[KENYATAAN MEDIA] Perancangan Ekonomi Khusus Demi Menjamin Kestabilan Harga Komoditi Utama Negara

3 January 2013

Pendapat

Pendapat Anda?

KENYATAAN MEDIA
UNTUK EDARAN SEGERA

3 JANUARI 2013

PERANCANGAN EKONOMI KHUSUS DEMI MENJAMIN KESTABILAN HARGA KOMODITI UTAMA NEGARA

Kejatuhan harga komoditi pertanian utama negara iaitu kelapa sawit dan getah membawa kesan yang besar kepada jutaan rakyat yang bergantung kepada aktiviti pertanian dan perladangan.

Harga minyak kelapa sawit mentah susut 23% dalam tempoh setahun. Harga purata terkini iaitu RM2,477 per tan metrik (minggu pertama Januari 2013) jatuh merudum berbanding harganya setahun yang lalu, iaitu RM3,225 per tan metrik . Harga ramalan minyak sawit mentah di pasaran hadapan (crude palm oil futures) juga tidak memberangsangkan, iaitu diramalkan hanya mencecah RM2,666 per tan metrik dalam bulan Januari 2014.

Begitu juga dengan harga komoditi getah yang turut terjejas. Harga tawaran getah beku gred SMR CV bagi minggu pertama Januari 2013 ialah RM9.61 per kilogram, berbanding harga RM10.87 per kilogram bagi tempoh yang sama setahun lalu (iaitu penurunan harga sebanyak 12%).

Kejatuhan harga komoditi kelapa sawit dan getah yang berterusan sejak setahun yang lalu ini sudah tentu membawa kesan ekonomi yang buruk kepada sebahagian besar rakyat Malaysia. Jumlah keluarga Malaysia yang terlibat di dalam skim penerokaan tanah kelolaan FELDA dianggarkan mencecah 112,000 keluarga yang melibatkan sejuta rakyat Malaysia . Jumlah keluarga yang ekonominya berasaskan komoditi getah adalah 400,598 pada tahun 2009 melibatkan anggaran dua juta rakyat Malaysia.

Tambahan pula, industri kelapa sawit adalah hasil eksport kedua terbesar negara (selepas minyak dan gas) yang mencecah lebih RM100 bilion setiap tahun.

Justeru, kegagalan Dato’ Seri Najib Tun Razak menangani masalah kejatuhan harga komoditi kelapa sawit dan getah sejak setahun lalu membawa kesengsaraan ekonomi kepada sebahagian besar rakyat dan melemahkan kedudukan dagangan negara.

Setakat ini, pentadbiran Dato’ Seri Najib tidak pernah sekali pun membentangkan rancangan khusus untuk membendung kejatuhan harga ini dan mengurangkan beban kepada keluarga yang terkesan dengan masalah tersebut. Sebaliknya, beliau lebih terbawa-bawa untuk menyenaraikan hartanah rakyat melalui Felda Global Ventures Berhad (FGV) walaupun telah diberi amaran tindakan itu akan membawa kerugian kepada rakyat.

Keperitan akibat kegagalan pentadbiran beliau menangani masalah kejatuhan harga komoditi dan kedegilan untuk terus menyenaraikan FGV kini dirasai oleh segenap pihak. Sedang keluarga yang bergantung kepada kegiatan ekonomi berasaskan kelapa sawit dan getah susut pendapatan bulannya, kakitangan FELDA yang dianggarkan berjumlah 30,000 menanggung kerugian apabila harga saham FGV terus susut di bawah paras RM4.62 sesaham (iaitu harga lantai dan kos penyenaraian semasa FGV disenaraikan).

Pada masa yang sama, dasar-dasar pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak yang menganugerahkan permit eksport kelapa sawit yang tidak telus kepada pihak berkepentingan telah menyebabkan lambakan minyak kelapa sawit mentah dalam pasaran dalam negara. Ini berlaku apabila syarikat yang tidak mempunyai permit eksport tidak mampu menjualnya di pasaran antarabangsa kerana cukai yang dikenakan kerajaan menjadikan komoditi mereka lebih mahal berbanding kargo dari negara lain. Akibatnya, keluaran syarikat-syarikat ini dilambakkan dalam negara hingga menyebabkan harga kelapa sawit terus jatuh, di samping kejatuhan sedia ada di peringkat pasaran antarabangsa.

Oleh itu, KEADILAN mengambil pendirian bahawa masalah kejatuhan harga komoditi kelapa sawit dan getah ini adalah masalah nasional yang memerlukan tumpuan segera. Satu perancangan khusus dan praktikal bagi tempoh jangka masa pendek, sederhana dan panjang perlu dilaksanakan segera bagi menjamin kestabilan harga komoditi utama negara.

Secara amnya, KEADILAN menggariskan prinsip-prinsip berikut sebagai asas program penstabilan harga dan jaminan kebajikan yang boleh dilaksanakan apabila Pakatan Rakyat berkuasa kelak:

  1. Satu Tabung Kebajikan Komoditi Negara wajar ditubuhkan dengan sumbangan asas sebanyak RM100 juta setahun oleh Kerajaan Persekutuan. Tabung ini bertindak sebagai skim jaringan sosial (dalam bentuk pinjaman mudah, takaful perlindungan, bantuan pendidikan dan lain-lain) untuk membantu keluarga-keluarga yang ekonominya bergantung kepada komoditi utama apabila harga komoditi mula jatuh di bawah paras minima yang ditetapkan dari setahun ke setahun;
  2. Kerajaan Persekutuan wajib bekerjasama erat dengan industri perladangan bagi mencari jalan menyelesaikan fenomena pergantungan kepada pekerja Indonesia yang memberi kesan besar kepada kedudukan Malaysia sebagai negara pengeluar kelapa sawit utama dunia. Kadar upah yang semakin lumayan di Indonesia menimbulkan kesukaran kepada industri perladangan Malaysia untuk terus bersaing dengan pesaing Indonesia;
  3. Kerajaan Pakatan Rakyat akan merombak semula sistem permit eksport yang memberi keuntungan berganda kepada sesetengah pihak dan menjejaskan harga keluaran kelapa sawit negara. Matlamat utama sebarang sistem permit atau cukai melibatkan keluaran kelapa sawit negara adalah menjamin kestabilan harga dan merancakkan industri hiliran berteknologi tinggi di Malaysia; dan
  4. Hubungan diplomatik dan persaudaraan dengan kerajaan dan rakyat Indonesia perlu diperkukuhkan kerana Indonesia merupakan pengeluar kelapa sawit terbesar di dunia. Hubungan dengan kerajaan dan rakyat Indonesia yang retak di bawah pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak menyukarkan sebarang usaha pelarasan dan kerjasama untuk berhadapan dengan ketidaktentuan pasaran komoditi dunia.

KEADILAN juga telah memohon YAB Tan Sri Khalid Ibrahim untuk mengetuai satu pasukan khas merangka program-program terperinci (berdasarkan asas-asas yang digariskan di sini) yang boleh dilaksanakan sejurus selepas Pakatan Rakyat berkuasa untuk menjamin kestabilan harga komoditi dan kebajikan rakyat.

Kepakaran YAB Tan Sri Khalid Ibrahim yang pernah menerajui gergasi perladangan negara iaitu Guthrie sudah tentu akan menyumbang kepada fokus KEADILAN untuk menyelesaikan masalah kejatuhan harga komoditi berpanjangan yang diabaikan oleh pentadbiran sedia ada.

ANWAR IBRAHIM

Pendapat Anda

Switch to our mobile site