22
Jan
10

KPI Sekadar Retorik Menang PRU

Dari Merdeka Review

Kesemua “enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA)” tidak akan mencapai KPI-nya (Indeks Prestasi Utama), seandainya tiada KPI untuk keadilan. Malah, dengan pencabulan hak asasi, krisis Perak yang berlanjutan, usaha untuk mensabotaj kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor dan sebagainya, PM Najib Abdul Razak dibidas kerana gagal dalam KPI keadilannya.

Walaupun ada yang cuba membezakan antara konsep “KPI” dengan “target” (matlamat), malah menekankan bahawa tercapainya KPI tidak semestinya membawa makna tercapainya matlamat, namun tetap bersetuju bahawa “KPI” ini sekadar slogan atau retorik Najib untuk menang dalam pilihan raya umum.

Demikianlah pandangan dan kritikan yang dilemparkan dalam satu ceramah umum berjudul “Di Mana KPI Keadilan, Tuan Najib?”, anjuran SELPROA (Persatuan Pegawai-Pegawai Wakil Rakyat Pakatan Rakyat Selangor) di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, semalam.

Antara penceramahnya ialah V. Sivakumar (Yang Dipertua PR DUN Perak), Tian Chua (Ahli Parlimen Batu-PKR), Dzulkefly Ahmad (Ahli Parlimen Kuala Selangor-PAS), Tony Pua (Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara-DAP) dan Razak Ismail (Presiden Selproa). Ceramah yang dipengerusikan oleh Syed Ahmad Putra ini dihadiri kira-kira 70 orang.

Gagal KPI keadilan, gagal semua

Tony Pua dan Dzulkefly Ahmad dengan nada yang sama bertanggapan bahawa “tanpa KPI untuk keadilan, maka semua KPI yang ingin dicapai oleh Najib akan menemui kegagalan”. Berlatar-belakangkan dunia korporat, Tony Pua mengambil contoh Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST, Goods and Services Tax) yang baru diperkenalkan kerajaan Najib, untuk membuktikan hujahnya.

Tony Pua  mendakwa bahawa pengenalan sistem GST ini akan mengalihkan beban cukai dari korporat kepada golongan yang berpendapatan rendah. Perkiraan dibuat berdasarkan seseorang yang berpendapatan RM1,000 dengan seseorang yang berpendapatan RM20,000. Seandainya RM900 daripada pendapatan RM1000 dibelanjakan untuk makanan, sewa, pengangkutan dan sebagainya, ia bermakna 90% daripada pendapatannya dicukaikan.

Sebaliknya, untuk seseorang yang berpendapatan RM20,000, kemungkinan hanya RM10,000 dibelanjakan untuk perkara yang sama. Dengan kata lain, hanya 50% pendapatannya dicukaikan. Kesimpulannya, kadar pencukaian terhadap golongan berpendapatan rendah adalah lebih tinggi daripada mereka yang berpendapatan tinggi.

Tony Pua memulakan ceramahnya dengan menceritakan pengalaman bagaimana dirinya meninggalkan kerjaya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif untuk berkecimpung dalam bidang politik. Walaupun mengakui bahawa dirinya tidak layak digelar “pejuang di jalan raya”, kerana hanya menghadiri candle light vigil, namun tetap tidak terelak untuk dijadikan sasaran tangkapan polis.

Tony Pua mengingatkan bahawa tanpa keadilan sosial, maka polis akan menumpukan tenaganya untuk menyasarkan pembangkang, lantas tiada masa untuk memerangi jenayah. Dengan itu, KPI untuk mengurangkan kadar penjenayahan tidak akan tercapai. Beliau menambah, tanpa keadilan sosial, KPI untuk pendidikan juga tidak tercapai, kerana gagal memberi pendidikan yang adil kepada semua orang Malaysia.

