Kemana Hilangnya Laporan Audit Negara

13 October 2011

Pendapat

Pendapat Anda?

Keadilan Daily

Ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat hari ini mempersoal ketiadaan Laporan Audit Negara semasa perbentangan Belanjawan 2012 baru-baru ini.

Menurut Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, beliau ada menghubungi  pegawai di Jabatan Audit Negara semalam, yang terkejut apabila dimaklumkan ahli parlimen belum dibekal laporan itu.

“Pegawai jabatan itu terkejut dan menyatakan Ketua Pengarah sendiri berpuas hati kerana laporan berkenaan kerana ia siap lebih awal (berbanding tahun) lalu dan lengkap.

“Ini yang kita hairan. Di manakah sangkutnya laporan itu? Adakah di Parlimen atau berada di tangan menteri tertentu?,” katanya yang menyifatkan laporan berkenaan penting kerana ia melibatkan wang rakyat, pada sidang media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Minggu lalu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan ketiadaan laporan Ketua Audit Negara dalam Belanjawan 2012 yang dikemukakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, 7 Oktober lalu.

Anwar  berkata, belanjawan tersebut juga dibentang tanpa meneliti laporan setengah tahun perbelanjaan dan prestasi kewangan negara sepertimana kebiasaan.

Mengulas isu sama, Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff pada sidang media itu mendesak Speaker Dewan Rakyat bersikap tegas dan menggunakan kuasa supaya laporan itu sampai ke tangan ahli parlimen seberapa segera.

Beliau juga menyifatkan perbahasan pembentangan Belanjawan kali ini yang dianggap sebagai ibu segala perbahasan , tercemar berikutan ketiadaan laporan berkenaan lantaran tiada angka dan fakta terkini untuk dibahas.

“Adakah kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) masih dihantui angka RM28 bilion rasuah yang didedah dalam Laporan Audit Negara tahun lalu,” sindir beliau.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar pula bercadang untuk membuat usul berkaitan  laporan berkenaan pada Isnin ini  yang akan disepakati dibawa salah seorang ahli parlimen dari Pakatan Rakyat.

Beliau juga hairan kerana sesetengah negeri termasuk Kelantan  sudah menerima laporan audit negeri masing-masing sedangkan di peringkat Parlimen sebagai institusi tertinggi negara, ia belum diedar walaupun sesi perbahasan masuk hari keempat.

Pendapat Anda

Switch to our mobile site