Bangkitlah anak muda Malaysia

20 February 2013

Pendapat

Pendapat Anda?

Oleh: Nurul Izzah Anwar

Negara kita kini sedang berada di persimpangan. Dengan nisbah hutang kepada GDP yang kini sudah mencapai kadar 53 peratus – bahana bakal menanti anak muda yang tentunya akan mengambil alih bebanan hutang negara kita pada masa akan datang.

Berdasarkan bancian 2010, bilangan anak muda di bawah umur 35 tahun adalah 65 peratus. Pada 2020, mereka merupakan penentu masa depan negara, sama ada yang masih bersekolah, mahupun profesional. Golongan inilah yang akan memutuskan jaminan serta keselamatan masa depan negara kita.

Jika dilihat statistik pengundi baru, demografi juga berubah – terdapat lebih dari 2.4 juta pengundi baru daripada 13.3 juta pengundi untuk PRU13. Ini merupakan kenaikan sebanyak 30 peratus pengundi baru jika dibandingkan 2008.

Anak muda perlu bangkit dan meningkatkan kesedaran tentang PRU13, iaitu satu peluang untuk Malaysia beralih kepada sistem dua parti supaya kita mempunyai timbang tara lebih baik demi mengurangkan penyalahgunaan kuasa yang berpotensi menjunam ke arah kezaliman parti pemerintah.

Negara kita juga mengalami masalah pengangguran dan pengurangan tenaga kerja. Antara puncanya, ramai anak muda berkelayakan universiti tidak memperoleh pekerjaan atau terpaksa mencari pekerjaan yang tidak setimpal dengan tahap pendidikan mereka. Sejak 2006-2009 juga, pengangguran graduan hampir mencecah 30 peratus.

Inilah antara masalah anak muda yang perlu diberi perhatian dan diusahakan jalan penyelesaian agar mereka boleh mengecapi pendidikan tinggi dan pekerjaan dengan gaji yang cukup untuk menampung kehidupan di negara ini.

Salah satu inisiatif ingin saya pelopori adalah satu dasar khusus buat golongan muda yang boleh dipraktikkan di Malaysia. Antara agenda ingin saya ketengahkan dari segi ekonomi termasuklah memastikan golongan muda memperoleh pekerjaan yang akan menjamin masa depan mereka serta kestabilan ekonomi dan aset masing-masing.

Golongan muda seharusnya terlatih dan mempunyai ilmu pengetahuan berkenaan pengurusan hutang agar mereka dapat melangsaikan segala pinjaman yang tertangguh. Kebolehan untuk menguruskan kewangan dengan baik akan  memberikan keuntungan dalam pelan jangka masa panjang.

Keutuhan sistem politik yang tidak berpaksikan sistem authoritarian juga akan memanfaatkan rakyat. Masanya telah tiba untuk kita merombak sistem pilihan raya yang tidak adil. Isu pendaftaran pengundi tidak lengkap, kawasan sempadan yang tidak mencerminkan populasi pengundi, serta masalah pengundi hantu adalah perkara yang sehingga kini masih membayangi PRU.

Untuk mengurangkan masalah pendaftaran pengundi, sudah tiba masanya diwujudkan sistem pendaftaran automatik. Ia telah digunakan di negara seperti Finland, Chile, Germany dan Singapura. Sesiapa layak mengundi berdasarkan umur minimum, akan disenaraikan secara automatik untuk mengundi dalam pilihan raya.

Sekiranya gagasan politik yang sedia ada gagal menunaikan tanggungjawab memenuhi aspirasi rakyat, ia adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai generasi muda untuk membangkitkan sebuah gagasan alternatif agar terhasilnya timbang tara untuk kesejahteraan negara.

Saya berikan satu contoh usaha untuk merakyatkan politik dan memberi suntikan kepada semangat politik baru, di mana saya telah menjemput Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, YB Senator Datuk Raja Nong Chik untuk turun berdebat. Rata-rata jawapan diterima daripada Barisan Nasional adalah pendirian bahawa pendebatan di dalam arena politik bukanlah sebahagian daripada budaya kita, tetapi kita harus sedar bahawa melalui perdebatan idea, cendekiawan-cendekiawan Islam seperti Ibnu Khaldun dapat mengembangkan pemikiran dan idea secara terbuka dan tidak secara sehala.

Saya pasti, berdebat dan penukaran idea adalah satu saluran penjana minda dan penaiktarafan daya intelek anak-anak muda di negara ini dan pendebatan di antara para pemimpin di mana terdapat pertembungan idea adalah satu model peranan yang baik untuk anak-anak muda di Malaysia.

Sudah tiba masanya kita menghentikan trafik bertali arus yang merupakan jalan sehala. Sudah tiba masanya suara dan aspirasi anak-anak muda didengari melalui saluran-saluran yang sedia ada.

Percayalah, debat itu, budaya kita.

Dipetik dari laman berita Sinar Harian.

 

Pendapat Anda

Switch to our mobile site