Perbahasan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Integriti Agensi Perlaksanaan

30 June 2009

Pendapat

Pendapat Anda?


(video ehsan malaysiakinitv)

PERBAHASAN RANG UNDANG-UNDANG
SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN
OLEH YB DATO’SERI ANWAR IBRAHIM
KETUA PEMBANGKANG
PADA ISNIN 29 JUN 2009

VERSI HANSARD

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Permatang Pauh.
2.45 ptg.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Tuan Yang di- Pertua, terima kasih saya ucapkan. Saya bangun untuk membahaskan Rang Undang-undang Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP). Mengikuti pidato Yang Berhormat Kinabatangan, menarik perhatian bahawa, ada beberapa kesangsian dari rakan dari Barisan Nasional sendiri tentang beberapa peruntukan yang harus dikemas kini, dan saya ucap tahniah di atas keberanian dan kelantangan rakan Yang Berhormat Kinabatangan.

Tuan Yang di-Pertua, beberapa Ahli Yang Berhormat, khususnya Yang Berhormat Ipoh Timur ada menyentuh tentang latar belakang, dan dia ada kaitan dengan apa yang hendak saya ketengahkan, kerana rang undang-undang ini, dari segi hasratnya adalah penting. Bukan semata-mata sebagai reaksi terhadap kritikan tentang, bobroknya sistem atau kelemahan bidang penguatkuasaan atau rasuah, yang menjadi barah. Akan tetapi, apa-apa usaha dalam memantapkan negara hukum, maka isu kewibawaan institusi dianggap penting. Oleh yang demikian, saya ingin menyentuh dan mengambil perhatian

Tuan Yang di-Pertua, memandangkan beberapa rang undang-undang ini terlalu penting yang hendak dipaksa kita luluskan dalam masa yang terlalu singkat. Suruhanjaya Integriti, Etika Kehakiman, Bank Negara Malaysia, Rang Undang-undang Keluarga, dan Akta Insurans. Kalau kita teruskan, ia akan menghalang ramai rakan-rakan Ahli Parlimen dari mengambil pendirian.

Menyentuh rang undang-undang SIAP ini, saya ingin memulakan dengan menyentuh maksud keselamatan dalam negara. Sanctity of life and property, dengan izin, adalah sebahagian perkara asas dalam maqasib syariah itu sendiri. Matlamat syariah itu tidak terlepas daripada meletakkan amanah kepada pemerintah untuk menjamin keamanan rakyat. Kita akui bahawa Malaysia umumnya, negara aman. Akan tetapi, kita tidak boleh nafikan, masalah jenayah dan kebimbangan rakyat, sehinggakan di beberapa kawasan perumahan, rakyat memilih untuk mengadakan peraturan sendiri, kawalan sendiri, kerana mereka anggap kawalan keselamatan oleh pasukan polis, gagal menjamin keselamatan mereka, sama ada di bawah seliaan bekas Menteri Dalam Negeri dulu, ataupun Menteri Dalam Negeri sekarang.

Tuan Yang di-Pertua, kita tidak boleh ketepikan permasalahan ini, dan menganggap, seperti mana sebahagian daripada rakan saya dari Barisan Nasional yang mengatakan, bahawa kita mengambil satu sikap yang terlalu negatif, menganggap bahawa, tidak ada kedamaian dan keamanan negara. Saya tidak mahu mewakili pandangan itu, kerana kita akui negara kita, relatifnya, lebih aman. Akan tetapi, kita tidak boleh biarkan kadar jenayah meningkat dan prestasi pasukan penguatkuasaan, sama ada polis, atau maritim, atau kastam, atau imigresen dihinggapi daripada tuduhan-tuduhan, apatah lagi kalau berasas.

Oleh sebab itu, beberapa tahun dulu, bekas Perdana Menteri, membentuk Suruhanjaya IPCMC, memberi cadangan yang agak mengejutkan, dan ini dibahaskan. Saya percaya di peringkat Jemaah Menteri berulang-kali, menerima bantahan kuat dari Ketua Polis Negara dan pasukan polis. Akhirnya, kerajaan mengalah, dan saya difahamkan kerajaan mengalah.

Saya hendak berterus-terang dengan Tuan Yang di-Pertua, kononnya imej pasukan polis Melayu ini akan tergugat. Orang-orang Melayu, polis Melayu di semua peringkat ini akan didera dengan beberapa tindakan kalau mengikut syor suruhanjaya IPCMC. Fahaman pertahankan Melayu, imej Melayu walaupun ada kepincangan, ada rasuah, ada penyelewengan, ini tidak tepat. Saya lebih berbangga dengan polis umumnya dan polis Melayu yang wibawa, yang profesional, yang tidak rasuah. Mengapa harus kita pertahankan kalangan yang rasuah?

Ramai anggota polis yang bekerja dengan cukup baik, prestasinya cukup baik, tahap pengorbanan perkhidmatan yang cukup membanggakan, mengapa harus polis diperangkap semata-mata untuk mempertahankan beberapa kerat orang atasan polis yang bersekongkol dengan samseng, kongsi gelap, sindiket haram dan perjudian dan kita memaksa negara kita dan Parlimen termasuk Kerajaan Barisan Nasional tunduk kepada kelompok ini.

Saya tidak mahu buat kenyataan melulu tanpa bukti dan asas. Kalau saudara yang mempertikai, baca dalam Laporan Suruhanjaya IPCMC, cukup untuk membuktikan satu suruhanjaya yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara yang menjelaskan betapa negara kita menghadapi satu keadaan yang getir lantaran kecuaian pimpinan dan sebahagian daripada anggota polis yang menyebabkan imej dan tahap profesionalisme polis itu juga dikompromi.

Ada yang mengatakan bahawa isu rasuah ini bukan semata-mata diikat dengan Suruhanjaya Integriti kerana ada MACC – benar, itu isu lain. Setakat ini telah heboh, uar-uar tentang MACC, pelaksanaannya entah ke mana. Kes-kes yang kita lapor, berbulan-bulan, saya ingat laporan yang saya kemukakan tiga, empat bulan yang lalu baru ada jawapan minggu lalu daripada Menteri mengatakan perkara tersebut dirujuk kepada MACC. Sudah enam bulan, soalan pun belum diangkat. Jadi kalau ini yang berlaku, maknanya pelaksanaan MACC itu juga harus dipersoalkan dan kemampuan mereka harus dipertikai.

Ada pandangan sebelum ini yang menyebut tentang rekod satu negara yang dahulunya dibaluti dengan permasalahan rasuah, jenayah dan tahap profesionalisme rendah seperti Hong Kong mampu diatasi dengan perundangan yang lebih tegas, pimpinan polis yang lebih profesional dan cukup wibawa dan ini berlaku seperti mana disaksikan di Hong Kong. Berlaku di New York, di bawah Giuliani, tegas, keras. Ini bukan sedikit kontroversi kerana ketegasan tetapi kerana kejayaan membersihkan pimpinan pasukan polis daripada terlibat dengan komplot, samseng, rasuah dan penjenayah besar.

Mengapa kita tidak menunjukkan sedikit pun keupayaan untuk melakukan sedemikian. Lihat sahaja berpuluh laporan, bukan terhadap Menteri. Hari ini kita bicara soal Menteri terhadap pimpinan pasukan polis negara. Bagaimana hendak diharapkan kita menambah keyakinan kepada polis. Hari Ini hendak menyelamatkan imej polis Melayu kononnya dan saya tidak setuju. Saya tidak pernah setuju dengan andaian bahawa polis Melayu itu disamakan, sinonim dengan rasuah.

