Archive for October 4th, 2011

4 October 2011

Pendapat

Pendapat Anda?

MUQADDIMAH

1. Terima kasih dan tahniah kepada pasukan belanjawan Pakatan Rakyat yang berjaya menghasilkan sebuah dokumen yang lengkap dan menyeluruh, walaupun mereka tidak dibantu oleh perunding dan firma media antarabangsa yang mahal.

2. Keupayaan Pakatan Rakyat menghasilkan sebuah belanjawan menyeluruh yang berlandaskan semangat reformasi rakyat adalah satu mercu tanda kematangan dan kesediaan Pakatan Rakyat menjadi kerajaan persekutuan yang baru. Belanjawan yang bertemakan “Kesejahteraan Untuk Semua” ini lengkap mencerakinkan dengan terperinci unjuran pendapatan, perbelanjaan dan peruntukan untuk program-program nasional yang meniupkan roh kebajikan seperti yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat.

3. Belanjawan ini akan menjadi penanda aras dan penimbal balik kepada belajawan yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri pada 7 Oktober ini. Saya yakin rakyat yang serba matang dan mahir menilai akan membandingkan kedua-dua dokumen dan Insya Allah menguatkan lagi iltizam rakyat menuntut perubahan di negara yang kita cintai.

BAB 1: MAQASSID BELANJAWAN MENGANGKAT KEPERLUAN RAKYAT

4. Proses pembentangan dan meluluskan belanjawan setiap tahun hanya dijadikan rutin oleh Barisan Nasional hingga mengenepikan matlamat sebenar sebuah kerajaan merangka dan membentangkan belanjawan kepada rakyat.

5. Apakah wajar belanjawan hanya dilihat sebagai satu senarai gula-gula yang hendak ditawarkan kepada rakyat beberapa bulan sebelum pilihanraya umum, sedangkan bertahun-tahun sebelum itu rakyat ditindas? Di mana kewarasan sebuah kerajaan apabila fokus setiap belanjawan hanyalah kepada perkara-perkara yang penting kepada golongan kecil niagawan kaya dan kroni-kroni mereka, sedangkan kebajikan rakyat diketepikan?

6. Sebab itu Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat mengambil pendekatan yang sangat berbeza. Sementara kita memberi perhatian kepada perkara-perkara makro ekonomi (baik persoalan defisit, pelaburan swasta, angka-angka pertumbuhan, keberdayasaingan ekonomi negara), kita jangan sekali-kali alpa bahawa maqassid perancangan belanjawan adalah untuk mengangkat keperluan rakyat mengatasi yang lain.

7. Makanya, prinsip asas yang menjadi teras kepada Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat adalah seperti berikut:

a. Membantu rakyat dalam masa terdekat untuk mengharungi suasana ekonomi yang semakin terhimpit;

b. Menjamin kelangsungan kewangan negara dengan tumpuan khusus untuk mengurangkan defisit;

c. Menambahnilai perbelanjaan negara agar peruntukan benar-benar sampai kepada rakyat dengan memerangi rasuah dan penyelewengan;

d. Memperkasakan keupayaan ekonomi rakyat dalam jangka masa sederhana dan panjang melalui rekayasa latihan teknikal, vokasional dan penggajian yang memartabatkan rakyat; dan

e. Mengukuhkan lagi arus reformasi politik yang menjadi prasyarat dan pendinding dari anasir-anasir yang mahu membolot kekayaan negara untuk mereka dan kaum kerabat mereka sahaja.

8. Oleh yang demikian, Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat akan memperuntukkan RM220 bilion berasaskan kepada sasaran untuk mengekang defisit pada kadar 4.4% daripada KDNK. Walaupun jumlah ini melibatkan penjimatan perbelanjaan sebanyak RM14 bilion dari kadar yang dibelanjakan oleh Barisan Nasional, kita yakin melalui pengurusan wang negara yang lebih berhemah, telus, bertanggungjawab dan berkesan, jumlah RM220 bilion ini akan memberi 20% nilai tambah kepada rakyat, berbanding apa yang dibelanjakan oleh Barisan Nasional selama ini.

9. Keseluruhan RM220 bilion ini akan digunakan sebaiknya untuk mengimbangi keperluan membaiki kerangka ekonomi negara yang kian punah di bawah Barisan Nasional dan membela rakyat dalam suasana yang semakin mendesak.

