
Kuala Lumpur, 1 Julai – Kelab Anwar Ibrahim (AIC) ingin menegaskan pendirian betapa kami menolak sebarang bentuk tuduhan songsang yang dilemparkan kepada pemimpin Malaysia, Anwar Ibrahim.
Wujud plot penceritaan yang kelihatan mahu mengulangi tragedi 1998 tatkala Malaysia kini sedang bersedia melangkah ke era pemerintahan baru. Pun begitu, rakyat tidak sebodoh yang disangka, pengalaman pastinya mendewasakan pemikiran dan tatacara yang lebih matang dan bersedia.
AIC menegaskan komitmen ke atas keluhuran undang-undang, di mana AIC ingin menggesa agar penyiasatan yang telus dan adil dapat dijamin dalam memastikan kes ini selesai dengan kesudahan yang bertepatan dengan prinsip keadilan undang-undang.
Keganasan yang berlaku pada tahun 1998 ke atas Anwar Ibrahim adalah satu insiden yang tidak boleh dipadam sejarah, yang memahat seribu satu kisah yang menggambarkan betapa undang-undang dan nilai moral diinjak mudah oleh para desperado politik.
Sehubungan itu AIC menggesa kerajaan untuk berlaku adil dengan tidak menjalankan penyiasatan dan pendakwaan terpilih sekiranya ada. Keberkaitan Perakuan Sumpah yang dilakukan oleh YM Raja Petra Kamaruddin dengan ‘pendedahan songsang’ ini juga juga harus dipandang serius memandangkan wujud teori domino di sebalik perakuan YM Raja Petra ke atas pihak-pihak tertentu yang memungkinkan wujud konspirasi politik untuk menutup kebenaran di sebalik pendedahan YM Raja Petra.
AIC yakin dan percaya betapa profesionalisme pihak berkuasa untuk menjalankan proses siasatan dan pendakwaan yang telus dan adil akan menggelakkan sebarang bentuk provokasi politik yang memungkin sebarang bentuk keadaan berlaku.
Demi keadilan dan keluhuran undang-undang, AIC tegas menggesa tindakan serius pihak berkuasa untuk menggelakkan sebarang bentuk tragedi 1998 berulang kembali.
Kelab Anwar Ibrahim (AIC) – www.anwaribrahimclub.com
















