Amanat Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim

Disampaikan oleh YB Nurul Izzah Anwar di Konvensyen Pakatan Harapan ke-2, 7 Januari 2018

 

Yang Berbahagia Tun Pengerusi, saudari Presiden, rakan pimpinan dan pendukung setia Pakatan Harapan.

 

Muafakat yang tertera di dalam konvensyen ini – melakar jelas soal pengurusan negara demokratik dan adil, ekonomi manusiawi yang memacu pertumbuhan dan menjamin pengagihan kekayaan saksama, mempertahan akhlak dan etika berlandaskan keyakinan agama malah mengangkat martabat rakyat semua kaum dan dari semua wilayah kota desa dan pedalaman.

 

Alhamdulillah, Pakatan Harapan berjaya menangkis suara negatif media milik UMNO- Barisan Nasional yang mengandaikan proses rundingan akan gagal.

 

Mereka seperti juga sebahagian dari kalangan kita kurang arif bahawa keputusan dasar perlu telus dan mewakili hasrat dan suara rakyat terbanyak.

 

Saya sekadar menggesa rakan-rakan agar tertumpu kepada soal dasar dan prinsip perjuangan yg diasaskan selama dua dekad lalu.

 

Inilah permasalahan pokok yang perlu ditelusuri dan jelaskan kepada rakyat.

 

Dengan mengakui semangat kerjasama, kita menerima keputusan pimpinan.

 

Namun,  ia tidak akan menjejaskan tuntutan kita untuk melakukan perubahan sistem yang mengongkong pemikiran rakyat, rakus dan angkuh menggunakan kuasa, rompakan khazanah rakyat yang telah menjadi amalan pemerintahan negara sekian lama.

 

Justeru itu, marilah mengorak langkah dengan yakin menolak kezaliman dan rasuah dan tidak kelihatan mpertahankan sebarang keterlanjuran.

 

Jika semangat tersebut hidup segar dan disemarakkan, saya yakin, InshaaAllah PRU ke 14 akan mencatat era baru negara Malaysia tercinta.

 

Anwar Ibrahim

#BebasAnwar #BebasRakyat

Leave a comment