Kerajaan Takut Pemerhati Luar Sebab Pilihanraya Malaysia Kotor – Mafrel

26 November 2012

Pendapat

Pendapat Anda?

KeadilanDaily

Kerajaan Umno BN tidak perlu takut dengan kehadiran pemerhati antarabangsa dalam pilihan raya umum (PRU) jika yakin sistem pilihan raya di negara ini bersih, kata Pengerusi Badan Bebas Pemantau Pilihan Raya Malaysia (Mafrel), Syed Ibrahim Syed Noh.

“Kalau kita yakin proses demokrasi kita baik, tak perlu takut dan bimbang untuk benarkan pemerhati luar (memantau PRU).

“Dari dulu lagi Mafrel konsisten tentang isu ini. Ia perlu dilihat dengan positif kerana pemerhati luar boleh beri perspektif dan cadangan yang baik.

“Jadi, (kerajaan) patut alu-alukan kedatangan mereka. Seolah-olah nak takutkan orang ramai, bahawa ‘ini negara kita, orang lain jangan terlibat’,” katanya ketika dihubungi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan kehadiran pemerhati antarabangsa pada PRU ke-13 akan memalukan negara.

Najib turut menuduh pemerhati luar sebagai ‘campur tangan asing’ dan kononnya merosakkan masa depan negara.

Menyangkal tuduhan itu, Syed Ibrahim menjelaskan, peranan pemerhati luar semasa pilihan raya di mana-mana negara biasanya berpandukan prosedur dan peraturan yang ditetapkan.

“Mereka bukan sewenang-wenangnya buat laporan (untuk burukkan negara). Jadi tak perlulah takut sangat untuk benarkan pihak lain beri pandangan tentang negara kita,” kata beliau.

Menurutnya, Mafrel akan menjadi pemerhati dalam PRU 13 untuk memantau sebarang cubaan penipuan dan penyelewengan.

“Mungkin dalam masa terdekat, kami akan umumkan (penubuhan) gabungan dengan badan bukan kerajaan (NGO) lain untuk buat pemerhatian yang lebih baik dan meluas,” jelasnya.

Sejak 2005, Mafrel menjadi pemerhati di beberapa pilihan raya kecil, Pilihan Raya Negeri Sarawak pada 2006, termasuk PRU 2008.

Mafrel juga mengambil bahagian sebagai pemerhati antarabangsa di beberapa negara, antaranya Hong Kong, Pakistan, Thailand dan Bangladesh.

Pendapat Anda

Switch to our mobile site