10 July 2006

Pendapat

Pendapat Anda?

Penyertaan Tan Sri Khalid Ibrahim di dalam saf pimpinan KeADILan mendapat sambutan hangat. Ini berdasarkan ratusan email, sms dan berita yang diterima. Kebetulan pula hujung minggu lalu saya telah menjelajah ke Temerloh, Kuantan, Kemaman dan Dungun sementara Azizah punyai acara ketat selama dua hari di Perak. Dan kesan yang kami terima dari aktivis dan penyokong akar umbi cukup memberansangkan.
Saya mengenali Saudara Khalid Ibrahim sejak di zaman ABIM lagi diakhir tahun 70an, dan telah bersama beliau dalam beberapa panel perbincangan masalah ekonomi Melayu dan Malaysia. Tetapi yang menarik perhatian saya ialah fokus beliau dalam isu pembangunan ekonomi bumiputera dan rakyat. Sejak awal kami bersependapat bahawa yang menjadi keutamaan adalah ekonomi rakyat; penekanan mengenai penyamarataan ekonomi; pembasmian kemiskinan. Bahkan dalam program melahirkan kumpulan peniaga dan korporat bumiputera, Sdr Khalid berusaha melahirkan kumpulan peniaga dan profesional menengah yang ramai dan tidak kelompok korporat kroni bilionaire yang kecil jumlahnya.
Sebaik saya menjadi Menteri Kewangan beliau menemui saya mencadangkan gagasan besar membasmi kemiskinan. Saya lancarkan kemudiannya di Baling Kedah – program khas rakyat termiskin yang akhirnya menelan berbilion ringgit. PPRT dan Skim ASB tersebut tidak melibatkan penubuhan agensi baru atau melibatkan belanja pengurusan yang tinggi saperti lazimnya. Dengan ini ia merupakan skim unik dan sampai terus kapada rakyat termiskin. Beberapa tahun kemudiannya Sdr Khalid telah mencadangkan penubuhan PUNB – khusus ubtuk mebantu peniaga dan koporat bumiputera kecil dan sederhana.
Saya berhasrat mengupas pengalaman tersebut tatkala memperkenalkan Sdr Khalid Ibrahim di daerahnya Kuala Selangor dan Tg Karang pada 11 Ogos nanti insyaAllah.

10 July 2006

Pendapat

Pendapat Anda?

Sidi menanyakan :

Ingin tahu Dato’ seri telah memperolehi ijazah kedoktoran kerana saya ada terbaca yang dato telah bergelar Doktor. Kalau benar, boleh hebahkan sedikit di university mana dato’ seri menjalani pengajian di peringkat ijazah kedoktoran.

Sidi,
Panel Universiti Georgetown yang menggelar saya doktor meskipun tidak menyelesaikan PhD berdasarkan karya ilmiah dan seminar bersama Professor di Universiti. Tetapi saya masih menandatangani surat sebagai Anwar sahaja. Malah pihak Universiti Georgetown telah meminta saya memimpin dan memberi kuliah kapada kursus mahasiswa dan siswazah.

10 July 2006

Pendapat

Pendapat Anda?

Alang Senama menanyakan :

Saya ingin mengetahui tentang latarbelakang pendidikan DSAI semasa diperingkat Universiti. ini kerana ramai orang berpendapat DSAI tidak sempat menghabiskan pengajian kerana ditangkap dibawah akta ISA 1974.Harap mendapat penjelasan dari Dato’.

Alang Senama,
Saya selesai dengan ijazah BA Hons – pengajian Melayu (antropologi dan sosiologi). Saya hampir menghabiskan tesis untuk M.Litt di bawah Prof Syed Mohd Naquib Al Attas ketika ditahan dan kemudian dibatalkan olih UKM.
Tak mengapalah, sekarang Profesor dan mengajar di Universiti Georgetown.

10 July 2006

Pendapat

Pendapat Anda?

SERIgala memberi komen :

Assalamualaikum DSAI, buat apalah nak letihkan otak nak melayan orang yang dah tak mahu bersama; walauapapun mereka pernah berjasa kepada perjuangan saudara. Teruskan tumpuan kepada perjuangan bersama-sama mereka yang punya iltizam politik untuk membentuk negara Malaysia untuk semua rakyat Malaysia.

