Dari Malaysia Kini
Penyiasat persendirian P Balasubramaniam menyebut nama adik perdana menteri dengan tindakannya menarik balik akuan bersumpah mengaitkan Datuk Seri Najib Razak dengan kes Altantuya Shaariibuu.
Pendedahan nama Datuk Mohamed Nazim Razak itu dibuat dalam bahagian akhir wawancara bekas pegawai polis Cawangan Khas itu – yang pernah menjadi pengawal peribadi Abdul Razak Baginda, kenalan rapat Najib – dalam laman web Malaysia Today hari ini.
Sebelumnya, dalam empat bahagian awal tembual tersebut, Balasubramaniam hanya menyebut adik perdana menteri dengan gelaran “seorang Datuk VIP” yang ditemui di The Curve, Damansara pada malam sebelum bertolak ke luar negara.
Balasubramaniam menggemparkan negara pada Julai tahun lalu apabila muncul di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya mengumumkan akuan bersumpahnya yang mengaitkan Najib, waktu itu timbalan perdana menteri, dengan wanita Mongolia itu yang mati dalam pembunuhan kontroversi.
Keesokannya, 2 Julai tahun lalu, beliau menarik balik kenyataan dalam akuan sumpah tersebut melalui akuan kedua di sidang media yang diadakan secara tergesa-gesa dan kelam-kabut sebelum menghilangkan diri secara misteri di luar negara.
















