Artikel

19 December 2010

Pendapat

Pendapat Anda?

Dari Malaysiakini

Mesej di konvensyen kedua Pakatan Rakyat di Kepala Batas hari ini adalah jelas: Tiada masa lagi yang harus dibazirkan untuk menyelamatkan negara daripada kerosakan yang dilakukan Umno dan beri mandat kepada Pakatan untuk mengambil alih Putrajaya dan memulihkan keadilan dan demokrasi di Malaysia.

Dalam ucapan mereka, tiga pemimpin utama Pakatan – setiausaha agung DAP Lim Guan Eng, presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut menyentuh tentang dasar-dasar untuk negara di bawah pentadbiran gabungan tersebut.
Dalam ucapannya, Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang, mengumumkan program 100 hari untuk rakyat melalui reformasi tulen yang boleh dilaksanakan di bawah pentadbiran Pakatan.

Program itu merupakan resolusi sepuluh perkara yang menggariskan secara terperinci bagaimana Pakatan akan mentadbir negara untuk kebaikan semua rakyat Malaysia.

Pemimpin Pakatan akan menandatangani dokumen tersebut, yang dijangka akan dijadikan manifesto gabungan itu dalam pilihan raya umum akan datang.

Sebelum itu, Lim memberi amaran supaya jangan membiarkan Umno ‘merampas’ Perlembagaan Persekutuan untuk terus memecahbelahkan rakyat Malaysia.

Katanya, Umno sering memetik Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan
mengenai kedudukan istimewa orang Melayu sebagai justifikasi kepada pendekatan rasis mereka.

Namun, tegasnya, Umno selalu gagal untuk menyebutkan Perkara 153 juga menyatakan bahawa kepentingan yang sah masyarakat lain, juga mesti dilindungi.

Lim, yang juga setiausaha agung DAP berkata, adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera mana-mana Negeri Borneo dan kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara tersebut.

Antara pemimpin Pakatan yang hadir di konvensyen itu ialah ketua
umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; pengerusi kebangsaan DAP, Karpal Singh dan presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Turut hadir ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim; Menteri Besar Kedah, Datuk Azizan Abdul Razak dan wakil mursyidul am PAS, yang juga menteri besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Kira-kira 1,800 orang menghadiri konvensyen sehari itu, yang dijangka berakhir jam jam 6 petang.

Malam tadi, Anwar bersama-sama dengan para pemimpin Pakatan, mengadakan ceramah di Balik Pulau, sebagai pemanas kepada konvensyen hari ini. (more…)

19 December 2010

Pendapat

Pendapat Anda?

Dari Harakah

Reformasi ekonomi terpenting yang bakal diperkenalkan Pakatan Rakyat ialah menukar sasaran daripada ekuiti asas perkauman amalan Barisan Nasional sekarang kepada ekuiti isi rumah untuk semua rakyat.

“Ekuiti asas perkauman seperti diamalkan sekarang telah menyebabkaan penderitaan rakyat kerana pemimpim-pemimpim Umno dan Barisan Nasional menyelewengkan pembahagian ekonomi atas nama kaum untuk suku sakat mereka,” kata Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke ketika membentangkan kertas kerja utama Konvensyen Pakatan Rakyat di sini hari ini. (more…)

26 November 2010

Pendapat

Pendapat Anda?

Klik Disini Untuk Membaca Ucapan Penuh:-Ucapan Tim Presiden-1

Ulasan Dari Merdeka Review

Pakatan Rakyat mempunyai banyak kekuatan yang tidak ada pada gabungan politik sebelum ini, dalam sejarah menentang musuh penjajah British, Perikatan mahupun Barisan Nasional sekarang, kata Timbalan Presiden PKR Syed Husin Ali. Bagaimanapun, beliau melihat cubaan pembentukan “Third Force” (Kuasa Ketiga) boleh memberi nafas kepada UMNO-BN.

“PAKATAN menyatukan parti-parti terbesar di luar pemerintahan sebagai hanya satu gabungan. Namun begitu, ia harus menarik juga parti-parti kecil yang masih belum menyertainya, dengan syarat mereka menyokong penuh Dasar Pakatan Rakyat yang telah disetujui pada 19 Disember 2009. Kini terdapat hanya satu gabungan yang boleh menjadi pilihan rakyat dalam pilihanraya akan datang.”

Beliau mengingatkan, “Namun, ada percubaan untuk membentuk apa yang disebut sebagai ‘Third Force’. Jika terbentuk, badan ini boleh memberi nafas kepada UMNO-BN. Ia akan juga menyulitkan PAKATAN untuk mencapai kemenangan besar. Perkara ini pelu ditangani dengan bijaksana.”

