan ucapan alu-aluan sebagai tuan rumah kongres itu yang diadakan di Shah Alam. 

Anwar akan menyampaikan ucapannya, yang dijangka menyentuh beberapa isu penting PKR dan nasional, tidak lama selepas ucapan presiden.

Menurut aturcara program pagi ini, ketua pembangkang itu akan menyampaikan ucapannya selepas tayangan video dokumentari khas Permatang Pauh.

Pendapat Anda

Switch to our mobile site