Serangan Media Perdana, PKR Tidak Goyah- Rafizi

29 December 2010

Pendapat

Pendapat Anda?

Dari TVSelangor

Disebalik serangan bertali arus media perdana terhadap PKR langsung tidak menggoyahkan malahan mematangkan parti untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Pengarah Strategi PKR yang baru, Rafizi Ramli berkata, hakikatnya, imej parti itu masih bersih walaupun diancam dengan propaganda media milik Umno-Barisan Nasional(BN).

“Maknanya walaupun serangan-serangan itu,lebih daripada 60 peratus, 2 daripada 3 tidak percaya kepada propaganda. Maknanya orang tidak lah rasa kita initercalar sangat. Imej mahupun gambaran parti itu tercalar, kita sudah kenalpasti,ia tidaklah terlalu tercalar,” kata Rafizi merujuk kepada kajian Merdeka Centre, sekitar proses Pemilihan PKR 2010. dalam temubual ekskulif bersama Tv Selangor.

Tambahnya, segala kritikan, serangan bertali arus tidak pernah sesekali mematahkan semangat pimpinan dan ahli parti dalam membulatkan tekad menuju mercu kejayaan.

Dalam temubual itu beliau turut menjelaskan, walaupun berhadapan dengan kritikan Umno-BN apabila mengadakan pemilihan secara langsung dan salah faham di kalangan anggota parti, akhirnya objektif sebenar proses Pemilihan 2010 itu kian menampakkan hasil.

Di samping itu ujarnya, kesungguhan PKR untuk meletakkan barisan pimpinan berkualiti untuk mengepalai parti itu semakin lama, semakin difahami dan diterima baik oleh anggota parti.

Dengan meletakkan gabungan muka lama dan baru dalam PKR katanya, ia menjadi satu kekuatan kepada parti itu dalam mencorakkan perjalanannya merentasi segala onak dan dugaan.

“Jadi soalan tentang imej kita telah terjawab melalui barisan kepimpinan yang dilantik semasa pemilihan,” kata Rafizi lagi.

Justeru katanya, apa yang paling penting ketika ini kepada PKR ialah memastikan segala mesej dan penawaran parti itu kepada rakyat disampaikan dengan berkesan.

Malah parti itu katanya akan kekal dengan momentum yang dicorakkan sebelum ini agar rakyat tidak mudah hilang fokus.

“Apa yang paling penting ialah apabila rakyat melihat hasil daripada fokus baru parti ini, rakyat tahu bahawa proses Pemilihan itu ada kesannya kepada keberkesanan dan penampilan parti.

“Strategi kita ialah supaya penawaran kita, program kita yang mendapat fokus dan tempat kepada rakyat, bukan cerita remeh-temeh yang cuba disampaikan oleh BN. Program penerangan berhubung program 100 hari itu perlu digerakkan,” tambahnya lagi.

Pakatan Rakyat pada konvensyen kali kedua gagasan itu baru-baru ini menawarkan Program 100 Hari kepada rakyat sekiranya berjaya menawan Putrajaya.

Ia merupakan pelaksaan reformasi menyeluruh dalam semua semua aspek termasuk pengurusan negera, ekonomi, pendidikan dan sebagainya bedasarkan prinsip yang digariskan dalam Dasar Bersama gagasan itu.

Diaju dengan persoalan apakah strategi yang akan digunapakai PKR dalam menghadapi PRU ke-13 tidak lama lagi, katanya parti itu punya kelebihan yang tersendiri.

“Kelebihan utama yang parti ada contohnya ialah calon-calon yang kita tampilkan. Strategi kita untuk Pilihan Raya Umum ini adalah juga berkenaan dengan calon sebab masyarakat kita mula berubah. Dahulu orang pangkah hanya semata-mata kerana parti. Sekarang ini dengan adanya Internet dan sebagainya, orang meletakkan premium kepada calon,” tambah Rafizi lagi.

Ujarnya lagi, selain memastikan jentera parti diperkukuhkan, parti itu juga akan memastikan setiap calon mereka adalah calon yang terpilih dan diberikan latihan yang secukupnya.

Tambahnya lagi, fokus utama tentunya akan diberikan kepada isu rakyat dan bukanlah hanya membangkang sahaja.

“Yang ketiga, negeri-negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat ini adalah senjata utama kita. Sebab semua rakyat dari seluruh Malaysia, mereka melihat kepada negeri Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan bagaimana bezanya pentadbiran di negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat berbading dengan negeri-negeri di bawah BN,” jelas Rafizi lagi.

Pendapat Anda

Switch to our mobile site