Syed Husin Ali berkata sedemikian dalam ucapannya ketika merasmikan Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan, yang berlangsung di Dewan Banquet Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), pagi ini. Ini merupakan kali terakhir Syed Husin Ali yang menyandang jawatan Timbalan Presiden PKR sejak tahun 2003 memberi ucapan perasmian Kongres Wanita dan AMK.

Sejarah PKR dan politik tanahair

Bekas Presiden Parti Rakyat Malaysia mengisahkan sejarah kebangkitan Parti Keadilan Nasional lantaran pemecatan Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dan percantumannya dengan Parti Rakyat Malaysia kemudiannya. Dalam ucapan beliau yang setebal 28 muka surat, Syed Husin Ali juga mengimbas bagaimana gabungan tenaga rakyat berlaku sebelum kemerdekaan, misalnya PUTERA-AMCJA untuk menentang penjajah British.

Syed Husin Ali kemudiannya menceritakan bagaimana Fron Sosialis (SF), Harakah Keadilan (HAK), GAGASAN-APU dan Barisan Alternatif (BA) dibentuk selepas kemerdekaan untuk menentang kerajaan Perikatan, dan kerajaan UMNO-BN kini. Meskipun PKR mahupun Pakatan Rakyat turut mengalami penindasan dan kezaliman sebagaimana yang dilalui pakatan politik sebelumnya, namun Syed Husin agak optimis terhadap senario terkini.

“Sekarang ini saya lihat KEADILAN berada dengan asas yang kukuh, walaupun masih terdapat banyak lagi kelemahan serta masalah. Dalam usianya yang pendek, kita telah menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan. Namun Parti tidak berjaya diganggu gugat, sama ada dari dalam dan luar. Ia tetap berdiri kukuh. Saya yakin segala pengalaman yang dilalui – pahit, maung dan apatah lagi manis akan mematang dan memperkasakan lagi kita dan Parti kita.”

PKR bagai parti pelangi (more…)

20 November 2010

Pendapat

Pendapat Anda?

Ihsan Media Rakyat


14 November 2010

Pendapat

Pendapat Anda?

“Fortified by her conviction for freedom and justice, Aung San Suu Kyi has soldiered on from strength to strength gaining widespread support throughout the world. Her release today will further invigorate the fight for democracy of the people of Burma despite 20 years of brutal oppression. She will continue to inspire freedom fighters and advocates of democracy throughout the world.”

Anwar Ibrahim

6 November 2010

Pendapat

Pendapat Anda?

Dari Suara Keadilan

Rakyat digesa bangkit menumpaskan penindasan di sebalik ketidakadilan, rasuah dan salahguna kuasa yang berleluasa di dalam realiti politik negara yang menyaksikan elemen penindasan dilakukan secara sistematik sehingga menyulitkan rakyat dari pelbagai sudut.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mewakili pimpinan dan anggota parti dalam ucapan kepada penganut agama Hindu sempena perayaan Deepavali berkata keadaan politik semasa mendesak rakyat agar mengembalikan ‘cahaya kesedaran’.

“Jika dihimbau sorotan sejarah, dihikayatkan bahawa Deepavali adalah bersempena mengenang kekalahan Raja Naragasura yang kejam yang kemudiannya mati dibunuh oleh Maha Krishnan.

“Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Raja Naragasura berpesan kepada mereka yang lupa agar berbuat baik dan menjauhi berbuat kejahatan sesama manusia.

“Maka tradisi menyalakan pelita di rumah penganut Hindu adalah sebagai simbolik bagi meraikan kemenangan Kebaikan yang menewaskan Kejahatan dan cahaya yang melenyapkan kegelapan,” kata beliau.

Justeru, himbauan sejarah dan hikayat tentang perayaan Deepavali ini sewajarnya direnung dan dimanifestasi dalam kehidupan yakni iltizam perjuangan menentang kejahatan dan kebatilan pasti akan menemui pengakhiran kebaikan dan kebenaran.

4 November 2010

Pendapat

Pendapat Anda?

“Sesungguhnya dengan amalan kebaikan maka hadirlah kemuliaan, sesungguhnya kejahatan itu menjelma apabila kita melupakan amalan kebaikan”

Pesan di atas merupakan terjemahan dari bait yang terkandung dalam adikaram keempat Thirukural, adikarya penyair besar Tamil, Tiruvalluvar. Karya tersebut adalah sebuah karya yang sarat dengan tunjuk ajar kebaikan yang disampaikan dalam bentuk puisi. Gema dari bait-bait Thirukural kini semakin bermakna tatkala menjelangnya Deepavali.

Deepavali yang diraikan masyarakat India beragama Hindu merupakan suatu perayaan yang meraikan kemenangan Kebaikan mengalahkan kejahatan, kemenangan Keadilan menewaskan kezaliman. Walau bagaimanapun Kebaikan bukanlah hadir tanpa kita berusaha untuk meraihnya. Mendapatkannya adalah suatu perjuangan, berusaha memastikan Cahaya mengalahkan kegelapan. Buat semua yang merayakan Deepavali, saya ucapkan Deepavali Nal Valthukal.