Beberapa pimpinan polis, ya, tetapi kita imej polis itu dipulihkan dan memulihkan tahap profesionalisme, kewibawaan dan meletakkan orang yang cukup amanah memikul tanggungjawab ini. Kalau tidak, kita ini seolah-olah sebahagian daripada pimpinan UMNO dan Barisan Nasional. Seolah-olah terlalu takut kerana ada rekod dan fail, maka menyerah semuanya kepada polis walaupun tahu sesungguhnya rekod polis sedemikian rupa.

Laporan pertama, seorang pegawai polis berpangkat Assistant Superintendent Police, Jabatan Jenayah Komersial, Jalan Dato’ Onn, Hong Kin Hock yang menerima arahan daripada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial untuk mengumpul maklumat mengenai kegiatan ceti haram di kawasan Johor dan Melaka, sindiket ah long, Tangkak Kia – dia kirim lima detektif untuk mengambil tindakan. Kemudian dapat tangkap Ah Kooi, Ah Seng, Ah Hang dan seorang yang bergelar Tengku, didedahkan. Kemudian 20 Januari 2007, kawannya dikenali sebagai Richard, rapat dengan Tan Sri Ketua Polis Negara membantu kawan-kawan dalam pasukan polis untuk naikkan pangkat.

Ini satu tuduhan, pengakuan bersumpah seorang pegawai tinggi polis terhadap penglibatan Ketua Polis Negara dengan sindiket haram. 24 Mac, Ah Kooi dan Ah Sang dan Tengku Johor memaklumkan ACP Hamzah Md Som – sumber itu juga mengesahkan tentang tindakan Ketua Polis Negara terhadap pegawai Hong Kin Hock, ASP Cawangan Operasi tadi. 22 Mei, beliau menjalankan serbuan Ops. Tiong di Kondominium Heritage, Setapak kerana tindakan itu beliau dipanggil oleh Tan Sri Ketua Polis Negara menanyakan tentang tindakan tersebut. Beliau melaporkan dan mengatakan bahawa beliau terpaksa merakam segala pendedahan haram yang dibuat memandangkan di Skudai dan sebagainya.

Hal ini tidak disenangi dan pegawai yang berkenaan melaporkan kepada Ketua Pengarah JSJK dan pegawai yang berkenaan kemudian telah dikenakan tindakan tatatertib. Jadi risikan terhadap kegiatan ceti haram dan risikan ke atas OT Ong yang membabitkan nama Tengku untuk memperolehi maklumat mengenai ceti haram telah menyebabkan dia dikenakan tindakan dan dia telah membuat pengakuan bersumpah. Ada tindakan? Tidak ada.

Ir. Haji Hamim bin Samuri [Ledang]: Penjelasan. Terima kasih Permatang Pauh tetapi sebelum itu saya hendak mengucapkan syukur kerana anak-anak buah saya di belakang, daripada Sungai Mati selamat sampai kerana negara kita aman. [Tepuk] Hendak melihat Permatang Pauh kita berhujah. Begini, saya hendak meminta penjelasan daripada Permatang Pauh tentang laporan-laporan tadi yang kemungkinan juga itu satu serangan-serangan daripada pihak tertentu yang bertujuan untuk menafikan atau yang cuba menghalang.

Saya bukan hendak mempertahankan Ketua Polis Negara tetapi kemungkinan juga itu adalah satu serangan daripada pihak tertentu kepada Ketua Polis Negara yang bertujuan untuk membanteras segala penyelewengan terutamanya berkaitan dengan jenayah peras ugut, kongsi gelap dan sebagainya, kemungkinan juga. Adakah kita boleh berfikir ke arah itu, kemungkinan yang boleh berlaku berbanding jika sekiranya kita menerima maklumat itu sebagai serangan pula kepada Ketua Polis Negara dan kepada pegawai-pegawai yang dimaksudkan tadi?

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih Yang Berhormat Ledang. Ini saya bacakan akuan bersumpah pegawai kanan polis. Saudara bicara soal kemungkinan. Dia ada beza di situ. Akuan bersumpah kemudian dihantar kepada bekas sahabat saya Tun Dr. Mahathir. Di dalam makluman beliau juga dan kemudian dihantar kepada bekas Menteri Dalam Negeri, Kota Tinggi yang sekarang ini banyak rehat. Jadi…

Ir. Haji Hamim bin Samuri [Ledang]: Sedikit sahaja, minta maaf.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Saya tidak jatuhkan hukuman. Saya kata ada aduan bersumpah pegawai tinggi polis, harus ada siasatan rapi. Bukan satu, puluhan rekod begini. Kita sebaik sahaja ada laporan, orang besar tidak salah semua. Ini masalah kita. Ada laporan daripada polis, ada kes jenayah yang banyak. Jawapan pertama, yang pertama tak salah ialah Ketua Polis Negara. Yang bawah ini kena terajang. Ada kes mati, yang kena hokum gantung, yang di bawah ini. Yang atas, lepas semua. Ini sikap yang kita kena ubah. Bukan saya nak kata tetapi yang saya kesalkan ini, siasatan tidak ada, siasatan tidak telus. Ini menyebabkan kita mengekalkan orang yang disabitkan dengan kes-kes yang serius. Risiko yang dibuat oleh pegawai-pegawai ini kerana membuat akuan bersumpah itu besar. Jadi oleh yang demikian, sebaiknya ada siasatan bebas yang rapi. Itu kebijaksanaan IPCMC.

Ir. Haji Hamim bin Samuri [Ledang]: Boleh sedikit lagi, sedikit lagi. Minta maaf Yang Berhormat Permatang Pauh. Saya cuma terfikir tadi iaitu pada satu ketika kita dilambakkan dengan banyak kenyataan bersumpah ini. Oleh sebab itu apabila orang awam terima kenyataan
bersumpah ini, kita sudah mula ragu-ragu dengan kenyataan bersumpah. Apa pandangan Yang Berhormat Permatang Pauh?

Dato’ Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: [Bangun]

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Ya, sekali.

Dato’ Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Terima kasih Yang Berhormat Ketua Pembangkang. Adakah Yang Berhormat bersetuju bahawa semua kenyataan bersumpah ini kalau dianggap oleh orang yang disebut dalam kenyataan bersumpah ini yang melakukan sesuatu perkara itu, kalau dianggap kenyataan bersumpah ini tidak betul, orang itu boleh ambil tindakan kepada orang yang membuat kenyataan bersumpah ini. Akan tetapi saya difahamkan sehingga hari ini, hatta Ketua Polis Negara sendiri pun tidak mengambil apa-apa tindakan kepada pegawai-pegawai polis yang telah pun membuat akuan bersumpah ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih. Yang Berhormat Pokok Sena lebih bijak dari segi undang-undang daripada Yang Berhormat Ledang. [Ketawa] Sebab pengakuan bersumpah ini, kalau buat tuduhan melulu ia salah dari segi jenayah. Maknanya tidak.. saya bersetuju dengan Yang Berhormat Ledang. Kalau katakan jangan kita ambil pengakuan bersumpah itu sebagai muktamad, ini hanya satu tuduhan. Akan tetapi tuduhan pengakuan bersumpah itu adalah satu jenayah seandainya tidak dipertahankan dengan bukti. Oleh sebab itu orang yang membuat tuduhan melulu boleh diambil tindakan oleh orang yang dituduh.

