Mengenang Anwar di sebalik jeriji

3 September 2016

Pendapat

Pendapat Anda?

NURUL IZZAH ANWAR
3 SEPTEMBER 2016 (Sinar Harian)

PADA malam 10 Ogos lalu, saya sempat merenung jauh ke tembok Penjara Sungai Buloh yang suram – menyembunyikan genggaman rindu serta sayu – tinggalan sejarah reformasi yang juga disulami realiti terkini.

Malam itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ayahanda kepada kami enam beradik menyambut kelahirannya yang ke-69, walau jeriji besi 13 lapisan memisahkan kami buat masa ini. Seakan-akan deja vu melihat wajah sahabat, taulan, kenalan, teman, keluarga, semuanya seperjuangan.

Zaman silih berganti, namun sesiapa saja yang lantang berprinsip dalam menegakkan kebenaran menentang kezaliman masih lagi diperlakukan tanpa keadilan oleh parti pemerintah. Ayah saya merupakan salah seorang mangsa kebobrokan sistem. Kali pertama ketika beliau diperlakukan dengan tidak adil, yang kekal terpahat sebagai memori hitam adalah pada tahun 1998.

Ayahanda telah ditahan di bawah akta ISA tahanan tanpa bicara, disusuli dakwaan palsu yang menyebabkan beliau dijatuhkan hukuman penjara 6 tahun lamanya. Yakni, setelah saban tahun berlalu, diakui bahawa dakwaan palsu tersebut merupakan konspirasi politik berskala mega. Kerana lantang bersuara dalam mendedahkan salah urus tadbir negara, beliau sekali lagi dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun di Sungai Buloh.

Pengalaman terdahulu, bermula dengan hampir 2 tahun ditahan di Kamunting semasa zaman mahasiswa – mengetuai protes di Baling pada tahun 1974, menjadikan jumlah beliau dipenjarakan di Malaysia adalah 13 tahun.

Tiga belas tahun merupakan tempoh yang signifikan sebagai fasa transisi pembelajaran. Bayangkan tempoh pengajian bermula dari pra sekolah 5 tahun sehingga tamat pengajian menengah pada umur 17 tahun. Bahkan, analogi yang lebih universal adalah tempoh 13 tahun itu sudah melebihi jumlah diperlukan untuk planet Jupiter mengelilingi Matahari!

Begitulah jika hendak dikira betapa lamanya tempoh itu, di mana satu perlima daripada hayat ayahanda diluangkan di penjara. Namun demikian, demi prinsip menolak penindasan yang berterusan, serta membuka ruang lingkup terhadap ke arah keadilan dan pemantapan demokrasi, berundur daripada prinsip tidak sekali.

Menerusi usaha beliau yang berterusan untuk mengangkat nilai keadilan sosial menerusi demokrasi dan dimulakan dengan seruan Reformasi mula bertapak di Malaysia. Sorotan krisis ekonomi dan politik pada 1998, reformasi kekal teguh dan tak lapuk dek zaman sehingga kini. Arakian, kini merupakan masa yang lebih relevan apabila reformasi diangkat sebagai keperluan dalam menyelamatkan masa depan Malaysia.Semangat Reformasi adalah satu agenda jelas dan takkan pernah luput.

Ketika diheret pergi, beliau sempat berbisik kepada saya bahawa perjuangan untuk rakyat perlu diteruskan bersama rakyat. Pada 1998, saya yang ketika itu remaja berumur 18 tahun nekad untuk menceburi politik. Dengan tunjuk ajar daripada ibu, dukungan daripada ahli keluarga, serta sokongan tak berbelah bahagi daripada rakyat, saya menyahut seruan perjuangan reformasi.

Hampir dua dekad telah berlalu, saya masih menggalas gelaran ‘Puteri Reformasi’ yang saya fikir amat berat untuk membawa anugerah sebesar itu, dan jujurnya telah saya usahakan sehabis daya. Gelaran itu adalah lebih daripada sekadar nama. Ia merupakan simbol pengiktirafan terhadap usaha yang digalas oleh ayahanda dalam membawa Malaysia ke tahap demokrasi yang sihat dan prinsip-prinsip asas keadilan demi Malaysia yang lebih baik. Lapan belas tahun lamanya, saya telah menggalas tanggungjawab ini dan membawa semangat perjuangan reformasi terus dipertahankan.

Agenda reformasi yang saya kira menjadi sebati dengan identiti semenjak memegang tampuk taklifan sebagai ahli Dewan Rakyat dan ibu kepada dua cahaya mata. Untuk masa yang telah berlalu dan tahun-tahun yang akan datang, saya tetap dan akan berterusan menjuarai isu berkait rapat dengan demokrasi, untuk mengetengahkan isu hak asasi manusia berkenaan wanita, isu kesaksamaan hak antara gender, memperkasakan golongan belia dan perlindungan kanak-kanak.

Salah satu usaha yang telah diinisiatifkan pada 2010 adalah Rang Undang-undang Persendirian memohon pembatalan kesemua 4 Deklarasi Darurat yang sering disalahgunakan oleh undang-undang lapuk, dan kerajaan kuku besi terutamanya seperti akta ISA.

Pendapat Anda

Switch to our mobile site