ANWAR IBRAHIM

3 November 2010

Pendapat

Pendapat Anda?

Dari Harakah

Para pengundi sekalian wajar menggunakan kesempatan dalam pilihan raya kecil (PRK) esok untuk menjadi hakim yang adil dalam satu proses demokrasi.

Justeru, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru mereka agar hendaklah memilih untuk bersama dengan PAS di Galas dan PKR di Batu Sapi untuk kesejahteraan rakyat dan masa depan yang lebih baik. (more…)

16 September 2010

Pendapat

Pendapat Anda?

16hb September 1963, Perseketuan Tanah Melayu bersama Sabah dan Serawak secara rasminya membentuk Malaysia. Makanya kenegaraan Federalisme yang menjadi salah satu dari tiang seri negara sewajarnya menjadi semakin kukuh dan sepatutnya lagi dihormati. Kemasukan Sabah dan Sarawak ternyata membawa dampak yang bukan sedikit kepada negara. Malangnya semangat pembentukan Negara Malaysia dan faham Federalisme yang mendukungnya, malah diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan pula, kian hari semakin terhakis. Pemusatan kuasa kepada kerajaan persekutuan tidak terbendung lagi. Faham Federalisme, Kedaulatan Undang-Undang dan Semangat Keperlembagaan diketepikan demi mengekalkan kekuasaan elit pemerintah semata. Justeru tidak hairan kita lihat bagaimana negeri-negeri seumpama Kelantan, Sarawak dan Sabah dinafikan hak mereka sungguhpun kaya dengan hasil bumi serta semulajadi. Janji-janji manis ditabur di Sabah dan Sarawak misalnya, kerana ianya dianggap sebagai “deposit” kemenangan ketika mahu memenangi pilihanraya.

Ketidakadilan yang dialami oleh rakyat dari negeri-negeri yang ditindas inilah membuatkan mereka bersikap acuh dan pesimis terhadap hasrat memperkukuh sebuah negara Persekutuan ini. Jelasnya kita tidak boleh menyalahkan mereka dan seharusnya berusaha menjana tenaga, fikiran serta terus beriltizam membasmi penindasan tersebut. Makanya Parti Keadilan Rakyat bersama Permuafakatan Pakatan Rakyat tuntas untuk memastikan keadilan dilaksanakan di seluruh negeri-negeri yang bersekutu dengan negara ini dan berusaha sejajar dengan hasrat murni Perlembagaan Persekutuan. Malanglah negara ini jika pemerintahnya bertindak menyisihkan dan menafikan hak rakyat sendiri kerana berbeza fahaman politik, ras dan kebudayaan.

Kini sudah tibalah masanya seluruh rakyat dari Perlis sehingga ke Johor, dari Kelantan sehingga ke Sabah dan Sarawak menyertai gelora menuntut Perubahan, agar sirna penindasan dan tertegaknya Keadilan. Hari Malaysia ini, bersamaan 16hb September 2010, biarlah ianya dimaknai oleh kita, untuk terus beriltizam dan berusaha mengembalikan Semangat Keperlembagaan agar negara ini “…mencapai taraf suatu bangsa yang merdeka lagi berdaulat sama setimpal kedudukannya dengan segala bangsa seluruh dunia.”

ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia

?

13 September 2010

Pendapat

Pendapat Anda?

Parti Keadilan Rakyat memperkenalkan sistem pemilihan yang demokratik; memberi ruang kepada setiap anggota menentukan calon pilihan mereka.

Maka di atas pundak setiap anggota dibebankan tanggungjawab untuk memastikan idealisme perjuangan dan tuntutan reformasi terus dipertahankan dengan penuh rasa tanggungjawab.

Prinsip tersebutlah yang kelak menjadi asas pertimbangan, dan bukannya tuntutan luaran atau sogokan. Kaedah etika pemilihan wajib dipatuhi semua.

Rakan2 serta pemimpin di peringkat akar umbi juga melahirkan keprihatinan dan melontarkan beberapa cadangan tambahan buat pertimbangan pimpinan.

Maka sesuai ditegaskan bahawa adalah hak anggota memilih berdasarkan prinsip perjuangan parti. Saya menginginkan persaingan yg sihat; dengan semua calon yang dikemuka mematuhi etika pemilihan sepenuhnya dan tidak mendakwa mendapat restu saya.

Saya juga tidak akan menerima sebarang pencalonan untuk sebarang jawatan dalam parti.

ANWAR IBRAHIM

10 September 2010

Pendapat

Pendapat Anda?

Alhamdulilah syukur kepada Allah SWT, Yang Maha Penyayang dan Maha Mengasihani, kerana dengan limpah KurniaNya, berjaya kita menyempurnakan ibadah puasa di Bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini.