Di dalam kes ini sepertimana yang disebut oleh Yang Berhormat Pokok Sena, yang tindakan diambil itu mengikut kuasa Ketua Polis Negara tidak dari segi undang-undang Negara kita dan imej serta nama tidak dipertahankan. Keduanya, Raja Kumar, anggota polis detektif sarjan, IPK Johor – D7. 16 Jun 2005 di pejabat IPD, JB Utara, Ng Swee Min, tanya sama ada beliau mahu masuk ke cawangan IPK – D7. Permulaan, recruitment, kemudian dia ditugaskan di restoran seafood.

Tuan Yang di-Pertua dan untuk makluman Yang Berhormat Ledang, tuduhan-tuduhan ini dengan terperinci. Maknanya kalau saya detektif sarjan, saya kata jam 3.20 petang. Saya pergi ke restoran seafood kawasan Taman Selaseh Jaya, Skudai, bertemu Ng Swee Min iaitu di dalam rekod. Itu bezanya kenyataan melulu dengan kenyataan pegawai polis. Rekod itu boleh disiasat. Kalau ada kesalahan, tindakan boleh diambil.

Akan tetapi apa yang pentingnya ialah bila sampai di pejabat IPD – JB, “terima telefon lelaki Cina dari Muar, nombor telefonnya diberi. Lelaki itu dari Botak Seng, ejen empat nombor ekor haram yang tinggal di kawasan Kesang, Muar. “22 hari bulan, pergi lagi untuk kemungkinan masuk ke D7. Di Balai Skudai, kereta menunggu, seorang lelaki nama panggilan ‘Tengku’ berada dalam kereta. Sampai di restoran, tanya mengenai pekerjaan dan layanan serta jaminan kemudian jumpa pegawai atasan DSP Ahmad Zambri. 1 Julai dia minta cuti.” Semuanya dia letakkan secara detail, terus dengan tarikh yang bersandarkan kepada rekod kerja polis beliau.

Dia lakukan serbuan, tindakan yang biasa, tangkap. Badan seorang samseng, lengan ada tatoo, rantai emas, semuanya dijelaskan. Nama bekas penjenayah, Ong Chee Keong, tinggal di Senai. [Disampuk] Ong Chee Keong, bukan Wee Chee Keong. Baik, kemudian risikan lagi. Yang penting di sini ialah setelah buat tangkapan kes berkaitan sindiket ekor haram, kegiatan samun, kegiatan bunuh dan semua maklumat yang diberikan dan disalurkan itu diketepikan dan beliau oleh yang demikian, buat ikrar tentang subahat dan penyelewengan yang berlaku.

Ketiga, Mohd. Yusof bin Ahmad, ini betul-betul mewakili pelbagai kaum. India, Cina, Melayu. IPD Polis Kluang. Pegawai polis, Assistant Superintendent Police Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Kluang, Johor. Dia diarah mengambil tindakan kepada penganjur judi ekor haram bersama Cheng Yew atau Ah Chai. Kemudian pada Mac 2005, waran tangkap dan tahanan terhadap Ah Chai dikeluarkan. Selepas 6 bulan dalam buangan, Ah Chai kemudian telah dibebaskan dan telah memenangi kes habeas corpus, benar. September 2005, Ah Chai masih meneruskan kerjanya sebagai penganjur perjudian ekor haram di kawasan Kluang. Beliau menyerbu counting centre dan menangkap 4 orang. Pada 30 Mac 2007, mereka ditangkap di bawah seksyen 31 Ordinan Darurat dan dibawa balik ke IPK Johor. Pada 7 April 2007, telefon daripada D7 Johor, DSP Ng Fook Long bertanya kepada saya adakah Ah Chai, isterinya dan Ah Chin dari group M.I.M.I., penganjur judi ekor haram.

“Pada 8 April sehari selepas mereka dibebaskan saya telah berjumpa Ah Chai di Bandar Kluang. Ah Chai berkata kepada saya yang dia tidak berpuas hati terhadap saya kerana telah menganiayainya. Saya bertanya bagaimana dia boleh bebas? Ah Chai beritahu ada seorang kawannya baik dengan IGP sekarang. Saya bertanya lagi kepada Ah Chai adakah orang itu bernama Tengku? Ah Chai hanya tersenyum sahaja. Sejak dari itu saya merasakan bahawa group Ah Chai mungkin bernaung di bawah Tengku dan berkaitan dengan Ketua Polis Negara.

Saya mengatakan bahawa sebagai seorang pegawai polis saya merasa amat tertekan,bahawa tindakan saya mematuhi arahan pegawai atasan saya dalam menjalankan risikan terhadap kegiatan jenayah, membuat rakaman risikan ke atas Ah Chai yang membabitkan namaTengku boleh menyebabkan saya dikenakan siasatan oleh Bahagian Tatatertib dan dipindahkan tugas ke Bahagian Logistik. Saya menganggap ini sebagai penganiayaan terhadap diri, kerjaya, keluarga dan nama baik saya.”

Manimaran a/l Palaniapan, kesnya lebih kurang sama. Saya tidak akan kesemuanya tetapi saya hendak ceritakan bagaimana dalam sistem, kita boleh biarkan hal yang sedemikian dan mempertahankan jenayah. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan Yang Berhormat Menteri semua bercakap soal integriti, Suruhanjaya Integriti, banteras rasuah dan negara, hukum dan undang-undang. Apabila pegawai kanan polis keluarkan kenyataan akuan bersumpah, tindakan terhadap mereka diambil mengikut jalur hukum polis bukan jalur undang-undang.

Ikrar bersumpah yang ditangani oleh Sarjan Mejar Manimaran a/l Palaniapan: “Adalah saya mengatakan bahawa sebagai seorang pegawai polis saya tertekan dengan tindakan sayamenjalankan tugas.” Ini juga berkait dengan kes Tengku Goh Cheng Poh. Sebenarnya “Tengku” ini, bukan Tengku Goh Cheng Poh kerana kuasanya dan hebat pengaruhnya dengan Ketua Polis Negara, dia diangkat sebagai Tengku.

Satu lagi kes Chai Boon Chye…, orang Melaka anjur GRO, terlibat kongsi gelap, buat pengakuan bersumpah, dia berhubung, dia bayar kepada pegawai-pegawai atasan sebanyak USD40,000, kemudian bayar lagi USD20,000. Kemudian permohonan lagi berjumlah USD40,000 dan diminta tindakan menutup, kemudian ditipu dan tindakan masih diambil terhadap beliau yang menjalankan kegiatan GRO haram.

Mohd. Yasin bin Malek, anggota Polis Sarjan di Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kluang. Kes yang lebih kurang sama, yang mana dia bersama kawannya telah pergi ke rumah Tan Sri Ketua Polis Negara, di mana Sarjan Mejar Yasin diarah tukar ke Terengganu. Ini adalah kerana dia menjalankan tanggungjawab menyiasat Ah Chai dan oleh yang demikian tindakan diambil terhadap beliau.