SERIgala,
Wah! kenyataan membina dan memberansangkan.
Membujur lalu melintang patah!

10 July 2006

Pendapat

Pendapat Anda?

NasirB menanyakan :
Assalamualaikum Dato’Seri.
Terima kasih kerana sudi menjawab soalan-soalan saya.
saya amat bersetuju dengan keutamaan yang Dato’ Seri pilih,
tetapi tidakkah perubahan sukar dilaksanakan sekiranya ‘ketam-ketam’ ini masih ada kekebalan (imunity) dari undang-undang yang boleh membersihkan integriti dan maruah kepimpinan seperti undang-undang mengenai rasuah dan salah guna kuasa contohnya. dan ‘ketam-ketam’ ini terus menerus menunjukkan ‘teladan baik’ mereka di kaca-kaca tv media arus perdana. Apa komen Dato’ mengenai perkara ini?
NasirB,
Sesungguhnya perubahan diakui sukar, tetapi kita tidak punyai pilihan.
Semalam tatkala berucap di hadapan puluhan ribu rakyat di Dungun Terengganu, saya nukilkan dari puisi WSRendra –
“Sekarang setelah aku mati
baru aku menyedari
bahawa ketakutan membantu penindasan
dan sikap tidak berdaya
menyuburkan ketidakadilan.”
InshaAllah kita akan berjaya berkat ikhtiar dan doa.

8 July 2006

Pendapat

Pendapat Anda?

Wan Hilmi (melalui emel) menanyakan:

Datuk Seri, apa yg tersiar di News Staits Times hari ini (7 Julai 2006) mengenai apa yang dikecam oleh bekas Bendahari Agung PKR, Abdul Rahman Othman yang wujudnya elemen korupsi dalam kepimpinan PKR adalah amat serius. mohon klarifikasi daripada Datuk Seri untuk memberikan gambaran yang jelas atas kecaman ini.

Sdr Wan Hilmi,
 
Sepanjang 8 tahun mengharungi pahit getir perjuangan, Keadilan dan gerakan reformasi telah seringkali mengahdapi isu sademikian yang kemudian di gunakan sapenuhnya olih media BN. Selama ini kami memilih untuk tidak melayani karenah sademikian kerana kenyataan balas kita tidak akan diberikan liputan. Lagi pun beberapa teman tersebut pernah berjasa kapada perjuangan.
Sdr bolih buat tinjauan dan tafsiran sendiri. Saya akan hanya memberikan reaksi sekirannya terdapat tuduhan berdasarkan fakta. Projek berapa ratus jutakah yang saya atau Keadilan agihkan?
Saya mahu menumpu kapada kerja dan Tan Sri Khalid Ibrahim kini akan membantu perjuangan secara langsung.

8 July 2006

Pendapat

Pendapat Anda?

Budak Jepun menanyakan (melalui emel) :

Datuk Seri,

Masihkah saudara berulang alik antara Malaysia dan Amerika?Mana lagi yang saudara lawat atau mengambil bahagian dalam konferens mana-mana?

budak jepun,
Mengapa bertanya mengenai Amerika dan tidak Jepun?
Saya menumpukan kegiatan di Malaysia walau pun akan ka Doha minggu depan untuk menghaidiri sidang Foundation for the Future dan kemudiannya ka Australia menyertai Persidangan mengenai Shakespeare. Saya akan ka Washington dalam bulan Sepetember untuk menyampaikan kuliah di Universiti Georgetown.

8 July 2006

Pendapat

Pendapat Anda?

