Gaji Minima: Perlu Keazaman Politik dan Perubahan Menyeluruh

15 October 2010

Pendapat

Pendapat Anda?

Parti Keadilan Rakyat menyambut baik berita bahawa Kabinet akan membincangkan cadangan gaji minima untuk pekerja-pekerja di Malaysia hari ini.

KEADILAN juga mengalu-alukan sokongan Pemuda BN terhadap gaji minima.

Harapan KEADILAN adalah agar ini bukan satu lagi angan-angan Mat Jenin,

tetapi wujud keazaman politik untuk Kerajaan melaksanakan dasar ini.

Sekian lama pekerja-pekerja terutamanya menerusi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) telah memperjuangkan dasar gaji minima bagi membela kebajikan pekerja.

KEADILAN telah menjadikan gaji minima sebagai antara 5 manifesto utama pada Pilihan Raya Umum 2008. Komitmen melaksanakan gaji minima juga telah dimeterai oleh Pakatan Rakyat menerusi Dasar Bersama yang diluluskan Konvensyen Pakatan Rakyat pertama pada tahun lepas.

Masalah kadar upah yang rendah adalah masalah utama yang membelenggu pekerja dan keluarga mereka. Sudah begitu lama Malaysia bergantung kepada kadar upah rendah dengan kebanjiran pekerja asing.

Ekonomi negara tidak meningkat dalam rangkaian nilai dan rakyat Malaysia berhadapan kos sara hidup yang tinggi. Kesannya, semakin ramai pekerja dan keluarga mereka dibebani hutang di sekeliling pinggang.

KEADILAN tidak berkongsi pandangan Menteri Sumber Manusia Datuk S. Subramaniam yang seolah-olah berat hati untuk melaksanakan dasar gaji minima. Ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika kita memeriksa rekod Barisan Nasional yang gagal membela golongan pekerja selama lebih 50 tahun memegang kuasa.

Pengalaman negara-negara luar membuktikan dasar ini boleh berjaya seiring pengenalan dasar-dasar lain yang memacu pertumbuhan ekonomi.

Isu meningkatkan pengangguran mahupun mengurangkan pelaburan asing tidak timbul jika kerajaan membina keyakinan untuk meningkatkan pelaburan asing dan swasta serta pada masa yang sama melabur dalam sektor pendidikan, latihan dan infrastruktur. Ini sekaligus dapat meningkatkan kemahiran dan produktiviti pekerja. Kerajaan juga mesti serius mengurangkan pergantungan terhadap pekerja asing.

Keyakinan pelabur hanya dapat diperoleh dengan mengembalikan kewibawaan institusi-institusi kerajaan berserta memerangi gejala rasuah. Isu-isu ini yang telah menjejaskan kebolehan Malaysia menarik pelaburan hari ini meskipun belum melaksanakan gaji minima.

Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menjanjikan pendapatan minimum isi rumah sebanyak RM4000 menjelang 5 tahun Pakatan Rakyat memegang tampuk Kerajaan Persekutuan ketika mengulas pencapaian separuh tahun ekonomi negara yang hambar Ogos lalu,

Sasaran ini dapat dicapai dengan iltizam untuk memerangi ketirisan serta rasuah, melakukan reformasi terhadap sistem kehakiman serta institusi awam lainnya di samping mengembalikan kredibiliti, ketelusan dan pertanggungjawaban untuk menarik pelaburan asing secara langsung .

KEADILAN berpendapat gaji minima akan benar-benar bermakna hanya jika dilaksanakan bersama perubahan menyeluruh tersebut dengan keikhlasan membela hak pekerja dan rakyat Malaysia.

NIK NAZMI NIK AHMAD
Pengarah Komunikasi
Parti Keadilan Rakyat

Pendapat Anda

Switch to our mobile site