Saya diperingat berulangkali bahawa wacana ilmiah kurang menarik bagi majoriti pengunjung blog. Kendati begitu saya mohon kesabaran saudara-saudari untuk merenung sajenak himbauan saya mengenai wacana empat tokoh. Sesungguhnya islah dan reformasi akan hanya bermakna jika kita turut memantap ilmu dan memperkasa budaya.
………………………………
Bertempat di Villa Malafrasca
Ada kelainan dalam sesi menarik - wacana bersama Amartya Sen, Emma Rothchild, Michel Camdessus dan saya.
Amartya kini Prof Ekonomi di Harvard, terkenal dengan karya Development as Freedom dan Identity and Violence. Beliau juga adalah pemenang hadiah nobel (ekonomi). Emma adalah Profesor Sejarah dan Falsafah di Cambridge dan dianggap pakar mengenai pemikiran serta gagasan Adam Smith. Michel pernah bertugas sebagai Gabenor Bank Negara Perancis dan KP IMF. Dan Anwar…..suami Azizah..:)
Arakian sehari suntuk sejak 8 pagi hingga 4 ptg kami ngobrol serius menyinggung isu pembangunan, keadilan, kepercayaan dan agama, ilmu dan sejarah. Wacana yang amat menyegarkan dirakam sapenuhnya dan akan diterbitkan.
Perbahasan bermula dengan kami bergilir merumuskan isu kepercayaan -agama dan pembangunan, samada mampu mendorong pertumbuhan atau merobohkan asas tradisional.
Wacana tidak harus terbatas kapada kerangka pemikiran barat saperti faham demokrasi atau kebebasan menurut telunjuk pentadbiran Presiden Bush. Michel Camdesus menyorot kepada idealisme eropah diera pencerahan (enlightenment) dan renaisans. Saya menegaskan ramuan kepelbagaian, kebebasan dan tradisi keilmuan Islam sehingga berupaya memperkenalkan karya agung Yunani ke dunia Eropah, Convivencia di Andalusia yang melahirkan raksasa ilmu saperti Ibn Rush malah Maimonides, filasuf yahudi. Amartya Sen meninjau pengalaman Hindu dan Islam, India dan Cina yang berrencam tetapi memperkaya seandainya mampu menghindar aliran pelampau.
Sesi petang tertumpu kepada permasalahan ekonomi dengan tata tempang, kekuatan dan kelemahan WTO, IMF, Bank Dunia dan PBB. Semua ini dibahas dengan mengambil kira peranan nilai, akhlak dan etika. Khazanah dari pemikir dicambah dengan merujuk kepada Al-Ghazali dan Al-Biruni. Saya ulangi gesaan Muhammad Iqbal mengenai ijtihad. Amartya Sen merujuk kepada Asoka, Akbar, dan Al-Biruni. Beberapa prinsip asas berakar dalam tradisi lama dan harus dimekar menurut konteks semasa. Emma Rothchild merujuk kpd Adam Smith - an inquirt into the nature and causes of the wealth of nations. Berbeda dengan tafsiran tokoh ekonomi semasa, Adam Smith dalam karya tersebut dan dalam - the theory of moral sentiment menekankan aspek keadilan kesejahteraan rakyat terbanyak. Beliau menyanggah kecenderungan ketua gereja dan pemerintah yang mengongkong atau pedagang yang tamak, gelojoh dan menipu. Menurutnya:
Fear is in almost all cases a wretched instrument of government, and ought in particular, never to be employed against any order of men who have smallest pretensions of independency.
Kami merujuk juga kpd pendekatan sederhana - awsatuha - yang dikaitkan dengan tahap kefahaman bukan kedangkalan. Demikian pula menurut Emma Rothchild tatkala menukil hujah David Hume mengenai keupayaan ilmu mengasah kesederhanaan - mildness and moderation.
…………………………..
Di Badia Fiesolana -
5 ptg hingga 8 mlm - Teatro: Public Debate
European University Institute menghimpun ratusan sarjana dan pemerhati politik eropah untuk menyaksikan perdebatan 4 tokoh.
Saya turut terharu dengan penghormatan yang diberikan oleh mereka terutama kenyataan awal bicara oleh Amartya Sen dan Emma.