10. Defisit tahun 2011 yang diunjurkan mencecah 6% dari KDNK membayangkan kegagalan Barisan Nasional menghentikan langkauan defisit belanjawan selama 13 tahun berturut-turut akibat ketirisan, rasuah dan penyelewengan. Oleh itu, fokus untuk mengurangkan defisit kepada angka 4.4% telah menjadi satu keperluan mutakhir demi kelangsungan kewangan negara di masa akan datang.

BAB 2: KESEJAHTERAAN UNTUK SEMUA MELALUI PEMBELAAN RAKYAT TERBANYAK

11. Merujuk kepada angka-angka pendapat isi rumah yang terkini, seharusnya kita menginsafi ingatan Allah SWT yang cukup jelas di dalam Surah Al-Hasyr ayat 7 yang bermaksud: “Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu.”

12. Realitinya di Malaysia sudah jauh menyimpang dari ketetapan ini. Walaupun ada pihak yang mendakwa satu Malaysia ini serupa, hakikatnya negara kita adalah negara yang majmuk kelas ekonominya.

13. Golongan mahakaya (super rich) membolot kekayaan negara dan dipisahkan dari golongan pesara tua dan warga emas yang dihimpit kenaikan harga walhal pencen dan pendapatan mereka semakin mengecil. Anak-anak muda yang memasuki alam pekerjaan terpaksa bertungkus lumus berkongsi rumah dan mengikat perut, sedang anak-anak golongan mahakaya ini seronok melancong dan berbeli belah beg-beg tangan mahal dan cincin permata.

14. Golongan pekerja masih memperjuangkan hak untuk dibayar upah yang bersesuaian dengan kos sara hidup kini dan masih ramai yang upahnya lebih kecil dari garis kemiskinan yang ditetapkan. 35% dari rakyat kita bekerja dalam sektor tidak formal seperti menjaja dan berniaga kecil-kecilan yang tidak mempunyai perlindungan kerja dan imbuhan sosial yang memadai.

15. Statistik-statistik rasmi dari Kerajaan sendiri jelas menunjukkan satu Malaysia yang caca merba dan tidak sekata agihan kekayaannya.

16. 40% dari rakyat Malaysia datang dari isi rumah yang pendapatannya kurang dari RM1,500 sebulan. ¾ dari golongan ini adalah Melayu/Bumiputra yang kononnya dibela oleh pemerintah. Lebih mendukacitakan, golongan 20% terkaya di dalam negara (termasuklah golongan mahakaya dan kaum kerabat mereka) membolot 50% kekayaan negara, sedang 40% golongan terbawah hanya menikmati 15% dari kekayaan negara.

17. Semua ini melambangkan kegagalan sebuah pentadbiran yang memusatkan kekayaan kepada segelintir kecil kroni dan kaum kerabat mereka, bertentangan dengan peringatan Allah SWT di dalam Surah Al-Hasyr tadi.

18. Kegilaan itu semakin menjadi-jadi. Terkini kita disajikan dengan berita-berita pengambilan aset-aset syarikat awam oleh entiti yang dikawal oleh beberapa kerat mahakaya dan kaum kerabat mereka, seolah-olah kekayaan sedia ada masih belum mencukupi. Jangan kita lupa bahawa senarai orang-orang terkaya di Malaysia dihiasi dengan kaum-kerabat pemerintah, baik anak-anak mantan mahupun adik kepada Perdana Menteri sedia ada.

19. Kalau anak mantan Perdana Menteri memiliki syarikat perkhidmatan petroleum yang kelima terbesar di dunia selepas penggabungan Kenchana Petroleum dan SapuraCrest yang melibatkan RM12 billion , apakah tiada anak Malaysia yang cemerlang di dalam bidang-bidang ini selain dari anak mantan Perdana Menteri?

20. Tidak cukup seorang anak mantan Perdana Menteri itu menguasai industri huluan petroleum, anaknya yang seorang lagi pula mahu menguasai industri hilirian petroleum melalui konglomerat San Miguel yang membina kekayaan hasil dari perniagaan arak .

21. Kebejatan ekonomi sebeginilah yang menyebabkan RM52 bilion saham yang diberikan kepada golongan-golongan atasan Melayu akhirnya hilang begitu sahaja. Sedang mereka bergembira dengan kekayaan mereka, rakyat di bawah merempat mencari sesuap rezeki.

22. Tatkala kadar inflasi terus kekal pada kadar sekitar 3% seperti sekarang, rakyat akan terus terbeban dengan harga barang yang menjadi jenama paling unggul Barisan Nasional.