Ini sebahagiannya yang saya dinyatakan di sini. Oleh sebab itulah sebelum kita sambung soal Suruhanjaya Integriti, perkara ini harus kita selesaikan. Apa ertinya kita diminta bahaskan Suruhanjaya Integriti, Badan Kehakiman dan Suruhanjaya Anti Rasuah, tetapi hal-hal yang demikian kita biarkan seolah-olah dengan suruhanjaya ini menyelesaikan masalah rasuah.

Saya katakan bahawa mustahil akuan bersumpah ini tidak diketahui kerana sekali lagi saya ulang, akuan bersumpah ini sampai, kemudian dikirim kepada Menteri Dalam Negeri dan juga diangkat oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir untuk tindakan kerajaan. Akan tetapi sehingga kini tidak ada apa-apa tindakan.

Malah satu perkara yang amat membimbangkan ialah apabila Ketua Polis Negara dikaitkan dengan ketua sindiket penjenayah, BK Tan. Ada persepsi di kalangan pegawaipegawai tinggi polis, kalau hendak minta tukar dan hendak dinaikkan pangkat maka penglibatan BK Tan ini perlu. BK Tan seperti sudah tahu pengaruhnya besar termasuk di kalangan beberapa pemimpin UMNO dan Barisan Nasional, tidak semua. Saya harap dapat dihentikan kerja-kerja yang sedemikian.

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Rembau.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Di antara lain, Suruhanjaya Integriti ini juga…

Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar [Rembau]: [Bangun]

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat, Yang Berhormat Rembau berdiri.

Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar [Rembau]: Terima kasih kepada Tuan Yang di- Pertua dan juga Yang Berhormat Permatang Pauh kerana sekali lagi membenarkan saya mencelah. Saya tidak berapa faham, kalau dikatakan oleh Yang Berhormat Permatang Pauh bahawa masalah-masalah yang telah dibangkitkan tadi perlu diselesaikan dahulu sebelum kita bincangkan dan bahaskan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan.

Saya hendak tanya Yang Berhormat Permatang Pauh, bukankah tujuan kerajaan mencadangkan suruhanjaya ini adalah khusus untuk menangani masalah-masalah seperti mana yang telah dibangkitkan oleh Yang Berhormat tadi. Yang Berhormat bangkitkan tadi soal masalah yang berhubung kait dengan rasuah, kepincangan, disiplin, governance dalam Polis Diraja Malaysia. Inilah suruhanjaya yang kita hendak tubuhkan supaya dapat dibuat siasatan oleh suruhanjaya ini.

Banyak kali Yang Berhormat dan juga rakan-rakan daripada Pakatan Rakyat tadi seolaholah mengatakan bahawa suruhanjaya ini tidak ada kuasa siasatan, “mail box”, satu “posmen”, satu “post box”. Akan tetapi jelas di sini walaupun kuasanya tidaklah menyeluruh seperti mana IPCMC dan saya pun agak kecewa sebab tidak cukup menyeluruh tetapi sekurang-kurangnya ada kuasa siasatan. Sudah tentu isu-isu yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat tadi boleh disiasat oleh suruhanjaya ini.

Jadi, saya tidak faham logik Yang Berhormat yang mengatakan bahawa kita ketepikan sahaja suruhanjaya ini, tidak sokong kerana kita hendak selesaikan masalah-masalah seperti mana akuan bersumpah yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat tadi. Sudah tentulah ini adalah cara penyelesaian yang pertama. Kalau Yang Berhormat boleh setuju bolehlah kita melihat keberkesanannya. Terima kasih.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih. Kalau kita benar-benar serius hendak ambil tindakan banteras rasuah belum ada Suruhanjaya Integriti ini cukup undangundang termasuk Suruhanjaya Anti Rasuah untuk menjamin keberkesanan tindakan, kalau kita ada political will untuk ambil tindakan. Akan tetapi kalau tidak ada political will satu penambahan Suruhanjaya Integriti tidak akan membawa perubahan yang besar.

Oleh yang demikian saya tidak mengatakan bahawa…, tadi saya sebut ada kebijaksanaan Suruhanjaya Integriti. Yang Berhormat Rembau dia tidak berapa teliti dengar. Ada beberapa peruntukan yang sangat lemah. Cadangan IPCMC itu cukup ketat tetapi disangkal kerana takut itu seolah-olah menekan anggota polis yang kebanyakannya Melayu.

Jadi, dibangkitkan isu Melayu untuk menghalang IPCMC. Saya tidak setuju. Isu Melayulah patut kita angkat untuk menjaga isu governance, isu integriti kerana budaya Melayu itu tidak harus disamakan dengan budaya samseng dan rasuah. Akan tetapi oleh kerana Yang Berhormat Rembau sebut, memang dalam nota saya seksyen 22, seksyen 26, seksyen 41(a). Adalah harapan, mudah-mudahan dengan adanya Suruhanjaya Integriti ini semangat akan tambah sedikit.

Namun saya hendak tanya sedikit, apa dia cacat cela MACC sekarang yang sampai boleh di biar puluhan rekod ini tanpa tindakan. Apa masalahnya? Apa masalah dengan undangundang yang ada sekarang? Kita hendak tingkatkan undang-undang ini supaya keberkesanannya ada. Saya akui, saya tidak pertikaikan Yang Berhormat Rembau dari segi itu. Akan tetapi jangan jadikan alasan kita terpaksa adakan undang-undang ini kerana masalah yang ada. Tidak betul! Kalau tidak ada political will buatlah undang-undang banyak mana pun. Oleh sebab tidak ada political will lah maka dia jadi undang-undang yang bagi leceh dan remeh yang hilang kekuatan semangat integriti yang sepatutnya.

Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar [Rembau]: Terima kasih Yang Berhormat Permatang Pauh. Saya tidak hendak panjang lebarkan polemik ini. Cuma apa yang dibangkitkan tadi oleh Yang Berhormat Permatang Pauh seolah-olah dengan adanya MACC, undang-undang ini adalah superfluous ataupun tidak perlu diadakan. Akan tetapi Yang Berhormat Permatang Pauh juga mungkin tidak teliti baca Rang Undang-undang Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan. Ini bukan hanya berhubung kait dengan rasuah tetapi berhubung kait dengan tindakan penguatkuasaan semua agensi penguatkuasaan.

Jadi bukan hanya kes rasuah tetapi salah guna kuasa dan sebagainya. Jadi di situ saya minta diperbetulkan sebab saya percaya disebut bahawa undang-undang ini tidak perlu diadakan kerana superfluous kerana bertindih dengan MACC itu tidak tepat. Saya juga sangkal kenyataan Yang Berhormat Permatang Pauh tadi seolah-olah kita menolak IPCMC ataupun ada pihak yang menolak IPCMC kerana merupakan satu ancaman terhadap pihak polis yang dikatakan Melayu. Tidak ada mana-mana pihak daripada Barisan Nasional yang bangkitkan isu soal perkauman dalam isu ini. Yang Berhormat Permatang Pauh lah orang pertama yang bangkitkan soal
perkauman dalam perbahasan SIAP ini. [Tepuk]

Kita tidak, kita tidak, kita cuma bimbang penolakan daripada pihak polis, kita bimbang penolakan daripada pihak PDRM kerana mungkin IPCMC itu tidak dapat diterima dan akan mengganggu gugat moral polis. Di mana kerajaan ada satu pilihan sama ada hendak terus dengan IPCMC dengan ambil risiko di mana penolakan daripada pasukan polis itu akan mengganggu gugat moralnya, melaksanakan tugasnya ataupun mengadakan satu rang undangundang walaupun tidak menyeluruh, tidak sampai 100% cadangan seperti mana IPCMC
sekurang-kurangnya ada safe guard untuk memastikan bahawa abuse of power ataupun penyalahgunaan kuasa oleh pasukan polis dan juga pasukan penguatkuasaan yang lain itu dapat ditangani.

