Lubnan terus membara, dunia kelihatan lesu, Palestin kian disisih. Demikian bantahan saya di Parlimen Canberra baru-baru ini. Keganasan dan kebiadapan Israel bukan baru. Setiap kali serangan baru dilancarkan terhadap Palestin dan bumi Arab, kita rumuskannya sebagai kebiadapan, tetapi kebiadapan terus meningkat, seolah-olah tanpa kesudahan…..
Umat Islam bahkan seluruh umat manusia yang cintakan perdamaian dan keadilan wajib membantah dan bertindak. Maka disinilah cacatnya, kelesuan berhadapan keganasan Israel dan dasar luar Amerika Syarikat yang tempang dan tidak adil, melaungkan demokrasi dan kebebasan tetapi mengizinkan pencerobohan hak asasi dan kezaliman.
Saya dokong bantahan keras terhadap kebiadapan Israel dan Amerika Syarikat yang bersekongkol dengannya. Ini termasuk demonstrasi dan pengumpulan dana untuk mangsa di Palestin dan Lubnan, kerana nyawa diragut, kecederaan parah dan prasarana lumpuh.
Negara-Negara Islam kelihatan amat lemah kerana enggan dilihat sebagai mencabar dasar luar Amerika. Bahkan kehadiran Setiausaha Negara Amerika dikira paling lumayan berbanding dengan mana-mana negara Islam, dunia ketiga malah Eropah sendiri. Malaysia telah gagal memenafaatkan kehadiran beliau untuk membuat bantahan tegas. Hanya satelah beliau beredar barulah digemborkan perihal sidang khas negara Islam mengenai Lubnan. Lebih tepat dunia Islam perlu membicarakan seluruh kemelut di dunia Arab yang berpunca dari pencerobohan Israel di Palestin dan pemerintahan Amerika di Iraq.
Mengenali kebanyakan pimpinan negara-negara Islam yang kelihatan berbicara keras dihadapan khalayak mereka tetapi berbicara lunak diluar, maka saya memilih untuk menyerang keganasan Israel dan membantah penaklukan Amerika keatas Iraq di Washington dan paling terakhir di Parlimen Canberra. Australia adalah sekutu utama Amerika di Iraq bersama UK. Saya juga telah mengulangi pendirian tersebut dalam temuramah dengan ABC dan BBC