“Keadilan tiada dalam kamus Najib”

Dzulkefly Ahmad yang berucap selepas V. Sivakumar, terus menyindir bahawa “keadilan tidak ada dalam kamus dewan Tuan Najib”, malah menjangkakan gagasan Satu Malaysia walaupun satu retorik yang baik, tetapi gagal direalisasikan “sebab Satu Perak pun tidak mampu” direalisasikan Najib.

Beliau menambah, “bukan sahaja Najib tak boleh realisasikan Satu Malaysia, partinya dan Barisan Nasional yang dia pimpin pun, adalah segala-galanya selain daripada Satu Malaysia!”

AJK Pusat PAS ini membangkitkan isu “pengaliran keluar pelaburan melebihi pengaliran masuknya”, untuk mendedahkan realiti bahawa Malaysia bukan lagi destinasi pelaburan. Malah, kerajaan Malaysia yang tidak menghormati rule of law dan sanctity of contract dikenalpasti sebagai faktor “penolak” pelaburan asing.

Dzulkefly Ahmad yang memperolehi angka 304,358, iaitu bilangan warga negara Malaysia yang bermigrasi ke luar negara antara Mac 2008 hingga Ogos 2009 (jawapan kementerian dalam parlimen), menegaskan bahawa Malaysia semakin gagal sebagai sebuah negara, dan rakyat semakin hilang yakin terhadap pimpinan kerajaan BN.

“1Malaysia, 2Perak, 3Katak”

Kegagalan kerajaan Najib menghormati “rule of law” ini paling jelas, apabila ianya menimpa ke atas V.Sivakumar, speaker DUN Perak yang diheretkan dari kerusinya, dan ditanggalkan jubah speaker dari tubuhnya. Sambil mempersendakan slogan Najib, V.Sivakumar merumuskan krisis Perak sebagai “1Malaysia, 2 Perak kerana ada 3 Katak”.

Doktrin pengasingan kuasa antara perundangan, eksekutif dan kehakiman tercabar dalam krisis Perak. V.Sivakumar menceritakan bagaimana SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) menolak arahan speaker untuk mengadakan pilihan raya kecil setelah speaker memutuskan bahawa tiga kerusi ADUN telah dikosongkan.

Keadaan menjadi semakin rumit, apabila sistem kehakiman memiliki “double standard” ketika membicarakan kes. Ketika Sivakumar menggantung “Menteri Besar Zambry” dan “Exco”-nya daripada masuk ke DUN, keputusannya dicabar di mahkamah. Peguam Sivakumar menggunakan Artikel 72(1) dalam Perlembagaan Persekutuan, berbunyi “Sahnya apa-apa perjalanan dalam mana-mana Dewan Negeri tidak boleh dipersoal dalam mana-mana mahkamah” untuk menolak campur tangan mahkamah, tetapi tidak diterima hakim.

Sebaliknya, setelah berlakunya kekerasan yang digunakan terhadap speaker dan ADUN Pakatan Rakyat, peguam bagi pihak Sivakumar memohon injunksi untuk memastikan apa yang berlaku pada 7 Mei 2009 itu, tidak berulang apabila DUN Perak bersidang pada masa depan. Namun, mahkamah pula bersetuju dengan peguam UMNO pada kali ini, bahawa artikel 72(1) dalam Perlembagaan Persekutuan melarang mahkamah menyoal perjalanan dalam DUN.

Sivakumar beberapa kali menggelakkan dewan dengan kata-katanya, apabila menyimpulkan bahawa DUN Perak hanya bersidang dua kali pada tahun 2009, dengan kali pertamanya 7 Mei untuk merampas kuasa speaker; dan kali keduanya 28 Oktober untuk merampas jubah dan songkok speaker.

Malah, ketika mengenang kekecohan yang berlaku pada 7 Mei tahun lalu, beliau berkata, “kalau nak buang speaker, kena buat usul, bukan diusung!”

