Kaum Muda dan Akal

Dari JalanTelawi.com

Oleh Hasmi Hashim

Adapun gagasan pencerahan itu, buah fikir serta segala cita-cita pembaharuan yang tersandar kepadanya, sudah terasa berbenih sejak sebelum kemerdekaan Tanah Melayu lagi. Hanya, dalam setiap zaman, cita-cita berkenaan perlu diberi bahasa baharu di atas penelitian persoalan-persoalan semasa yang tentu sahaja sudah banyak beza dengan zaman-zaman sebelumnya.

Dan, tidaklah dapat ditemukan tapak persoalan sama berhubung soal tatanegara seandainya tidak diperakui bahawa politik dan kekuasaan perlu akhirnya bermatlamat membangun tamadun. Politik bukan cuma soal jadi penguasa dan pemerintah. Huraian mengenainya telah berkali-kali saya nyatakan sebelum sampai ke forum ini sekalipun. Terbaharu adalah dengan tajuk “Mencari Kili Suci” yang terbit dalam portalJalantelawi.com; bahawa begitu dalam banyak kes, batu penghalang kepada tujuan mengeluarkan manusia daripada “ketidakmatangan yang ditanggungnya sendiri” adalah datangnya daripada agamawan, institusi agama, yang keduanya telah bersekongkol dengan kekuasaan yang korup.[1]

Sepanjang sejarah dunia ini, tidakkah telah menyaksikan banyak raja-raja dan penguasa yang tak berguna, yang kemudiannya hanya meruntuhkan tamadun bangsa sendiri? Sementara seperti ungkapan seorang penulis di Era Pencerahan Eropah, Diderot berkata “filasuf mengkritik keras paderi, begitu juga sebaliknya. Namun filasuf tidak pernah membunuh seorang paderi pun tetapi paderi telah membunuh ramai filasuf”. Ibnu Khaldun, di dalam Mukadimah menyebutkan, simtom-simtom kehancuran itu berada pada “tahap yang kelima”.

Apa yang berlaku pada tahap berkenaan ialah pemegang tampuk pemerintahan mula suka berfoya-foya—membelanjakan kekayaan yang telah dikumpul oleh para pendahulunya dengan cara berlebih-lebihan untuk golongan bangsawan. Dia juga mengambil orang bawahannya yang berwatak jahat untuk melakukan tugas-tugas penting. Sementara sifat orang-orang yang diambil bekerja itu tidak mengetahui apa yang perlu dilakukannya.[2]

Demikian, secara keseluruhan Mukadimah oleh Ibnu Khaldun tidak lain adalah huraian panjang lebar akan keperluan dan cabaran kalamana kekuasaan-politik dilihat sebagai alat membangun tamadun. Tanpa kesedaran sesederhana itu, maka perebutan jawatan tak lain hanyalah perihal politik sempit peribadi-peribadi. Politik jenis ini akan hanya ibarat kata petuah, si kudung dapat cincin; tidak dia tahu untuk apa cincin kerana dia kudung; dan tak berguna pula kuasa kepadanya selain hanya untuk bermegah-megah.

Lantas apabila disebut akan istilah “Pencerahan”, maka paling tinggi sekalipun akan dikaitkan dengan Zaman Enlightenment di Eropah yang tercetus abad delapan-belas. Begitu pula ada orang-orang yang malas, lemah atau tak cermat berfikir pernah mengaitkan slogan “Reformasi” dengan gerakan Protestant Reformation di dalam agama Kristian sepertimana yang dibawa Martin Luther pada abad ke-16. Semua ini adalah tafsiran buram.

Kerajaan Pulau Pinang [sama seperti kerajaan negeri Selangor, Kedah dan Kelantan] bolehlah ditandakan sebagai “Kerajaan Reformasi”. Kerajaan-kerajaan ini adalah Pemerintah yang terbentuk daripada selusur jejak Reformasi 1998”; sama ada aktivisnya, pemimpin pelbagai peringkat; bahkan persoalan dan dasar yang dibawa tak lain adalah terkepal sebermula peristiwa “September 1998”. Demikian, selepas empat tahun berdirinya kerajaan-kerajaan empat negeri itu, maka elok juga diukur sejauh mana pembesar-pembesarnya betul-betul faham apa arti dan tujuan-tujuan reformasipembaharuan atauislah (?) yang nampaknya tak difahami dan gagal dirungkai oleh rejim sebelum mereka. Jalan pintas yang dilakukan oleh pewaris rejim itu ialah melabel-semula dengan bungkusan baru seperti penggunaan istilah “tranformasi” yang tipis pengertian.

Sering ditanya, apakah matlamat agung politik-perubahan yang hendak dibawa? Atau yang mahu dijanjikan hanyalah selingkar pemberian air percuma, penghapusan saman letak kereta, cikgu sekolah tadika naik gaji dan seumpama-seumpama itu? Kalau hanya seumpama itu, maka bukanlah sesuatu yang boleh dipandang jelek atau perlu ditentang kalau lawan politik Pakatan Rakyat memberikan wang langsung RM500 sepertimana dalam program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) menjelang pilihanraya umum.

Arakian perlu terus dipertanyakan tanpa jemu kepada para pemimpin politik, apakah sebenarnya yang dilawan; soalan yang hanya dalam nada lain kepada maksud, apa itu Reformasi? Seiringan itu, maka pencerahan pasti akan segera naik panggung.

 

AKTIF DAN PROGRESIF

Page 1 of 5 | Next page