[ Kenyataan Akhbar ] UMNO Menjadi Dalang Menggalakkan Keganasan, Ambil Kesempatan Dari Peristiwa Lahad Datu

12 March 2013

Pendapat

Pendapat Anda?

Mewakili kepimpinan KEADILAN, saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan
ganas Umno dalam beberapa insiden terkini yang mengancam keselamatan
orang ramai dan pimpinan KEADILAN.

Rusuhan yang diadakan oleh pengikut-pengikut Umno berniat jahat dan
berunsur ganas dari awal, apabila mereka membaling telur, kayu dan kon
lalulintas ke arah ibupejabat KEADILAN yang turut mengenai beberapa
anggota KEADILAN yang berada di tempat yang sama. Keganasan ini adalah
terancang kerana mereka membawa telur, kayu dan kon lalulintas
semata-mata bagi tujuan ini.

Selain bertindak ganas, pengikut-pengikut Umno ini juga mengugut untuk
membakar bangunan yang merupakan satu ancaman jenayah.

Sepanjang kejadian ini berlaku, tidak ada seorang anggota polis pun
yang campur tangan untuk menghentikan perlakuan ganas yang melanggar
undang-undang. Sangatlah memalukan apabila Balai Polis Tropicana
hanyalah terletak dua pintu dari ibupejabat KEADILAN dan anggota polis
hanya berpeluk tubuh sahaja.

Perkara yang sama berlaku di Melaka (yang melibatkan Dato’ Seri Anwar
Ibrahim) dan di depan pejabat Saudara Tian Chua di Jalan Ipoh
(termasuk ugutan untuk mencederakan Saudara Tian Chua); kedua-duanya
berlaku minggu lepas. Dengan perlakuan ganas yang mencederakan orang
ramai, anggota polis tidak pun diberi arahan oleh ketua mereka untuk
bertindak menahan pengikut-pengikut Umno yang biadap, melanggar
undang-undang dan menjejaskan keselamatan awam.

Sebab itu KEADILAN meletakkan sepenuh tanggungjawab ekoran
insiden-insiden keganasan ini di atas bahu Dato’ Seri Najib Tun Razak
dan Umno/Barisan Nasional kerana ia sudah tentu mendapat restu dari
pimpinan Umno/Barisan Nasional. Sehingga kini tidak ada seorang pun
pimpinan Umno/Barisan Nasional yang tampil mengutuk kejadian keganasan
ini.

Siri keganasan ini dipertingkatkan kebelakangan ini bersempena kempen
fitnah yang cuba mengaitkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan kepimpinan
KEADILAN yang lain kononnya sebagai dalang peristiwa pencerobohan di
Lahad Datu. Selain propaganda di media perdana yang dimainkan saban
hari, kumpulan-kumpulan samseng Umno digerakkan untuk mengugut dan
menimbulkan kebencian melalui cara keganasan.

Saya yakin ini adalah perancangan tersusun Umno/Barisan Nasional yang
mengambil kesempatan dari peristiwa pencerobohan di Lahad Datu sebagai
modal politik untuk menimbulkan kebencian terhadap Dato’ Seri Anwar
Ibrahim. Politik kebencian yang dimainkan Umno/Barisan Nasional ini
dijadikan alasan untuk mengancam keselamatan pimpinan KEADILAN melalui
siri keganasan yang berterusan.

Malah, saya tidak menolak kemungkinan politik kebencian atas
kesempatan peristiwa pencerobohan di Lahad Datu mungkin digunakan oleh
anasir tertentu di dalam Umno untuk memastikan Dato’ Seri Anwar
Ibrahim sendiri ditahan, disiasat dan seterusnya didakwa di bawah
undang-undang keselamatan.

Saya menasihati pimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya
mengambil berat kejadian-kejadian keganasan yang makin meningkat dan
mengenakan tindakan keras terhadap mereka yang terlibat dan menjadi
dalang. Pimpinan tertinggi PDRM juga wajiblah menolak sebarang anasir
yang cuba mengambil kesempatan dari peristiwa pencerobohan di Lahad
Datu untuk menekan lawan politik seperti yang berlaku sekarang.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI

Pendapat Anda

Switch to our mobile site