Beberapa Ahli: [Menyampuk]

Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar [Rembau]: Jadi saya harap, sorry siapa tadi? Kalau berani berdirilah. Jadi saya harap Yang Berhormat Permatang Pauh di sini jangan buruk sangka terhadap suruhanjaya ini sebab saya percaya walaupun ini langkah yang kecil seperti mana yang disebut adalah langkah yang penting. Terima kasih.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih, Yang Berhormat Rembau sebut langkah yang kecil jadi saya terimalah. Langkah yang kecil tetapi penting, dah 51 tahun patutnya langkah yang besarlah. Dah bahas soal massive corruption dalam polis, bahas soal inadequacy dalam undang-undang, maka kalau nak buat suruhanjaya, buat yang berkesanlah. Bunyi bukan main hebat, kita nak buat satu agenda perubahan yang betul-betul memulihkan kewibawaan dalam sistem dalam negara, kalau betul, lakukan.

Jadi soal perkauman yang saya sebut tadi, saya tidak mahu balah kalau dengan Yang Berhormat Rembau. Akan tetapi Yang Berhormat tidak boleh sangkal dan saya pun bincang dengan ramai rakan-rakan Yang Berhormat dan mereka juga merayu, mereka kata jangan tekan sangat soal IPCMC, kena jaga jugalah moral polis terutama Melayu yang majoriti, saya dengar tetapi sebab itu saya memilih untuk mengulas ini kerana rakan-rakan kita, anggota polis yang berwibawa tidak harus terperangkap dengan beberapa kerat polis yang rasuah. Kita harus bezakan tujuannya tetapi kalau dah sekarang kalau kerajaan tolak IPCMC dan pilih dengan Suruhanjaya Integriti berilah kekuatan yang lebih. Janganlah bagi satu rang undang-undang yang begitu lemah.

Saya tahu bahawa tujuannya itu ialah untuk melebarkan supaya melibatkan jabatanjabatan yang lain. Saya tidak ada masalah kerana permasalahan hendak memperkemaskan, meningkatkan penguasaan dan sebagainya. Akan tetapi biarlah saya sambung yang saya sebut tadi Tuan Yang di-Pertua, beberapa kekurangan nyata dalam rang undang-undang ini.

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Sungai Siput bangun Yang Berhormat.

Dr. M. Jeyakumar Devaraj [Sungai Siput]: Terima kasih Yang Berhormat Permatang Pauh. Tadi Yang Berhormat Permatang Pauh mengatakan bahawa MACC ini ada berpuluhpuluh aduan, laporan polis yang tidak disiasat. Saya ingin minta kenyataan, penjelasan, adakah ini bergantung pada tidak ada pengasingan kuasa. MACC ini tidak bebas untuk buat siasatannya dan jika ya, keanggotaan suruhanjaya ini juga adalah dipilih, dilantik oleh Agong atas nasihat Perdana Menteri. Adakah ini juga, commission baru ini juga ada kelemahan yang sama iaitu dilantik oleh Perdana Menteri dan tidak begitu bebas, tidak ada pengasingan kuasa. Terima kasih.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Tuan Yang di-Pertua, umumnya masyarakat setakat peringkat awal meletakkan harapan besar kepada MACC tetapi saya telah tengok perjalanan tindakan mereka sekian lama, ternyata ada masalah dan persepsi umum masyarakat ialah bahawa mereka terlalu tunduk kepada kuasa eksekutif dan pengaruh pimpinan politik negara. Ini dengan sendirinya menghakis keyakinan yang selama ini kalau pun yang sedikitnya ada terhadap MACC. Kita beberapa kali bangkitkan umpamanya, kes Perak sebagai yang nyata, belum pernah MACC secekap itu tetapi bila menyentuh mana-mana ADUN Pembangkang atau dari Pakatan Rakyat, terus dengan kenyataan, dengan tindakannya.

Akan tetapi kalau yang menyentuh pihak lain iaitu hampir membisu seribu bahasa. Ini tidak mencerminkan satu negara yang menghormati hukum, cakaplah bagaimanapun dan jeritlah sekuat mana pun, ia tidak akan merombak dasar. Kita harus terima, ada masa kita diangkat, diberi amanah, ada masa kita terlempar ke bawah. Akan tetapi satu hal yang prinsipal ialah jaminan tentang hak asasi dan juga peruntukan yang fundamental dalam Perlembagaan negara, jaminan semua rakyat. Ini sebabnya mengapa kita teruskan perbicaraan ini walaupun tidak menyenangkan setengah pihak.

Ada rakan-rakan yang menganggap bahawa kita hanya memilih untuk hanya membantah dan membangkang, tidak. Kalau Yang Berhormat teliti ucapan saya semasa membahaskan MACC, pendirian saya cukup jelas, saya mewakili pandangan yang meletakkan penghormatan yang tinggi kerana MACC dalam bentuk yang lalu, Badan Pencegah Rasuah pernah menjadi satu badan yang dihormati oleh kawan dan lawan, oleh pihak Barisan Nasional dan juga pembangkang pada ketika itu tatkala dipimpin oleh Dato’ Harun Hashim.

Bukan suatu yang janggal, undang-undang itu terbatas tetapi kepimpinan yang berwibawa ada integriti dan berani, maka dijalankan. Sekarang ini undang-undang itu berubah dengan begitu besar, peruntukan yang cukup kuat, jawatan tertinggi pun bukan main tinggi lagi, gelaran pun lebih hebat tetapi kuasa, jiwa kerdil sekali. Jadi sebab itu beda dia, bukan soal undang-undang. Undang-undang ini membantu kita.

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Padang Serai tergamit untuk mahu tumpang minta penjelasan juga Yang Berhormat. [Ketawa]

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Terima kasih. Kita dengar bahawa terdapat banyak salah guna kuasa dalam perkhidmatan polis khususnya di peringkat tertinggi. Jadi suruhanjaya yang akan dibina ini, mereka juga akan membuat siasatan dan sebagainya, kemudian akan majukan mungkin kepada pihak polis untuk mengambil tindakan tatatertib dan sebagainya. Bolehkah kita percaya bahawa pimpinan polis itu khususnya bila melibatkan Ketua Polis Negara yang terlibat secara menyeluruh dan juga apabila kita melihat bahawa di negeri Perak berlakunya masalah-masalah yang diwujudkan oleh pegawai-pegawai polis sendiri.

Masalah negeri Perak itu, di mana campur tangan polis dan sebagainya dan apabila kita bawa hal ini kepada suruhanjaya ini, mereka siasat kerana mereka akan ada enforcement mereka sendiri dan mereka siasat dan apabila mereka majukan, bolehkah kita percaya bahawa pimpinan polis akan mengambil tindakan kepada polis-polis yang telah menerima arahan daripada mereka sendiri. Mungkin IGP kita yang memberi arahan dan apabila suruhanjaya ini, selepas siasatan mereka mendapati bahawa pegawai-pegawai polis di Perak atau pegawaipegawai polis di Johor telah salah guna kuasa. Maka mereka akan majukan, kalau mereka majukan kepada Bukit Aman untuk ambil tindakan, bolehkah kita percaya bahawa Bukit Aman akan ambil tindakan terhadap pegawai-pegawai polis itu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih Yang Berhormat Padang Serai, saya tidak berhasrat sambung panjang sangat tentang apa yang telah saya sebut tadi tetapi yang membimbangkan kita ialah bila ada pimpinan polis, rekod sebegitu sekali dipertahankan. Ini maknanya pimpinan politik tidak ada political will untuk memperbetulkan keadaan. Seolah-olah bergantung pada orang yang begitu cacat dan lemah untuk pertahankan apa, wallahualam.

