Teks Perbahasan Bajet 2010 – Versi Hansard , Peringkat Jawatankuasa Jabatan Perdana Menteri Oleh : YB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM
ISNIN, 16 NOVEMBER 2009
Tuan Pengerusi: Kepala Bekalan B.1 hingga B.9 dan B.40 dan Kepala Pembangunan P.6 dan P.7 terbuka semula untuk dibahas. Sila Yang Berhormat Permatang Pauh.
_
12.30 tgh.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Tuan Pengerusi, saya pohon turut serta dalam Perbahasan Peringkat Jawatankuasa B.3, 010000 dan 020000 – Pengurusan Korporat dan Pengauditan. Kita baru-baru ini dikejutkan dengan Laporan Ketua Audit Negara.
Setiap kali Laporan Ketua Audit Negara dikeluarkan Menteri-menteri dan kerajaan berpura-pura terkejut dan memberi jaminan tindakan diambil. Akan tetapi, saya masih ingat tatkala Allahyarham Tan Sri Ahmad Noordin menjadi Ketua Audit Negara sejak itu lagi, sebelum beliau diangkat menjadi Pengerusi Suruhanjaya BMF. Beliau telah mencatat beberapa kelemahan tidak separah sekarang tetapi ada langkah-langkah diambil. Umpamanya ada lembaga ketika itu namanya Maju Ikan yang kemudian dibatalkan dan di antara sebabnya ialah pembelian bot kecil nelayan. Apabila ditanya, bot tidak sampai. Order dibuat, bayaran dibuat. Apabila ditanya pegawai berkenaan, katanya bot tenggelam dan perkara itu ditutup begitu sahaja. Itu sebagai contoh bagaimana pada peringkat itu sekurang-kurangnya dalam hal yang agak kecil yang melibatkan ratusan ribu ringgit yang mengejutkan dan tindakan cuba diambil.
Akan tetapi, sekarang kebocoran dan kerugian dari perkara yang sekecil membeli skru driver, komputer dan sehingga sebesarnya. Semua beri jaminan tindakan akan diambil. Sepatutnya setiap Menteri memberikan jawapan yang tegas dan tindakan diambil melalui Ketua Setiausaha Kementerian berkenaan supaya ada makna pengauditan ini.
Saya mengalu-alukan tindakan dan keberanian Ketua Audit Negara serta pasukannya yang mengetengahkan isu-isu ini. Kalau kita ada Menteri KPI dan sebagainya tidak perlu sibuk soal lain. Kaji laporan Ketua Audit Negara dan perbaikinya. Itu pun sumbangan besar kepada negara… [Tepuk]
Akan tetapi, kalau kita hanya sibuk dengan rangka-rangka yang canggih dan pengumuman demi pengumuman hendak mempesonakan sedikit orang tetapi kesannya tidak ada. Lihat sahaja Laporan Ketua Audit Negara tahun ini, tahun sebelumnya, dan sepuluh tahun sebelumnya. Apakah ada perubahan yang lebih positif atau kita kekal malah lebih parah dalam beberapa aspek pelaksanaan? (more…)