23. Angka-angka ekonomi negara semuanya rendah-rendah belaka, kecualilah angka-angka kenaikan harga barang. Perbandingan harga barang di antara tahun 2008 dan 2011 menunjukkan bahawa harga gula telah melonjak sebanyak 66%, diikuti dengan harga 1 kilogram ayam bersih yang melonjak 37%, seterusnya harga susu bayi 1.8 kilogram mencecah kenaikan 26%, teh tarik mengalami kenaikan harga 25% dan sebungkus roti putih naik harganya sebanyak 20%.

24. Unjuran angka inflasi membayangkan sekiranya keadaan ini berterusan sehingga tahun 2015 akibat kegagalan Barisan Nasional mengawal harga barang, rakyat Malaysia akan menanggung kos barangan harian yang telah melonjak naik 50% lebih mahal dalam tahun 2015 berbanding tahun 2005, sedangkan purata kenaikan gaji dalam masa satu dekad hanyalah 2.6% .

25. Makanya, tema “Kesejahteraan Untuk Semua” adalah sangat bertepatan kerana Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat akan melaksanakan bantuan-bantuan berikut untuk mengalihkan sumber kekayaan negara dari golongan mahakaya kepada program khusus untuk mengurangkan bebanan rakyat:
a. Peruntukan subsidi sebanyak RM22 bilion dikekalkan dengan mengambil kira unjuran harga minyak mentah terkini. Ini dijangka akan mengelakkan sebarang kenaikan harga minyak di dalam tahun 2012.

b.Tumpuan khusus akan diberikan untuk menambahbaik sistem penyampaian subsidi agar ia sampai terus kepada rakyat yang memerlukan, bukannya ditadbir dan tersekat di pertengahan akibat monopoli yang diberikan kepada syarikat tertentu. Ini termasuklah penghapusan subsidi korporat yang selama ini menguntungkan golongan mahakaya dan kroni mereka seperti pemilik-pemilik penjana bebas (IPP), monopoli beras oleh BERNAS, monopoli lesen teksi oleh golongan berkepentingan dan lain-lain.

c. Kerajaan Pakatan Rakyat akan melaksanakan bayaran bonus warga emas sebanyak RM1,000 setahun kepada warga emas yang layak, berdasarkan pendapatan kurang dari RM18,000 setahun. Ia dijangka akan menelan belanja RM1.7 bilion setahun tetapi difikirkan perlu untuk membantu golongan warga emas dan pencen yang kuasa beli mereka semakin terhakis akibat kenaikan harga barang.

d. Pakatan Rakyat akan melaksanakan bayaran suri rumah sebanyak RM1,000 dalam tahun 2012 kepada mereka yang layak, untuk mengurangkan bebanan keluarga dan menggalakkan suri rumah menabung melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. Ini akan membabitkan peruntukan RM2 bilion.

e. Bayaran tambahan (top up payment) kepada isi rumah di dalam kategori miskin tegar untuk memastikan pendapatan bulanan mencecah sekurang-kurangnya RM550. Ini difikirkan wajar sebagai langkah segera membantu golongan terbawah di dalam ekonomi negara.

f. Pada masa yang sama, mengambil kira faktor semasa dan kenaikan harga mutakhir, bayaran kepada penerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat akan diselaraskan kepada RM550 sebulan, dari kadar sedia ada sebanyak RM300 sebulan.

BAB 3: MENGEMBALIKAN MARTABAT RAKYAT

26. Pemerintah sedia ada sering berkelakuan angkuh apabila berhadapan dengan kesusahan rakyat. Apabila harga minyak naik mendadak, Perdana Menteri meminta rakyat mengubah gaya hidup sedangkan beliau dan keluarga menghabiskan lebih banyak masa di luar negara atas pelbagai urusan .

27. Barisan Nasional juga menyalahkan segala-galanya kepada rakyat. Hutang negara yang mencecah kadar tertinggi dalam sejarah pun dek kerana rakyat, ekonomi yang tidak dapat dipulihkan pun kerana rakyat yang kononnya mahu bertongkat. Malah, pengangguran anak-anak kita sekali pun ditohmahkan kepada sikap anak-anak muda yang kononnya terlalu memilih, sedangkan ramai pula yang tidak malu melakukan kerja-kerja bawahan walaupun berijazah.

28. Hubungan rakyat dengan pemerintah sedia ada umpama khadam dengan tuan. Kalau tidak kerana puluhan ribu rakyat turun membanjiri Kuala Lumpur bersama-sama BERSIH2.0, warna kuning sekali pun hendak diharamkan; apatah lagi menerima dengan terbuka tuntutan agar reformasi pilihanraya dijalankan.

