Kritikan berhubung nyanyian Negaraku oleh Wee Meng Chee di Internet menggambarkan hipokrasi pimpinan BN.
Bezakan kritikan keras yang disuarakan berhubung isu ini, dengan sikap tidak peduli yang diambil berhubung isu-isu yang lebih asas dan besar.
Dengan mengambil sikap jumud, ia akan mengekang kreativiti rakyat. Ruang mesti diberikan untuk rakyat bersikap kreatif dan bebas bersuara.
Saya tidak menyokong usaha menghina simbol-simbol negara. Saya membezakan antara ekspresi kebebasan kesenian dan kebudayaan tulen dengan sikap kurang ajar yang tidak terkawal.
Garis pemisah antara keduanya mungkin teramat halus tetapi kegagalan membezakannya akan menjadikan kita semua mangsa kongkongan yang melampau, bukannya penilai karya kreatif.
Mari kita jadikan ulangtahun kemerdekaan kita yang ke 50 ini diraikan dengan kepedulian yang lebih mendalam terhadap memulihara kebebasan asas kita, memerangi rasuah dan membina Bangsa Malaysia yang bersatu padu, dan bukannya hanya taksub dengan simbol-simbol negara semata-mata.
Apakah erti simbol-simbol negara kita sekiranya kita tidak mempertahankan nilai-nilai yang diwakilinya?
ANWAR IBRAHIM
