Apabila kita sebut umpamanya kes kematian dalam lokap jawapan macam sahabat saya Yang Berhormat Kinabatangan kata, ditakdirkan mati, matilah. Akan tetapi, tidak semudah itu. Apabila kita dalam jagaan polis mati, itu sama ada dia Hindu, atau Muslim atau Sikh atau Cina tanggungjawab kita mengadakan siasatan yang rapi dan terbuka nyawa seseorang. Saya hendak ulang Yang Berhormat Kota Tinggi pun ada dalam maqasib syariah itu jaminan kita bahawa negara hukum itu adalah janji, sumpah kita, jamin keamanan dan maslahat setiap orang sanctity of life and property dan dignity dia. Jangan kita ingat kerana orang itu hina di bawah dan bukan daripada kelompok kita, kita boleh jejak sesuka hati.

[Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar) mempengerusikan Mesyuarat]

Oleh sebab itu siasatan rapi dan terbuka harus diadakan. Bagaimana mungkin ini berlaku kalau ada sentiasa tindakan-tindakan untuk menutup sehingga tidak ada maklumat dan penyiasatan yang telus dan terbuka. Berapa kes yang berlaku? Kemudian menembak mati suspek. Ada orang mengata tetapi ini gengster yang haram. Ya, buat siasatan dan jelaskan betul-betul biar rakyat tahu. Kalau tidak apa yang berlaku ialah kita melakukan jenayah, harapkan pagar, pagar makan padi. Siapa yang akan jaga guards ini kalau jenayah itu dilakukan? Sebab itulah mereka sewenang-wenang, apabila perkara itu berlaku perkara perhimpunan haram sedikit, pakai baju hitam, semua menjadi satu masalah.

Kita berikan satu bidang kausa dan ruang cukup kuat luar biasa kepada polis kerana pimpinan politik yang paling lembap dan tidak mempunyai kewibawaan, sehingga mereka seolah-olah terperangkap takut sekali, tukarlah Menteri Dalam Negeri berapa orang pun, begitulah. Apa tindakan polis di biar begitu. Jawab di Parlimen segala apa yang disiapkan oleh Ketua Setiausaha dan Ketua Polis Negara dibaca begitu sahaja tanpa langsung merasakan bahawa tanggungjawab mereka ialah mempertahankan undang-undang dan negara seperti sumpah yang mereka buat di negara ini. Saya hanya ingin menyambung sedikit kerana ini bukan hanya pandangan bukan sebagai Ketua Pembangkang sahaja….

Ir. Haji Hamim bin Samuri [Ledang]: Minta laluan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Sudah baca laporan SUHAKAM, sudah baca laporan IPCMC, siapa dari IPCMC daripada Pembangkang? Ketua Hakim Negara dahulu, Ketua Polis Negara dahulu? Kalau bukan, tidak bolehkah kita baca secara terbuka dan telus? Terimalah sedikit, tidak apalah sedikit teguran kepada Barisan ataupun kerajaan minta ada pindaan. Tidak bolehkah kita ambil sikap terbuka? Apakah kerana kita ada kuasa merasakan sebagai Menteri Dalam Negeri, Perdana Menteri kita boleh buat apa sahaja tidak boleh orang pertikai termasuk orang yang kita anggap sebagai tidak mendukung 100% pendapat kita, maka pandangan mereka ditolak semuanya? Ini yang berlaku dalam kes IPCMC.

Baca laporan SUHAKAM, siapa ketua SUHAKAM, bekas Peguam Negara yang mengatakan penangkapan begini tidak boleh, tindakan sewenang-wenangnya kasar, dan ganas terhadap penunjuk perasaan secara aman tidak boleh dibenarkan. Ini bukan pendapat daripada barisan pembangkang. Kenapa hendak hukum kami sahaja setiap kali menyuarakan pandanganpandangan seperti ini?

Saya juga setuju kalau bekas Menteri Dalam Negeri mengatakan kita mesti tegas dalam menghadapi jenayah yang kita biarkan gerombolan-gerombolan menimbulkan kerosakan harta benda. Saya setuju. Saya bukan mewakili pandangan, kita bersetuju dengan penjenayah’. Ini soalnya sekarang siapa bersengkongkol dengan penjenayah. Ini yang membimbangkan.

Tengok, bahan bukti dalam simpanan polis, ingat tidak, kes kecurian syabu yang bernilai RM1 juta di bilik kebal Kontinjen Ibu Pejabat Polis Johor Bahru. Boleh bayangkan Malaysia. Akan tetapi kita lebih baik daripada Burma, saya setuju. Jangan ambil, kemudian kes culik, kes rogol. Apabila ada laporan polis dibuat di balai polis Larkin, ditolak. Penjenayah besar dibebaskan dari tahanan, laporan terbaru oleh pegawai penyiasat, Pegawai Kanan Datuk Mat Zain Ibrahim termasuk laporan pengakuan bersumpah kenyataan beliau, terhadap Ketua Polis Negara dan Peguam Negara, tidak ada tindakan.

Maknanya semua yang buat laporan itu semuanya orang yang penjenayah belaka kerana dia menyentuh kedudukan pemimpin-pemimpin negara dan Ketua Polis Negara. Oleh sebab itulah saya minta kerajaan, Menteri Dalam Negeri dan Menteri-menteri yang berkaitan dalam membentangkan dan meminta kita memberikan pandangan terhadap Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 ini mengambil kira pandangan yang kita bangkitkan. Ya Yang Berhormat Ledang masih bersemangat lagi.

Ir. Haji Hamim bin Samuri [Ledang]: Terima kasih Yang Berhormat Permatang Pauh. Saya juga terdorong sebenarnya tidak setuju sekiranya pasukan polis mana-mana sekalipun menggunakan kuasa yang ada untuk melindungi untuk berpihak kepada mana-mana sekalipun yang melanggar undang-undang. Saya juga tidak setuju kalau ada mereka yang patut kita simpati, kita hukum atau kita seksa.

Akan tetapi soalan saya Yang Berhormat Permatang Pauh ialah semasa Yang Berhormat Permatang Pauh menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri dahulu, adakah situasi sama berlaku dan apakah tindakan Yang Berhormat Permatang Pauh pada masa itu, sekian terima kasih.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih. Saya tidak menafikan memang ada beberapa keterlanjuran. Cuma tidak seteruk sekarang, itu pertama. Keduanya, sudah habis ketawa? Ada beberapa langkah yang dicadangkan ada juga tindakan diambil dan sudah tengok rekod Ketua-ketua Polis Negara yang mengambil langkah-langkah sedemikian, tindakan-tindakan yang diambil tidak semuanya sama, tetapi teguran-teguran diberikan dan saya akui ada kelemahan-kelemahan.