29. Hakikatnya, masih ramai rakyat Malaysia yang hidup umpama melukut di tepi gantang. Anggaran Bank Dunia meletakkan bahawa 34% daripada tenaga kerja masih dibayar di bawah kadar RM700 sebulan, bermakna satu pertiga daripada tenaga kerja Malaysia berada di bawah paras kemiskinan.

30. Persoalan gaji juga menjadi isu yang mahu dipadamkan oleh pemerintah sedia ada. Gaji yang bermaruah dan bertepatan dengan keperluan kewangan menampung hidup mengikut kos semasa bukanlah keistimewaan atau kemewahan yang dituntut oleh rakyat. Ia adalah satu konsep hak asasi manusia yang diterima pakai di seluruh dunia; bahawa setiap manusia wajar menerima upah yang membolehkan dia menampung kos asas kehidupan seperti kediaman, makanan, pendidikan dan perubatan.

31. Oleh yang demikian, kemelut tuntutan gaji minima yang berpanjangan dan tidak berkesudahan melambangkan persepsi pemerintah yang memandang rendah kepada rakyat, seolah-olah rakyat menagih dan meminta sedekah. Kuasa untuk menentukan gaji minima terus dipusatkan di tangan Menteri, justeru Akta Majlis Rundingan Gaji Kebangsaan yang dibentangkan baru-baru ini tidak lebih dari helah untuk menutup keengganan Barisan Nasional melaksanakan gaji minima.

32. Tabiat merendah-rendahkan martabat rakyat ini semakin berleluasa sehingga mengenepikan kakitangan perkhidmatan awam. Umum mengetahui bahawa pentadbiran Perdana Menteri lebih gemar menggunakan khidmat perunding luar atau mereka yang dibawa masuk dan dibayar gaji besar daripada tenaga pakar sedia ada di dalam perkhidmatan awam. Kerajaan mengeluh apabila berhadapan dengan masalah gaji perkhidmatan awam, tetapi kontrak ratusan juta kepada perunding asing diluluskan dengan sewenang-wenangnya.

33. Beberapa dasar pemerintah sekarang juga tidak membantu memperkasakan rakyat meningkatkan keupayaan ekonomi mereka. Kegagalan membina sistem latihan teknikal dan vokasional yang baik dan ketiadaan universiti-universiti berorientasikan teknikal yang menekankan kepada skim perintis dengan industri menyebabkan wujudnya jurang di antara kehendak industri dan kemahiran tenaga kerja. (more…)

4 October 2011

Pendapat

Pendapat Anda?

KeadilanDaily

Identiti dan watak sebenar Mohd Saiful Bukhari Azlan, pengadu dalam kes fitnah membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim terus dibongkar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, apabila peguam memanggil saksi terbaru mereka.

Saksi misteri yang ditampilkan peguam itu adalah bekas rakan sekolej Saiful sendiri, yang pernah bersama belajar di Universiti Tenaga Nasional (Uniten).

Pendedahan saksi berkenaan mengesahkan lagi konspirasi yang dilakukan Umno-BN untuk menghancur dan menjatuhkan reputasi Anwar sebagai Ketua Pembangkang dengan tuduhan fitnah.

Mohd Najwan Halimi, saksi yang tampil mendedahkan watak sebenar Saiful Bukhari di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini
Mohd Najwan Halimi dipanggil pada jam 11.22 pagi ketika mahkamah bersambung selepas mendengar keterangan Pengarah Jabatan Forensik, Jabatan Kimia, Lim Kong Boon.

Beliau kini merupakan pembantu Anwar selaku Penasihat Ekonomi Selangor.

Dalam keterangannya di mahkamah, Najwan memberitahu beliau mengenali Saiful sejak 2003 dan tinggal berdekatan biliknya di Uniten.

“Saiful mahasiswa yang aktif dan mempunyai kualiti kepimpinan. Saya dan Saiful terlibat dalam program Baktisiswa.

“Dia ada kepimpinan tetapi suka publisiti,” katanya.

Menurut Najwan, program itu dilancarkan bekas menteri dalam negeri Tan Sri Syed Hamid Albar dan Saiful ketika itu timbalan presiden program dan Setiausaha Majlis Pimpinan Pelajar.

Najwan berkata, beliau melihat laman sosial Friendster milik Saiful dan melihat banyak gambarnya dengan pemimpin BN, termasuk Syed Hamid Albar, Mustapa Mohamed dan Azalina Said Othman.

