Najib Harus Diundurkan

28 July 2011

Pendapat

Pendapat Anda?

Malaysian Insider
Mohd Rashidi Hassan

Rakyat menyambut kepulangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dari lawatan ke tiga buah negara Eropah 22 Julai 2011, dengan tekad untuk meneruskan reformasi yang digerakkan melalui Perhimpunan Bersih 2.0, 9 Julai lepas.

Walaupun keberangkatan Najib ke luar negara mendapat liputan hebat daripada media arus perdana, hakikatnya Najib sendiri berada dalam keadaan yang amat tidak selesa.

Najib menyambut ulangtahun kelahirannya yang ke-58 pada 23 Julai lepas dalam keadaan yang tidak selesa kerana populariti yang cuba dibinanya, selepas mengambil alih jawatan PM daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 4 April 2009, semakin jatuh merudum.

Najib ternyata gagal mendapatkan sokongan rakyat, apabila banyak slogan dan dasar yang dijajanya tidak mendapat sambutan.

Malah, Najib semakin kehilangan sokongan dari dalam Umno, kerana banyak tindak tanduknya dilihat tidak membantu memulihkan Umno yang terjejas teruk sejak Pilihan Raya Umum Mac 2008.

Yang paling teruk ialah apabila media dalam dan luar negara membuat kritikan yang amat keras terhadap Najib kerana cara kerajaan Umno-BN pimpinannya mengendalikan pra dan pasca Perhimpunan Bersih 2.0 dianggap yang paling buruk dalam sejarah demokrasi Malaysia moden.

Sehingga sebelum Najib berangkat menemui Ratu Elizabeth dan PM British, David Cameron, akhbar-akhbar di negara berkenaan melabelkan beliau sama seperti diktator Mesir, bekas Presiden Hosni Mubarak.

Malah akhbar Guardian yang berpengaruh di United Kingdom memaparkan rencana bertajuk “Mubarak Model”, apabila merujuk kepada cara polis Malaysia yang bertindak ganas ke atas peserta demonstrasi Bersih 2.0.

Dalam satu tulisan, mereka menggesa PM Malaysia dengan mengatakan “Malaysia’s Najib Must Abandon The Mubarak Model”.

Akhbar tersebut juga memberi amaran kepada Najib, bahawa beliau akan menghadapi tekanan dan kritikan global, kerana cara beliau mengendalikan Bersih 2.0 bertentangan dengan norma kebebasan hak asasi yang diterima pakai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Seorang kolumnis akhbar harian di UK, Simon Tisdall membelasan Najib dan memberi amaran kepada beliau bahawa di bawah kepimpinannya Malaysia sudah mengambil pendekatan diktator seperti Hosni Mubarak.

Malah akhbar-akhbar di UK juga menggesa PM mereka supaya mengambil kira rekod buruk Najib yang tidak langsung menghormati hak asasi kemanusiaan, sebelum berunding mengenai hubungan dua hala serta perdagangan.

Najib dikritik keras oleh Amnesty International, yang menjadi saksi ramai peserta demonstrasi yang cedera, mengalami pendarahan akibat dipukul oleh polis.

Bantahan dan tekanan terhadap kerakusan pihak polis tidak akan terhenti selagi pihak yang bertanggungjawab tidak diheret ke muka pengadilan.

Najib berada dalam keadaan “serba tak kena” kerana beliau akan terus menerima tekanan dari dalam dan luar negara, akibat kesilapan kerajaan menangani tuntutan rakyat.

Najib barangkali lupa bahawa beliau berhadapan dengan kuasa rakyat. Iaitu kuasa rakyat yang tidak mempercayai sistem pilihan raya di Malaysia bebas dan demokratik, rakyat yang sangsi dengan system kehakiman dan rakyat yang tidak boleh menerima tindakan ganas polis terhadap mereka.

Najib jumpa, bahawa ini adalah perhimpunan rakyat yang tulen, bukannya perhimpunan yang diangkut dengan bas-bas, dijamu dengan nasi bungkus dan sebagainya, seperti yang dilakukan dalam perhimpunan tajaan Umno-BN.

Rakyat akan terus membuat tuntutan, rakyat akan terus tegakkan keadilan. Tiada istilah berundur pada hati dan jiwa rakyat.

Rakyat tidak akan berhenti dan tidak akan berpuashati selagi Najib tidak diundurkan, selagi Umno-BN tidak diturunkan dari tampuk pemerintahan.

Pendapat Anda

Switch to our mobile site