Perbingan lebih menjurus kepada dasar dan keganasan Amerika, kelompok fanatik Islam, kegagalan Eropah muncul sebagai gergasi ekonomi yang mempertahan keadilan.
…………………..
Kami ditempatkan di villa lama yang dibina di abad ke 14 milik Bartolomeo Diniccolo, seorang pemuka Florentine. Villa kemudian dipindah kepada Bartolomeo di Filippo Valori wakil Pope Clemente VII yang berjaya merampas Florence dalam tahun 1530, tetapi Valori dipancung dan villa kemudiannya dirampas.
Villa tua dengan pemandangan indah tanpa TV untuk memungkinkan wacana dilanjut hingga lewat malam. Bagi kami persekitaran menyegarkan. Tetapi buat anak muda, saperti pengalaman saya di Redhill menyebabkan anak saya Ihsan menyampuk “ya indah papa, old man’s paradise”. Oh..
Anwar Ibrahim
















Assalamualaikum DSAI,
Terpukau sejenak meniti tulisan DSAI apatah lagi wacana ini menampilkan tokoh ilmuan yang berusaha menyuburkan budaya ilmu bukannya budaya maklumat. Ramai kita kini hanya bermaklumat tetapi tiada ilmu. Mampukah nanti, setelah 15-50 tahun akan datang ilmu-ilmu yang digagaskan oleh kesemua tokoh itu dapat diwacanakan lagi atau kita hanya sekadar dapat meratap ilmu itu sebagai peninggalan sejarah. Sekolah, universiti, hatta kajian-kajian di universiti kita terlalu kaya dengan maklumat tetapi fakir ilmu. Sedih sekali apabila rakan-rakan yang bergelumang dengan kajian, hanya ada upaya menyandarkan kepada teori-teori barat lantas lupa langsung bahawa rata-rata ‘grand theory’ tersebut adalah mutiara pemikir Islam yang disadur. Negara kita amat dambakan tokoh pemikir ilmu bukan tokoh bicara maklumat semata.
Salam.
Salam sejahtera,
Apakah wacana dengan tokoh muzik mungkin? Seperti tokoh Yusuf Islam/Cat Stevens mungkin lebih menarik. Dokumentari beliau yang terbaru boleh dilawati di sini:
http://video.google.com/videoplay?docid=7767065682886453985&hl=en-GB
Alangkah baiknya jikalau perdebatan yang begitu sihat berleluasa di negara kita. Berdialog sudah pun hampir tiada apatah lagi berdebat.
Anak-anak muda hari ini bukan sahaja tidak gemar membaca malahan tidak tahu berhujah disebabkan sistem pendidikan kita yang melahirkan robot.
Assalamualaikum.
Kita sedar dengan budaya ilmu di Malaysia.Oleh itu mengapa tidak jika saudara Anwar mengundang ilmuan2 sebegini untuk hadir dan berwacana di Malaysia.
Mungkin impaknya tidaklah sebesar mana dalam keadaan rakyat yang telah dibutakan hati mereka oleh pemerintah,namun kita bertanggungjawab untuk mancelikkan kembali kebutaan mereka itu.
Semoga reformasi ilmu yang dicadangkan ini akan menjadi titik tolak ke arah Malaysia yang demokratik.
Saya mendoakan agar tradisi kegemilangan ilmu ini kembali menghiasi kamar2 kuliah di universiti-universiti di Malaysia. Kalau bukan sekarang, tapi saya mengharapkannya bila mana gerakan rakyat berjaya mereformasikan negara ini kelak.
Saya bersetuju dengan saudara Shen. Dan cadangan Hanaz juga cukup praktikal. Mungkin kalau dijemput tokoh2 sebegini dan dianjurkan forum atau majlis dialog terbuka, saya yakin ramai akan hadirkan diri terutama anak-anak muda yang sudah mula celik dan sedar.
Barangkali kehadiran akan menjadi lebih ramai berbanding majlis2 paksaan anjuran universiti yang menjemput 2,3 orang profesor kangkung utk bercakap soal kebebasan dan hak asasi!
Datuk Seri sebagai seorang yg punya pengaruh dan ramai kenalan dari golongan2 intelektual bisa saja menjayakan majlis2 seumpama ini.
Semoga agenda reformasi dan pencerahan ini bisa terlaksana dengan kerjasana dan komitmen penuh dari semua, InsyaAllah.