Mengulas selanjutnya perkembangan krisis Perak yang masih belum dibubuh noktah, Sivakumar berkata sistem kehakiman yang terjerat ke dalam permainan politik ini juga menghadapi dilema kebelakangan ini. Lantaran daripada krisis Perak, mahkamah gagal membuat keputusan.

Misalnya, mahkamah memutuskan bahawa speaker Kedah berkuasa untuk menentukan sama ada wujudnya kekosongan kerusi di dalam DUN. Namun, keputusan ini terpaksa ditangguhkan kerana seandainya kes Kedah diterima pakai, maka keputusan yang sama juga harus digunakan terhadap kes Perak, kata Sivakumar.

Sabotaj dari kerajaan pusat

Setelah kerajaan PR Perak dirampas kuasa, Selangor pula menjadi sasaran seterusnya. Presiden Selproa, Razak Ismail mendakwa bahawa kerajaan BN di peringkat persekutuan cuba menggunakan kementeriannya untuk mensabotaj kerajaan PR di negeri Selangor.

Razak Ismail  memberi contoh bagaimana jalan di Shah Alam tidak diselenggara dengan betul oleh JKR (Jabatan Kerja Raya Malaysia), dan banjir yang berlaku kerana JPS (Jabatan Pengairan Dan Saliran Malaysia) enggan menyelenggara sungainya.

Presiden Selproa ini mengutuk kerajaan BN yang cuba menggulingkan kerajaan PR dengan apa jua cara, termasuk sabotajnya yang disebut di atas agar rakyat secara umumnya memandang PR tidak menjaga kepentingan mereka, dan bakal menyatakan ketidakpuasan terhadap PR pada PRU yang akan datang.

Ketika mengulas penangkapan Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM) terhadap rakan sekerjanya, Hussein Ahmad, Razak Ismail mempertikaikan bahawa penangkapan tersebut sebagai cubaan untuk mengaibkan pembantu peribadi ADUN PR. Bagaimanapun, Razak Ismail menyatakan barisan PA ADUN PR ini akan berada di barisan depan untuk mempertahankan kerajaan PR.

Mengapa tiada KPI keadilan?

Melihat kepada enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara, yang menyasarkan pengurangan kadar jenayah, pendidikan, memerangi rasuah, tingkatkan taraf hidup, memperkasa prasarana luar bandar dan pengangkutan awam, Tony Pua menganggap bahawa Najib masih terbelenggu dengan minda lamanya, dengan mengandaikan perut dan keselamatan rakyatnya dijaga, maka sokongan akan kembali kepada BN, tanpa menghiraukan penangkapan pembangkang yang tidak wajar.

Namun, Tony mengingatkan bahawa rakyat telah sedar setelah tsunami politik yang berlaku pada 8 Mac 2008, maka tuntutan demokrasi itu tidak boleh ditarik balik. Dengan kata lain, minda yang lama ini gagal memenuhi tuntutan rakyat yang sudah bangkit.

Tian Chua pula menganggap “KPI” Najib sebagai satu cara untuk menarik undi, dan mewujudkan suasana feel good buat semua orang. Oleh kerana matlamatnya hanya untuk memikat undi, maka Najib tidak melaburkan banyak masa dan pemikiran dalam konsep ini.

Antara teks ucapan dengan dasar

Tian Chua menjelaskan bahawa wujudnya dua proses dalam kerajaan. Pertamanya, penggubalan dasar yang kemudiannya diterjemahkan ke dalam pentadbiran kerajaan; keduanya, penulisan teks ucapan untuk mengartikulasikan dasarnya. Kedua-duanya sebenarnya tidak bercanggah, tetapi apa yang berlaku di Malaysia ialah kedua-dua ini menjadi cabang berbeza yang tidak berinteraksi.