Semut menanyakan:

DSAI ingin saya bertanya bahawa apakah benar apa yang diberitakan oleh laman web UMNO-Reform dimana keluarnya saudara Abdul Rahman Othman daripada parti keadilan rakyat adalah kerana mereka mendapat tahu bahawa pimpinan tertinggi keadilan berniat untuk menyertai umno…

lebih menampakkan bahawa dakwaan itu semakin hampir kebenarannya apabila saya melihat kata-kata DSAI yang selalunya tidak menyalahkan umno dalam setiap ceramah saudara…

cuba komen sedikit…wassalam

guest 1070
 
Demikian telahan dan tohmahan mereka selama ini. Sabelum ini ada aktivis yang keletihan dan memilih menyeberang ka UMNO. Saya telah tegaskan pendirian saya untuk bersama Keadilan dan meneruskan agenda reformasi.
UMNO sekarang tenat dengan rasuah, penyelewengan dan persengketaan pimpinan.
Saya menyerang dasar dan pimpinan UMNO dan tidak ahli UMNO. Pendirian ini tidak berubah dari dulu.

7 July 2006

Pendapat

Pendapat Anda?

Wawancara yang diatur bersama dengan Bloomberg yang dijadual disiarkan di Saluran 12,ASTRO, telah dipinda siarannya pada hari ini, 7 Julai 2006 (Jumaat).

Wawancara selama 22 minit tersebut akan disiarkan pada jam 1.00 petang, 8.00 malam, dan 11.00 malam.

7 July 2006

Pendapat

Pendapat Anda?

antitipu menanyakan melalui emel :

Assalamualaikum Dato’ Seri,
Nampaknya satu per satu “rahsia besar” kerajaan BN mula tersingkap…
Skrg ini pendedahan TS Tajudin Ramli pula, seperti dilaporkan oleh The Sun di :

http://www.sun2surf.com/article.cfm?id=14690

Apa komen Dato’ Seri, adakah Dato’ Seri telah lama tahu mengenai “dealing” ini?

antitipu,

Saya telah mendakwa bahawa Tun Dr M dan Tun Daim mempunyai kepentingan tetapi tidak memperolehi bukti kukuh. Kini TS Tajuddin sendiri yang mendedahkan. Giliran mereka menjawab. Semuga rakan-rakan dalam UMNO akan lebih peka sekarang.

7 July 2006

Pendapat

Pendapat Anda?

