Debat KJ-Rafizi Bukti Kesediaan Untuk Demokrasi

23 May 2012

Pendapat

Pendapat Anda?

The Malaysian Insider
Oleh Amin Iskandar

Tahniah kepada Sinar Harian kerana berjaya menganjurkan perdebatan di antara Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, dan pengarah strategik PKR, Rafizi Ramli.

Ketika debat berlangsung, tidak berlaku pergaduhan. Tidak ada yang terbunuh. Tiada kerusi terbang di dewan di mana perdebatan berlangsung walaupun penyokong kedua-dua pihak ada disitu.

Moderator yang dipilih oleh Sinar Harian, Dr Maszlee Malik, memainkan peranan beliau dengan baik. Adil kepada dua-dua pihak.

Ini adalah bukti Malaysia tidak mempunyai apa-apa masalah untuk berhadapan dengan demokrasi.

Patahlah hujah golongan ekstremis garis keras dalam Umno bahawa debat terbuka menyebabkan huru hara berlaku.

Sekarang tiada lagi alasan bagi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menolak pelawaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berdebat.

Seperti yang dikatakan oleh Dr Maszlee Malik, rakyat Malaysia kini menantikan debat diantara PM dan Ketua Pembangkang.

Cabaran dilontarkan oleh moderator itu agar Najib dan Anwar berdebat. Sinar Harian bersedia untuk menjadi tuan rumah kepada debat tersebut.

Debat bukan untuk menang-kalah

Mungkin ketakutan utama Najib dan pemimpin Barisan Nasional (BN) lain adalah kehebatan Anwar Ibrahim berpidato.

Memang benar kehebatan mantan timbalan perdana menteri itu dalam berpidato dan berkata-kata luar biasa.

Akan tetapi, perlu difahami bahawa tujuan utama berdebat bukan untuk menentukan siapa kalah dan siapa menang.

Tujuan utama perdebatan dilakukan adalah untuk memberikan input kepada rakyat mengenai dasar dan halatuju BN dan Pakatan Rakyat (PR).

Setelah debat berlaku di antara Najib dan Anwar, rakyat sudah boleh membuat pilihan sama ada mereka lebih yakin dengan BN atau PR.

Penutupan ruang untuk majlis ilmu sepertii debat ini hanya merugikan BN.

Ini kerana, debat akan memberi ruang kepada Najib untuk menjelaskan apakah yang sebenarnya beliau ingin lakukan untuk negara sepanjang menjadi perdana menteri.

Hari ini, persepsi umum lebih memihak kepada PR oleh kerana ketidakpercayaan rakyat umum terhadap media arus perdana yang kelihatan sudah di tahap “overkill” kepada PR.

Sementara itu, Anwar juga mendapat ruang untuk memberikan tawaran kepada rakyat Malaysia.

Ertinya, Anwar akan menawarkan sesuatu dasar dan program yang akan dilaksanakan sekiranya berpeluang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Persoalan siapa yang lebih diyakini selepas debat itu adalah subjektif. Yang objektif adalah rakyat mendapat informasi dari dua orang tokoh yang mewakili blok politik masing-masing.

Kesan serantau

Myanmar yang selama ini dikecam kerana membunuh demokrasi dan memenjarakan Aun San Suu Kyi kini menuju keterbukaan.

Suu Kyi kini adalah seorang ahli parlimen yang menang dalam pilihan raya kecil baru-baru ini.

Beliau bolehlah dikatakan sebagai “Gandhi” bagi Asia Tenggara. Daripada situasi di Myanmar hari ini, nampak gayanya, Suu Kyi bakal menjadi presiden Myanmar.

Apabila itu berlaku modal asing akan mencurah-curah masuk ke Myanmar. Myanmar akan menjadi kuasa ekonomi besar di Asia Tenggara pada ketika itu.

Di mana pula Malaysia? Apakah sudah menjadi negara pengeksport pembantu rumah ketiga terbesar di Asia Tenggara?

Jika tidak melakukan reformasi dengan segera, Malaysia akan ketinggalan. Filipina, Indonesia, Myanmar dan Vietnam akan menjadi kuasa ekonomi besar Asia Tenggara.

Jangan fikir Malaysia boleh selamanya bertahan. Wang Petronas tidak akan mampu menanggung ketirisan dalam pentadbiran negara untuk selama-lamanya.

Debat terbuka adalah jalan untuk Malaysia membuka demokrasi dan memerangi rasuah habis-habisan. Jika tidak, generasi yang bakal lahir 10-20 tahun lagi akan menyumpah kita kerana tidak melakukan apa-apa.

Pendapat Anda

Switch to our mobile site