Oleh sebab itu dari semasa ke semasa harus kita betulkan dan pengalaman itu mengajar kita. Saya tidak nafikan, saya bukan hendak pertahankan semasa saya Timbalan Perdana Menteri semua keadaan jenayah tidak ada, ampun Tuanku semuanya baik belaka, tidak betul. Akan tetapi sekarang ini jangan teruskan keadaan sehinggakan apabila kita kemukakan buktibukti yang nyata yang saya tahulah kalau dahulu, mungkin ada satu dua bekas Menteri saya tidak tahu. Kalau ada kes yang dibangkitkan oleh pembangkang, kalau ada rekodnya dengan buktinya perkara itu mesti sampai untuk makluman Jemaah Menteri. Dia tidak boleh, kalau ucapan politik biasa itu kita biarkan. Kalau kenyataan keras berdasarkan dokumen atau bukti, Perdana Menteri ketika itu Tun Dr. Mahathir masih menuntut supaya perkara itu diperhatikan dan dijawab. Ada juga beza dia. Walaupun saya tidak setuju semuanya dengan Tun Dr. Mahathir, tetapi saya harus akui dalam hal ini.

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Laluan.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat Machang di belakang Yang Berhormat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Saya nampak Yang Berhormat Pasir Mas senyum apabila saya puji bekas Perdana Menteri.

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Permatang Pauh. Apakah Yang Berhormat Permatang Pauh bersetuju apabila bertanyakan apa beza dahulu waktu Yang Berhormat Permatang Pauh dalam kerajaan dan sekarang. Ada perbezaan. Kalau saya katakan bahawa dahulu bekas Timbalan Perdana Menteri tidak kena pukul dengan Ketua Polis Negara, kemudian apabila sudah kena pukul teruk, pemimpin-pemimpin negara sebut Yang Berhormat Permatang Pauh cederakan diri sendiri sebab hendak tutup perkara itu. Yang Berhormat Permatang Pauh juga apakah bersetuju bahawa ada laporan SAC 1 Datuk Mat Zain Ibrahim dia dilantik oleh polis untuk siasat kes Yang Berhormat Permatang Pauh kena pukul oleh Ketua Polis. Yang Berhormat Permatang Pauh ditangkap oleh pasukan polis, dibawa dalam kenderaan polis, dijaga oleh polis, disumbat dalam lokap polis, dikawal oleh polis, dipukul oleh polis, disiasat oleh polis. Apa jawapannya? Hasilnya ialah tidak tahu siapa pukul. Itu rekod.

Sebab itu bila kita berbahas tentang Rang Undang-undang Suruhanjaya Integriti. Betul banyak agensi penguatkuasaan. Akan tetapi tumpuan kita kepada polis sebab latar belakang itu menyebabkan timbul rasa pesimis. Kita tidak membuat sweeping statement bahawa semua polis itu bobrok, teruk. Tidak. Rumah saya dimasuki pencuri, saya buat laporan polis Machang. Dua minggu selesai. Dapat tangkap. Alhamdulillah. Tahniah. Kemudian jiran saya dimasuki pencuri juga rumahnya. Kes selesai dalam masa tiga minggu selesai. Alhamdulillah. Ini yang pegawaipegawai bawah ini bagus, dedikasi. Yang kita bicarakan sekarang ialah perangai dua tiga kerat pemimpin atasan yang bersekongkol dengan segala macam bentuk jenayah dan diberikan pula fakta-fakta.

Apakah penubuhan Rang Undang-undang Suruhanjaya Integriti ini menjadi jawapan kepada penyelesaian itu? Saya secara peribadi sebagai Ahli Dewan Rakyat, saya katakan saya pesimis. Laporan Md Zin Ibrahim itu sendiri dan laporan siasatan Suruhanjaya Diraja menyebut dengan jelas perbuatan jenayah telah berlaku pada malam 20 September dan disaksikan oleh pegawai-pegawai tinggi Datuk Mior Che Hussien, Datuk Ghazali Amin, Datuk Yaakob Md Amin, Datuk Ramli Yusof tahu perbuatan itu berlaku dalam lokap. Jenayah berlaku, mereka diam terhadap jenayah. Mereka menyembunyikan jenayah.

Apa jadi pada mereka? Naik pangkat. Naik pangkat. Apakah orang-orang macam ini bila duduk dalam institusi ini, institusi ini boleh ada integriti dan rakyat hendak kita minta dan yakinlah. Saya pernah bangkitkan ini dan bos lama saya Yang Berhormat Kota Tinggi sebut, tidak apa lah Yang Berhormat Machang. Move on lah. Lupa lah. Let’s forgive and forget. Betul.

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Yang Berhormat Kota Tinggi.

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Forgivable mungkin but unforgettable. Sebab itu lah Yang Berhormat Permatang Pauh, saya tahu, saya tidak mendorong Yang Berhormat Permatang Pauh untuk mengungkit perkara yang Yang Berhormat Permatang Pauh sendiri terbabit. Akan tetapi kalau diri kita sendiri terkena, kita rasa lain. Diaibkan, dipukul, ditendang, disepak, diterajang, ditempeleng. Sebut sajalah istilahnya. Yang Berhormat Rembau
tidak kena. [Ketawa] Ya. Yang Berhormat Permatang Pauh tidak kena. Sebab itu Yang Berhormat Rembau kata yakinlah, cukuplah kita bergerak [Tepuk] betul lah. Sebab itu.
Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Yang Berhormat Rembau tidak jadi Menteri pun.

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Sebab itu.

Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar [Rembau]: Untuk makluman Yang Berhormat Machang, saya pernah kena dipukul oleh FRU. Saya pernah kena. [Ketawa] For the record, Piala Malaysia tahun 1989.

Timbalan Yang di-Pertua, Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar: Yang Berhormat Rembau.

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Saya simpati.

Timbalan Yang di-Pertua, Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar: Yang mencelah tidak boleh dicelah. [Ketawa]

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Saya simpati dengan Yang Berhormat Rembau. Ya maksudnya…

Timbalan Yang di-Pertua, Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar: Lagi panjang Yang Berhormat?

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Sedikit sahaja. Bezanya adalah, Yang Berhormat Rembau berada di sana bersama kita. Kalau di sini Yang Berhormat Rembau menyertai kami misalnya dalam perhimpunan aman [Tepuk] Yang Berhormat Rembau pasti akan disambut dengan gas pemedih mata. Akan tetapi kalau Yang Berhormat berada di sana menghantar nota bantahan kepada Condoleezza Rice, Yang Berhormat Rembau akan dikawal dan diberi laluan mudah. [Tepuk]

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Ya.

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Itu bezanya. Itu beza bukan di sini…[Tepuk]

Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar [Rembau]: Saya rasa perbetulkan fakta sedikit, tidak dikawal, tidak diberi laluan mudah.
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Sebut, nanti minta dengan Yang Berhormat Permatang Pauh.

Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar [Rembau]: Dihalang oleh FRU, ditentang oleh FRU…

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Tuan Yang di-Pertua.

Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar [Rembau]: Ini Yang Berhormat Machang ini tidak betul.

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Saya ingat laluan yang betul dengan Yang Berhormat Permatang Pauh.

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Yang Berhormat Rembau jangan gusar lah.

Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar [Rembau]: Apa Yang Berhormat Padang Serai? [Ketawa]

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Faktanya ialah bila kita buat perhimpunan politik.