APCO (syarikat perhubungan awam) tidak berpengaruh dalam pembentukan dasar UMNO,” Tian Chua  menambah, “APCO cuma mencantikkan ucapan, supaya menarik didengar. APCO boleh menyediakan teks ucapan untuk tiga jam, tanpa kandungan dan dasar dalam ucapan anda, tetapi menarik ketika didengar.”

Beliau menyambung, “Sama ada 1Malaysia, atau Islam Hadhari, atau apa-apa yang disebutkan, tidak pernah melalui satu usul yang konkrit, kembali ke perhimpunan agung UMNO, untuk diluluskan dan dijadikan komitmen parti ini, dan diterjemahkan ke dalam pentadbiran negara.”

Pengarah Strategi PKR ini cuba membezakan konsep antara “KPI” dengan target (matlamat). “Kita ambil contoh pencegahan jenayah, Najib menyasarkan pengurangan kadar jenayah sebanyak 60%. Ini bukan KPI, ini target,” jelasnya.

Beliau seterusnya menjelaskan konsep “KPI” dengan mengambil contoh balai polis. “Apabila anda sampai, dalam 15 minit, sudah ada seorang pengawai mendengar aduan anda. Laporan anda lengkap dalam masa setengah jam. Dalam satu minggu, fail sudah dibuka. Dalam tiga bulan, mereka akan beritahu sama ada kes anda jalan atau tidak jalan. Dalam satu tahun, masuk mahkamah.”

“Ini KPI, tapi ini bukan jaminan untuk mengurangkan jenayah. Tidak mungkin anda kata anda boleh kurangkan jenayah dengan KPI. KPI hanya memastikan anda membuat kerja untuk memenuhi keperluan golongan sasaran anda,” jelasnya.


17 Responses to “KPI Sekadar Retorik Menang PRU”


  1. 1 Ratnasari Jan 22nd, 2010 at 5:56 pm

    Its a good start dan memang benar seperti yang dikatakan apatah lagi KPI itu sendiri dibuat sendiri oleh kementerian terbabit berdasarkan keselesaan dan keupayaan untuk menyelesaikan sesuatu tugas, siapa yang nak buat ia melebihi apa yang pernah dicapai? sapa yang sanggup nak cabar keupayaan sendiri kalau setakat makan gaji…rakyat Malaysia is not dumb anymore? so Mr. Najib do u fit in for the next election? just wait n see…

    Reply

  2. 2 arabkia Jan 23rd, 2010 at 1:47 am

    Be End nampaknya semakin sasau dan menggila benar nak rampas balik Selangor.
    Saya mohon pemimpin PAKATAN RAKYAT terus cekal bertahan dari apa jua serangan puak laknat ini.

    Selain itu, harap segerakan kempen untuk mendapatkan dan meningkatkan senarai pengundi berdaftar yang belum disenaraikan. PRU13 bakal menjelang, setiap undi itu tinggi nilainya.
    Bak kata azimat RPK “Registering as a voter is your constitutional right. But voting is not your right. It is your duty. So exercise your right and fulfil your duty.”
    Insyallah berhasil.

    Reply

  3. 3 Lembing tumpul Jan 23rd, 2010 at 2:31 am

    KPI Kenapa Perlu Imbuhan,tiada siapa nak kan KPI,hanya org yg gilakan KUASA PERUT INI,ia dah lama wujud hanya Mr najip baru sedar dipenghujung kuasanya dah terlambat 1malaysia,Klinik 1malaysia konon dah lama wujud klinik RM1.00 org umno baru sedar,kenapa tak buat klinik terapung atau klinik bergerak mcm jual ais krim je…hah..

    Reply

  4. 4 Harapan Baru utk Malaysia Jan 23rd, 2010 at 2:44 am

    Kita buat Juara mat rempit utk golongan umno atau minah skonyel 1malaysia,skrangni sebut saja 1malaysia org guna utk produk sehingga rumah urut pun ada nama RUMAH URUT 1MALAYSIA,bahan buat ditertawa pelancong luar,jgn terlalu taksub dgn 1malaysia kita cuma diperalat oleh Mr najip,mcm time mahadhir/paklah 2020,cemerlang gemilang terbilang….abukpun tarak..air liur byk..

