Takziah Buat Keluarga Syed Ahmad Jamal

31 July 2011

Pendapat

Pendapat Anda?

Lukisan Seniman Negara, Syed Ahmad Jamal masih menghiasi ruang tamu rumah saya. Saya akui tersemat rasa bangga, namun bukan bermegah, kerana punyai karya seorang seniman hebat, jujur lagi berani. Seniman yang berasal dari Muar ini dijoloki gelar pelopor seni moden Malaysia bersama antaranya Latif Mohidin, Ibrahim Hussein dan Anthony Lau. Tatkala meletusnya Reformasi 98, Syed Ahmad Jamal tidak tinggal diam, allahyarham sedar peranannya sebagai seorang seniman adalah memahami dan seterusnya bersama dengan denyut nadi rakyat yang menuntut keadilan. Malah allahyarham lah yang melakar logo ADIL ketika itu di samping menghasilkan karya memperihalkan “mata lebam.” Ketika saya di Istana Hinggap Sungai Buloh, beliau sedaya mungkin menyatakan penentangannya terhadap kezaliman pemerintah. Allahyarham bersama isteri sering juga ke mahkamah menyatakan sokongan. Saya, Azizah dan keluarga sememangnya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dianugerahkan seorang sahabat yang baik dan setia. Izinkan saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan takziah buat keluarga Allahyarham Syed Ahmad Jamal dan moga ruh allahyarham ditempatkan bersama orang-orang yang soleh.

ANWAR IBRAHIM 

Pendapat Anda

Switch to our mobile site