Menjelang Syawal, saya mengambil kesempatan ini, mewakili keluarga dan Parti Keadilan Rakyat mengucapkan Salam Eidulfitri kepada seluruh umat Islam. Saya berharap kita menyambut hari yang penuh bahagia ini dengan mengingati saudara kita yang berada dalam penderitaan walau di mana pun mereka berada. Tatkala kita semua menyambut hari lebaran dengan rasa syukur dan meriah bersama keluarga, ada di kalangan kita yang meratapi pemergian mereka yang dikasihi. Moga Allah Yang Maha Besar memberi kesabaran buat kita semua.

Eid ul Fitr, salah satu dari maknanya adalah hari di mana kita sedar dan kembali kepada fitrah, mengingatkan sesungguhnya kita dicipta sebagai makhluk yang penuh kasih sayang, bukannya kebencian. Ramadhan selama hampir sebulan itu sewajarnya memupuk nurani kita untuk menghindarkan rasa dengki, benci dan dendam. Sering diungkapkan bulan yang mulia itu madrasah ampuh buat melebur dinding hitam pekat yang merosak jiwa dan qalb, serta memangkin kemurnian agar kembali dengan rasa kasih yakni fitrah kita sebagai insan mahkluk kepada Pencipta Yang Agung.

Malangnya sepanjang Ramadhan, masih ada yang menabur kebencian, fitnah dan berharap untuk memecah belahkan sesama kita. Menuduh dan menuding menjadi amalan dan budaya. Tatkala masyarakat menginginkan jurang perbedaan dirapatkan, fitnah dan kebencian disemai rekayasa golongan pelampau yang alpa akan fitrahnya sebagai makhluk. Keangkuhan meresapi diri kerana merasa tidak terkalahkan dan ramai.

Makanya saya memohon izin berkongsi ibrah dari sirah Rasulullah SAW ketika Perang Hunain yang meletus pada bulan Syawal. Selepas kejayaan Pembukaan Kota Mekah, umat Islam ternyata begitu bersemangat, oleh itu ketika menuju medan perang, ada yang mula mengungkapkan

“di hari ini kami tidak akan terkalahkan”

Keangkuhan menjalar dan merasuk! Seperti yang kita semua ketahui, umat Islam kalah pada pusingan awal sehinggalah ampunan dan pertolongan dari Allah SWT tiba merubah kekalahan yang sebelumnya hampir pasti. Turunlah ayat 25, Surah at Taubah yang menegur dan mengingatkan umat Islam:

“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.”

Allah SWT menempelak sikap yang tergelincir jauh dari fitrah, iaitu gagal bersikap merendah hati dan pemurah serta mengasihani. Mengakhiri pesan ringkas sempena sambutan hari yang penuh keberkatan ini, saya nukilkan pesan dari Quran yang mulia, ayat 128, Surah al Nahl, buat menjadi pedoman untuk saya dan semua,

“sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang berbuat kebajikan”

Moga Eid ul Fitr tahun ini mendorong kita untuk merenung diri dan menjana perubahan agar tidak tidak tergelincir dari fitrah yang murni serta luhur. Bersesuaian dengan pesananNya, perbanyakkan lah amal dan berbuat kebajikan.

Salam Eidulfitri
Minal ‘aidil wal faiziin.
Maaf zahir dan batin.

ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat

17 August 2010

Pendapat

Pendapat Anda?

Pertalian erat di antara Malaysia dan Indonesia semestinya tidak dapat disangkal lagi. Sejarah dan budaya menjadi bukti keakraban di antara kita, walau dipisahkan dengan apa yang dikenal sebagai “sempadan.”

Hakikatnya sejarah mencatatkan betapa Proklamasi Kemerdekaan Bung Karno-Hatta turut menyemarakkan semangat rantau khususnya di Semenanjung Tanah Melayu ketika itu. Maka kemerdekaan Indonesia sapertimana juga Malaysia pada 31 Ogos sewajarnya mencernakan idealisme perjuangan menuntut kebebasan dan mengisinya dengan memartabatkan rakyat.

Hari ini rakyat Indonesia di mana saja mereka berada menyambut ulang tahun ke 65 kemerdekaan Republik tersebut dengan rasa penuh bangga. Mengapa tidak mereka merasa begitu kerana setelah melalui segala kepayahan, Republik yang mereka cintai kini sedang tumbuh mekar sebagai salah satu negara terbesar di dunia yang terus beriltizam dengan prinsip-prinsip demokratik.

Bersempena 17 Ogos ini, saya mendoakan agar Republik Indonesia akan kekal makmur dan sejahtera. Moga keakraban budaya dan ikatan sejarah memastikan kerjasama yang lebih erat dan didasari rasa saling hormat menghormati di antara kita.

ANWAR IBRAHIM