    Reply

  5. 5 zamy Jan 23rd, 2010 at 5:52 pm

    memang KPI yg UMNO-BN bising utk kementeria2 mereka adalah retorik shj…bagi saye adelah pembungkus saje ataupun kosmetik saje……utk melindungi kehodohan sebenar ataupun kurap2 dan panau2 yg ade pada mereka…..oleh itu harap rakyat Malaysia jgn tertipu……kita wajib humban mereka segera kedlm tong najis…..ataupun lubang kubur….supaya kebusukan dari sopak2 dan panau2 tu tak mengganggu(menjadikan negara kite bangkrap dek perangai rasuah mereka dll) kita masa depan….Ummmph…Nooooo…

    Reply

  6. 6 haji mokhtar Jan 23rd, 2010 at 10:25 pm

    KPI apanya,kalau semua pemimpin umnu bermasalah..sendiri bikin sendiri mau nilai..mana maunya.KPI yg sebenarnya pada PRU 13 nanti..biar rakyat yg menilaikan..tu baru betul..siapa rasa diri ada masalah dah boleh boleh la..mengemas apa yg patut..nak sangat tengok umnu/BN kalah PRU 13,boleh la rakyat beramai ramai buat perarakan kebalai polis buat aduan rasuah dan salah guna kuasa..

    Reply

  7. 7 haji mokhtar Jan 23rd, 2010 at 11:05 pm

    Kenapa SPR boleh memohon supaya PRK tidak diadakan di Kota Siputeh Kedah , Artikel 113 Perlembagaan kata SPR tugas nya adalah mengadakan perkara yang berkaitan pilihan raya sahaja , bukan rayu kat Mahkamah supaya tak ada PRK. Inilah Negara Malaysia yang serba boleh.

    Reply

    shift Reply:

    Sebab utama ialah SPR sudah lazim dengan zaman UMNO memonolopi kuasa dan lazim selepas setiap PR Umum yang lebih 80% kerusi di kaut oleh UMNO dan BN, mereka rasa mau goyang kaki sepanjang penggal.

    Reply

  8. 8 mat uk Jan 24th, 2010 at 12:29 pm

    KPI ni ada kala lebih dari kemampuan contohnya MOSTI letakkan hasil dari aktiviti innovasi akan menyumbang 10% kepada KDNK. Ini macam satu mimpi. Siapa yang bantah? Kalau sebelum ni apakah pencapaian negara dalam bidang pengkomersialan 10@ daripada KPI ini. Saya yakin nak kata 1% pun tak tentu.

    Tambahan pulak, KPI ni macam statistics dan bak kata peribahasa Inggeris: you can get statistics to tell anything you want.

    Reply

  9. 9 win win malaysians Jan 24th, 2010 at 4:05 pm

    KPI hanya buat boss2 yg hanya pandai mengampu Mr Najip,xcn saja pandai kerja tapi bodoh mcm budak thn6 selagi mereka masih diatas selagi itulah mereka ini perlu boleh masuk tong najis,lagi ramai manusia mcm ni lagi banyak rasuah mereka hanya tahu duit saja kerja bodoh,alahai Mr najip alamat telingkuplah bahtera kamu pabila didayung oleh spesis mcm ini…….

    Reply

  10. 10 seniman 85 Jan 24th, 2010 at 7:31 pm

    isu KPI ni ni mmg retorik semata-mata, masa pilihanraya manik urai thn lepas umno menyalah gunakan kuasa…kata dato mahfuz dikerahnya askar2 tuk pergi kependalaman bg mendapat kan sokongan masyarakat desa dengan memberi mereka minyak ,beras,gula dan sebagainya..