“Pada 2008, Saiful meletakkan dirinya sebagai penyokong BN dan menyisytiharkan bahawa Anwar munafik,” katanya di mahkamah.

Menurut Najwan, Saiful juga pernah membantu kempen pilihan raya untuk Barisan Nasional (BN) pada 2008. Beliau menafikan Saiful mengagumi ketokohan Anwar, sebaliknya sangat membenci Ketua Umum KEADILAN itu, seperti diakui Saiful sendiri.

“Dia benci Anwar,” kata Najwan.

Ketika disoal balas oleh Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, Najwan menjelaskan beliau pernah berkhidmat dengan ADUN  Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad, Kementerian Pengangkutan dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebelum itu.

4 October 2011

Pendapat

Pendapat Anda?

Malaysiakini

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengesahkan cincin berlian RM24 juta yang didakwa dibeli isteri perdana menteri Rosmah Mansor benar-benar wujud.

Bagaimanapun, dalam jawapan bertulis kepada ahli parlimen Segambut Lim Lip Eng hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (kiri) berkata, tiada pembelian dibuat terhadapnya.

“Dalam isu yang dibangkitkan ini, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) telah merujuk kepada JKDM, dan pihak JKDM telah mengesahkan bahawa tiada sebarang pembelian ke atas cincin tersebut.

“Setelah beberapa hari cincin tersebut dikembalikan semula kepada syarikat pemunya cincin berkenaan,” katanya.

Dalam soalannya, Lim meminta perdana menteri menyatakan status siasatan polis, SPRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) terhadap dakwaan pembelian cincin bernama ‘Natural Fancy Gray Cushion Cut Diamond’.

Isu itu didedahkan bekas anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR Badrul Hisham Shaharin (bawah, kanan) Julai lalu yang mendakwa mempunyai bukti kemasukan cincin itu menerusi rekod kastam.

Dakwanya, rekod itu menunjukkan nama Rosmah dimuatkan dalam ruang penerima dalam borang pelanggan, yang didakwanya bukti menunjukkan pembabitan isteri Datuk Seri Najib Razak itu.

Badrul Hisham yang juga pengerusi NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) melaporkannya kepada SPRM pada 13 Julai lalu.

Rosmah bagaimanapun menafikan dakwaan itu dengan menyifatkannya sebagai fitnah dan tidak mahu melayannya selepas dua minggu ia ditimbulkan.

4 October 2011

Pendapat

Pendapat Anda?

Malaysiakini

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mungkin boleh disepina untuk hadir di mahkamah Paris berhubung kontroversi pembelian kapal selam Scorpene yang didakwa melibatkan jutaan ringgit dalam bentuk komisen kepada pemimpin negara dan pegawai tentera.

Najib adalah menteri pertahanan semasa urus niaga RM7.3 bilion bagi membeli dua buah kapal selam itu dijalankan.

Perjanjian pembelian senjata itu, yang juga termasuk jualan yang serupa kepada Pakistan dan Taiwan, telah memalukan Perancis di mana pegawai-pegawainya didakwa telah menerima ‘komisen’ jutaan dolar dari firma pembuat kapal selam Perancis, DCN.

Jika Najib disepina, dia terpaksa pergi ke Paris dalam tempoh satu atau dua bulan apabila kes ini didengar di mahkamah terbuka. Perkara ini pasti tidak akan menyenangkan perdana menteri.

Bagaimanapun ditanya jika Najib boleh diseret ke mahkamah, Joseph Breham (kiri), peguam yang mewakili NGO hak asasi manusia – Suaram – yang memfailkan kes terhadap pembuat kapal selam Perancis itu pada tahun 2009, berkata idea itu mungkin “sukar dilaksanakan”.

“Najib boleh disepina, tetapi ia hanya satu kemungkinan pada masa ini,” katanya kepada Malaysiakini dalam satu temu bual e-mel dari Paris.

“Sebaik sahaja ‘hakim arahan’ dicalonkan, kita boleh mempertimbangkan ini,” kata peguam itu yang pernah melawat Kuala Lumpur pada tahun lalu untuk mengumpul keterangan dan bukti berhubung kes berkenaan.

Di bawah undang-undang Perancis, ‘hakim arahan’ adalah majistret yang bertanggungjawab untuk mengendalikan siasatan untuk menentukan sama ada sesuatu kes itu diteruskan menjalani perbicaraan jenayah.

Kes berkenaan dibuang jika hakim mendapati bukti yang tidak mencukupi.