padamar menanyakan:
Assalamualaikum,
Terima kasih Dato’,
Mungkin pandangan DSAI dalam sudut kedudukkan ekonomi semasa kita berbanding dengan negara-negara yang DSAI sebutkan mungkin dapat menjawab sedikit sebanyak kejanggalan saya berhubung dengan jambatan bengkok yang mungkin hanya sebahagian kecil antara isu negara ketika ini, namun untuk memastikan perkara ini dapat diterima oleh akal pemikiran saya sebagai sesuatu yang tepat dan benar, saya akan cuba untuk mendapatkan pelpagai sudut pandangan yang berhubungkait dengan perkara berkenaan. Saya juga terpanggil untuk mencari jalan keluar dari pemikiran tempurung seperti yang DSAI sarankan.
Sambil itu saya ingin meminta pandangan dan komen DSAI berhubung dengan kelebihan dan potensi Malaysia di dalam usaha memajukan ekonomi negara. Saya melihat beberapa perkara berikut untuk DSAI komen dan mencari dimana kesesuaiannya.
1. Bolehkah kalau Kaum Cina yang terkenal dengan budaya ekonominya diberi tugasan untuk mengepalai atau mengetuai satu usaha agar memberi fokus dan mengambil faedah dengan perkembangan ekonomi China. Sebagai contoh membuat pelaburan ataupun merebut peluang dengan skop pemasaran yang sangat luas di China.
2. Begitu juga dengan Kaum India, boleh kah kita menghantar dan memberi galakan kepada mereka supaya mengetuai satu usaha untuk merebut peluang dan faedah dengan munculnya India sebagai antara Negara ekonomi baru Asia terutamanya dalam sektor Teknologi Maklumat. Sektor informasi adalah sesuatu sektor yang mula menguasai dunia kini.
3. Bolehkah Melayu mengetuai dan menumpukan usaha membina sistem kewangan Islam dan produk Halal yang bernilai billion dolar sebagai salah satu blok baru atau alternatif baru kepada ekonomi dunia.
4. Bolehkah Bumiputera Sabah dan Sarawak diberi tugasan untuk mengetuai sektor pelancongan dengan memperkaya nilai tradisi dan kebudayaan untuk dipasarkan ke peringkat global. Juga sektor pertanian yang lebih sesuai dikembangkan di Negeri Sabah dan Sarawak.
5. Bila adanya usaha untuk keluar daripada ekonomi domestik, saya rasa kita memang boleh bersaing malah mempercepatkan usaha pengembangan ekonomi. Dan lagi setiap tugasan atau pun misi mesti disertai oleh kaum-kaum lain sebagai usaha agar tidak timbul soal penguasaan sesuatu pasaran berdasarkan kaum. Mungkin usaha mampan ini akan mengubah kebergantungan swasta terhadap projek-projek kerajaan.
Saya cuba mencadangkan perkara ini dengan mengambil kira kelebihan kita sebagai sebuah negara yang multi racial. Dan agar semua kaum mengambil peranan untuk membawa kekayaan dari luar untuk kita nikmati bersama dalam Malaysia. Jika ini berlaku mungkin MSC,Industri kecil dan sederhana,pertanian, pelancongan dan lain-lain pasti mempunyai ruang pasaran yang lebih terbuka dan ini mendorong kepada peningkatan nilai tambah kepada produk-produk yang sedia ada. Dan yang pasti jika kita beroleh kejayaan semua rakyat tanpa mengira latarbelakang kaum dapat manafaat dan mungkin dapat memperkukuhkan lagi perpaduan yang selama ini merupakan harta yang paling berharga kita miliki.
Sekian, Mohon komen dan pandangan DSAI. Kalau pendekatan ini sesuai, apakah mekanisme yang sepatutnya dilakukan agar konsep ini boleh berjaya.
Wassalam.
padamar,
Saya tertarik dengan cadangan sdr yang melihat negara pelbagai kaum sebagai satu kekuatan dan tidak hanya merumitkan. Inilah yang harus dilakukan olih pimpinan negara. Umat Islam dan masyarakat Melayu boleh memenfaatkan pengalaman mengurus institusi ekonomi Islam untuk menarik pelaburan dan penyertaan Arab. Begitu juga dengan peniaga Cina untuk kepentingan perniagaan dinegara Cina yang kini berkembang pesat. Rakyat Malaysia keturunan India perlu digalak untuk menyertai kegiatan perniagaan di India. Tetapi dalam semua kegiatan yang harus dibantu oleh pemerintah, penyertaan semua kaum adalah penting.
Malangnya kita kurang agresif mendorong kegiatan kearah tersebut. Bahkan Singapura sekarang lebih ke depan di dunia Arab dan sistem kewangan Islam!

7 July 2006

Pendapat

Pendapat Anda?

Abufatihah menanyakan :

Salam DSAI,

Saya rasa DSAI missed my question before. I really want the answer.Berikut ulangan soalan sebelum ini.
Apakah pendapat DS mengenai Sisters In Islam? Apakah pendirian PKR terhadap mereka? Saya mendapati PKR adalah antara yang meng’endorse’ against moral policing yg di anjurkan oleh Sisters In Islam. Rujuk http://www.sistersinislam.org.my/joint%20statement.htm
Abufatihah
 
Maaf kerana menangguh jawapan, kerana saya ingin semak pendirian Keadilan.
Kita mesti konsisten mengamalkan dasar menghurmati kebebasan bersuara. Ini termasuk juga pandangan yang tidak kita persetujui.
Namun kebebasan bagi kita tidak hanya mencungkil beberapa kelemahan peruntukan undang-undang atau perlaksaan dasar. Ia harus mencangkup isu hak asasi, kebesan bersuara, keluhuran undang-undang.
Mengenai Sis in Islam, sekirannya kita tidak bersetuju dengan pandangan mereka, wajar kita ketengahkan hujah kukuh.
Keadilan berpendapat “moral policing” perlu tertakluk dengan peraturan ketat dan tidak keterlaluan dalam kuasa dan tindakan.
Pada faham saya, isu akhlak harus lebih ditekan dalam pendidikan, daawah dan pengawasan keluarga.

 

Switch to our mobile site