Saudara Shukri menanyakan:
Assalamualaikum Dato’ Seri,
Saya selalu tertanya–tanya apakah realiti di sebalik penubuhan anak-anak syarikat Lembaga Tabung Haji (LTH). Sehingga kini, LTH memiliki empat anak syarikat yang menguruskan empat sektor berasingan; property, estate, construction dan travel.
Adakah ianya ditubuhkan untuk menyalurkan semula dana LTH keluar bagi membantu wang berputar dalam negara untuk menjana ekonomi sosial, daripada terperap dalam tabung, atau tujuan utamanya untuk memaksimakan keuntungan LTH supaya dividennya dapat dikembalikan kepada penabung?
Saya bertanyakan soalan ini kerana mungkin Dato’ Seri sebagai Menteri Kewangan dahulu memahami objektif sebenar anak-anak syarikat ini ditubuhkan.
Saya tidak tahu which is which, tetapi semua anak syarikat berlumba-lumba menjadi syarikat korporat yang mengutamakan keuntungan kewangan untuk memaksimumkan dividen kepada LTH.
Dalam masa yang sama, mereka menjadi syarikat-syarikat korporat yang mengabaikan tanggungjawab sosial.
Jika objektif LTH hanya mengutamakan dividen pulangan untuk mengayakan penabung (yang mana ianya jelas kelihatan sekarang), maka fungsi anak-anak syarikat dan fungsi LTH untuk menggunakan dana lebihan untuk maslahat umum tidak akan dijadikan keutamaan. Dan ini merugikan masyarakat, Melayu/Islam khususnya yang masih terpinggir dan miskin di Malaysia.
Saya berpendapat bahawa memperluaskan bisnes untuk memberi pulangan kepada penabung merupakan satu usaha yang baik, tetapi apabila bisnes itu menjadikan keuntungan sebagai keutamaan, sampai bila pun taraf hidup masyarakat tidak boleh diperbaiki.
Penabung harus menerima kenyataan bahawa dividen mereka digunakan untuk membaiki masyarakat melalui anak-anak syarikat dan bukannya menindas masyarakat yang tidak mampu menabung melalui syarikat-syarikat korporat yang ‘dibiayai’ sendiri oleh mereka.
Mungkin saya salah.
Harap mendapat sedikit input dari Dato’ Seri.
—–
Saudara Shukri,
Profesor DiRaja YM Ungku Aziz mula menyarankan konsep penubuhan lembaga dengan maksud menggalakkan tabungan, memperkemas urusan dan kebajikan jemaah haji, dan meningkat kegiatan perniagaan dan pelaburan umat Islam.
Tahniah di atas kejayaan awal. Namun penilaian telus juga perlu.
Manakala pimpinan politik gelojoh memenfaatkan dana buat menyokong projek kroni, atau menteri sibuk mengatur keutamaan pelaburan, maka musibah akan menimpa pelabur yang rata-rata miskin atau berpendapatan rendah.
Saya pasti dengan dakwaan pelaburan mengambilalih projek bangunan kroni di Kuala Lumpur yang pernah dibantah wakil Perbendaharaan tetapi diasak olih menteri dan pimpinan atasan. LTH mencatat kerugian.
Kedua, tidak semua bentuk pelaburan termasuk perladangan di Indonesia umpamanya yang dirurus atau diawasi dengan cekap.
Ketiga, tahap ketelusan, profesionalisme dan pertanggungjawaban perlu ditingkatkan.
Keempat, yang juga kritikal kerana sering berlaku dimana pengurus lebih asyik merencana pelaburan dan perniagaan, dan pengurus menekankan soal kebajikan mereka tanpa menoleh kepada jutaan pelabur yang dahagakan pembelaan dan kebajikan yang lebih.
Adalah diharapkan agar pihak pengurusan LTH memerhati teguran secara bijak dan adil.
ANWAR IBRAHIM
















