Kemelut Bencana Banjir: Pemimpin Digesa Lebih Prihatin

23 December 2006

Pendapat

Pendapat Anda?

Semenanjung dikejutkan dengan bencana banjir yang bermula di bahagian Selatan tanah air.kita kesal lantaran ketiadaan pimpinan negara bersama merakyatkan diri mereka di saat rakyat berada di dalam kekusutan dan memerlukan sokongan pimpinan..

saya sisipkan Kenyataan Media Pemangku Ketua AMK Sdr Shamsul Iskandar berkenaan isu banjir di sini :

Kenyataan Media
23 Disember 2006
Kerajaan BN Lembap Atasi Bencana Alam (Bah Besar)

Angkatan Muda KeADILan Malaysia mendesak kerajaan bertindak secara agresif di dalam menangani pemasalahan bah besar yang setakat ini melanda negara dengan teruk.
Kami merasa kesal degan sikap kerajaan pimpinan Barisan Nasional yang mengambil sikap acuh tak acuh di dalam tindakan mereka.

Angkatan Muda merakamkan perasaan kecewa yang amat sangat di atas tindakan lembap kerajaan terutama di dalam aspek penyelamatan dan penyediaan penempatan banjir.
Perasaan kecewa dan kesal ini juga dilahirkan oleh ramai rakyat Malaysia seperti yang didedahkan di dalam laporan berita TV3 malam semalam dan juga melalui laporan media cetak hari ini.

Adalah satu perkara yang amat menyedihkan bilamana Malaysia yang dianggap terkehadapan di dalam menyelamatkan negara-negara lain yang ditimpa bencana akan tetapi kelihatan lembap dan pincang ketika menyelamatkan negara sendiri.

Kami merasa cukup hairan bagaimana seorang Perdana Menteri masih lagi boleh bercuti di luar negara di dalam keadaan negara ini dilanda musibah yang besar. Ini mengingatkan kami bagaimana tindakan yang sama telah beliau lakukan ketika mana negara ini dilanda tsunami pada 2004 yang lalu.

Angkatan Muda telah mula turun ke bawah dan meninjau perkembangan di pusat-pusat penempatan banjir sejak Rabu lalu. Kami mendesak kerajaan supaya segera mempertingkatkan perkhidmatan kesihatan dan bekalan air bersih bagi mengelakkan berlakunya wabak yang tidak diingini.

Angkatan Muda juga mendesak kerajaan untuk segera mengisytiharkan Hari Bencana Alam dan mengarahkan agar cuti diberikan kepada kakitangan kerajaan yang tidak terlibat dalam kerja-kerja menyelamat mangsa banjir untuk memudahkan mereka menghulurkan tenaga membantu mangsa-mangsa banjir termasuk diri mereka sendiri.

Kami juga mendesak sektor swasta untuk menjalankan tanggungjawab sosial mereka dengan memberikan cuti dan perlepasan kepada mana-mana kakitangan yang menjadi mangsa bah.

Angkatan Muda Pusat telah mengarahkan Angkatan Muda Negeri Sembilan, Melaka dan Johor untuk membantu mangsa-mangsa banjir. Justeru, pihak kami mengalu-alukan sebarang bentuk bantuan kewangan dan tenaga sukarelawan bagi membantu mangsa-mangsa banjir di pusat-pusat penempatan banjir.

Sebarang bantuan atau khidmat boleh disalurkan terus kepada
Azizi (Negeri Sembilan) : 012-3696474
Yusof (Melaka) : 016-2462913
Nurin (Johor) : 012-7616421

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Pemangku Ketua Angkatan Muda
Parti Keadilan Rakyat

Pendapat Anda

Switch to our mobile site