    Reply

  11. 11 shift Jan 24th, 2010 at 10:33 pm

    Najib ingat negara Malaysia macam syarikat perniagaan yang mengutamakan untung, sebab itu dia kena upah menteria yang ada MBA, dan sekarang menteri ni fikir negara ni macam sebuah syarikat multinasional macam shell, sekarang dia cuba guna instrument yang sama seperti KRA dan KPI, semua orang dalam bidang pengurusan pun tau, matlamatnya ialah memperolehi hasil melalui eksploitasi orang-orang lain, dalam senario ini pejawat awam dan rakyat untuk mendapatkan hasil utama, keuntungan dan kuasa. Boleh ke menteri berMBA ini menggunakan pendekatan yang pernah diguna dalam syarikat multinasional untuk memberikan keuntungan besar kepada kerajaan BN?

    Reply

  12. 12 dina Jan 25th, 2010 at 4:45 am

    Sebenarnya KPI sinonim dengan Kepala Penyamun Indek untuk BN dan UMNO.

    Kemajuan apa lah yang mereka lakukan. Baru sahaja sebentar tadi kawan-kawan yang masih berada di dalam UMNO menyatakan bahawa UMNO di Perak sudah parah. Mereka sedang meraih simpati rakyat. UMNO sedang menggunakan pelbagai cara untuk meraih hati rakyat.

    Katanya, siapa yang pandai merapatkan diri dengan UMNO akan mendapat habuan yang besar.

    Inilah kerja mereka. Ini lah budaya mereka. Inilah politik mereka. Inilah kerja kotor mereka. Tiada perkara lain yang mereka usahakan kecuali mengikis harta dan wang ringgit rakyat untuk kepentingan politik serta peribadi semata-mata.

    Cukuplah setakat ini buat UMNO dan BN. Jangan biarkan mereka terus berkuasa jika ingin melihat negara kita berubah menjadi makmur dan senang untuk semua rakyat.

    Perjuangan Pakatan Rakyat adalah ke arah kesejahteraan kita semua.

    Reply

  13. 13 minang Jan 25th, 2010 at 7:59 am

    Buatlah apapun takada orang nak ikut dan dengar macam anjing menyalak bukit tak runtuh pun diri sendiri tak boleh nak jaga asyik kena kawal ngan BINI SAJA kawan2 dia pun menyampah depan sokonglah sebab jaga jawatan nanti soru mis?

    Reply

  14. 14 ne Jan 26th, 2010 at 2:35 pm

    Tuan Najib…target tok Sabah dan Sarawak macam mana ekkk? Hehehehe…tok pegetahuan Tuan, target bebudak Borneo yag Tuan pandang sengal dan hutan ialah untuk menukar kerajaan…:p

    Reply

  15. 15 shift Jan 29th, 2010 at 5:49 pm

    Tertunggu juga apa yang nak di pamerkan oleh Najib tentang Plan Transformasi Kerajaan, tapi setelah membacanya hari ni di media perdana, cuba nak juga fahamkan bagaimana proses transformasi boleh diukur dengan KPI ini satu perkara baru, tapi kalau dilihat pada KPI dengan sekian peratus, ini tak lebih macam laporan prestasi sebuah syarikat sendirian berhad. Saya bukan ahli sosiologi, tapi pernah terbaca tentang proses transformasi sosial di England akhir kurun ke 18 dan kurun ke 19 yang disebuat berlaku dengan kemunculan kumpulan kelas pertengahan, atau transformasi dari ulat daun kepada kupu-kupu yang boleh terbang, ini yang saya faham tentang proses transformasi. Jadi apa jadah yang hendak di pamerkan oleh Najib ini kecuali dengan tujuan untuk membodohkan orang kampung.

    Reply

  1. 1 Tweets that mention KPI Sekadar Retorik Menang PRU at Anwar Ibrahim -- Topsy.com Pingback on Jan 22nd, 2010 at 5:20 pm

Leave a Reply