Timbalan Yang di-Pertua, Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar: Yang Berhormat.

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Tuan Yang di-Pertua, saya minta penjelasan Yang Berhormat Permatang Pauh, itu cara dia itu, corner balik ke situ. [Ketawa] Minta penjelasan Yang Berhormat Permatang Pauh. Nanti Yang Berhormat Rembau minta laluan. Isunya ialah ada amalan double standard. Kalau kita mengadakan perhimpunan di kampung, di Kuala Ketil, di Jitra, di Kebun 500 kawasan Pokok Sena. Gas, pemedih mata ditembak bertalutalu. Diambang Pilihan raya Bukit Selambau, diserang bertalu-talu. Sebut satu insiden Rembau pernah kena gas pemedih mata. Sebut. Ada kena?

Seorang ahli: Tidak ada lah.

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Ada kena? Tidak ada [Ketawa] Sebab itu bila Yang Berhormat Rembau.

Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar [Rembau]: Sebab saya bukan jahat macam you [Ketawa]

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Bila Yang Berhormat Rembau buat perhimpunan, Yang Berhormat Rembau akan mendapat liputan muka depan. Anak muda yang hebat Utusan Malaysia tunjukkan begitu. Akan tetapi kalau kami, ini pengkhianat, pengacau ketenteraman awam. Itu label untuk kami. Nampak double standard dia. Sebab itu alhamdulillahsaya bersyukur Yang Berhormat Kota Tinggi baru bersama saya sudah lepas daripada azab tanggungjawab menjaga polis ini. [Ketawa] Ya. Ini satu kenikmatan sebenarnya. [Tepuk] Satu kenikmatan yang saya. Terima kasih.

Tan Sri Dato’ Seri Syed Hamid Albar: Bawa saya ke dalam… [Ketawa] Saya boleh bercakap panjang…

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Yang Berhormat Kota Tinggi sudah insaf. [Ketawa]

Seorang ahli: Senyap lah sedikit.

Timbalan Yang di-Pertua, Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar: Yang Berhormat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih. Yang Berhormat Machang.

Timbalan Yang di-Pertua, Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar: Lagi panjang Yang Berhormat?

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Tidak. Dekat hendak habis.

Timbalan Yang di-Pertua, Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar: Dekat hendak habis?

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Saya pun tidak hendak bermaksud untuk memanjangkan kes.

Timbalan Yang di-Pertua, Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar: Dia sudah menjadi pasar Yang Berhormat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Ia. Tidak. Bukan aib kah, pukul itu sudah berlalu. Saya pun sudah memaafkan. Sudah. Saya pun hendak sambung dengan tugastugas sekarang, mudah-mudahan kekejaman, kezaliman… [Tepuk]

Cuma itu seperti mana Yang Berhormat Machang saya tidak lupakan kerana ia harus jadi pengajaran. Mudah-mudahan ia tidak berlaku kepada orang lain. Sebab itu sebaik berlaku kes pembunuhan Kugan atau orang lain, baik untuk Melayu, untuk Cina, untuk India, untuk Dayak dipukul untuk dianiayai saya terasa lebih daripada yang lain. Bukan kerana saya dendam apa yang berlaku terhadap saya akan tetapi saya tidak mahu lah apa yang saya alami itu berlaku kepada orang-orang lain apatah lagi kedudukan yang lebih rendah dan tidak berupaya mendapatkan bantuan guaman ataupun liputan media dan sebagainya.

Ini sebabnya mengapa kita memilih untuk membahaskan isu integriti ini secara yang serius dan mengharapkan ada perubahan benar-benar tidak ada political will di kalangan pimpinan kerajaan yang menjamin dan menjanjikan sesuatu. Kita tersentuh tadi umpamanya laporan polis tetapi banyak hal-hal lain yang berkaitan saudara lihat Tuan Yang di-Pertua tahu tentang laporan suruhanjaya video V.K. Lingam, saya bangkitkan kerana tidak ada nampak kesungguhan sama sekali untuk melihat dan mengambil tindakan semata-mata kerana yang terlibat itu hanya orang-orang besar.

Bagaimana tentang Jabatan Imigresen? Sekarang ini ada satu kontroversi di antara Malaysia dan Indonesia kerana kedudukan PATI dan juga TEKAI yang disebut pekerja Indonesia. Kita tidak mengesahkan atau bersetuju dengan langkah kemasukan pekerja-pekerja asing secara haram akan tetapi kita juga tahu sindiket agen-agen yang sah ini juga banyak terdiri daripada yang menindas, yang mengambil upah yang besar.

Cuba kita ambil senarai siapa yang dapat yang menjadi agen-agen yang sah ini? Orang yang hendak mengambil ribuan ringgit daripada
seorang pekerja yang amat miskin untuk mendapat RM800 sebulan. Terpaksa bayar RM7,000, RM8,000 kepada agen. Sistem ini disebut perhambaan moden. Ia sah dari segi undang-undang. Jadi isunya bukan dari soal undang-undang, isunya kezaliman. Maknanya kita berjuang ini dan merdeka untuk menolak sistem perhambaan. ‘Eksploatacija harlon parlom’ dengan izin. Penindasan manusia ke atas manusia.

Akan tetapi yang berlaku sekarang ialah kita mengadakan satu peraturan dan melantik agen-agen di kalangan penyokong-penyokong kita. Menghalalkan penindasan ini atas nama agen pekerja. Kemudian setelah datang, beberapa tindakan berlaku dan hari ini bukan baru Tuan Yang di-Pertua, kerana sudah ada banyak siasatan banyak kajian dan cadangan-cadangan tindakan akan tetapi tidak upaya dilakukan seolah-olah kerana tidak ada political will kerana yang melibatkan agen pekerja asing itu terlalu ramai orang-orang yang berkepentingan.

Sekarang ini kalau perlu kita kirim pulang pekerja asing tanpa izin, pulang lah. Kirim lah pulang dengan baik. Bukan cara dengan mendera, bukan cara dengan merotan mereka. Satu tindakan yang sangat zalim. Kita memperkenalkan undang-undang merotan orang yang tidak mempunyai permit datang bekerja.

Hukuman ini cuba kita bayangkan orang Malaysia pergi ke Perancis atau orang Algeria pergi ke United Kingdom ditangkap dan dirotan oleh pemerintah Perancis dan pemerintah United Kingdom. Akan timbul demonstrasi besar-besaran umat Islam seluruh dunia kerana kezaliman negara Eropah. Bayangkan kita di sini merotan rakan-rakan kita dari negara jiran… [Tepuk] Jadi sebab itu hal-hal ini undang-undangnya betul tetapi tidak ada integriti dan tidak ada kewibawaan. Kita boleh tegas, kirim pula dengan cara hormat dan baik tetapi pekerja yang kita tidak perlukan.

Namun kita tidak boleh aniaya dan menzalimi pekerja-pekerja ini walaupun mereka terdiri di kalangan yang paling miskin dan terpinggir. Kita lihat orang-orang yang datang ke negara kita baik dari Myanmar, Bangladesh atau Indonesia itu di kalangan masyarakat kelas bawahan yang paling miskin di kalangan rakyat di sana. Untuk kita mengapa-apakan dan sia-siakan mereka itu tindakan yang cukup tidak berperikemanusiaan apatah lagi apabila kita merampas sedikit sebanyak saki-baki kekayaan yang ada pada mereka.

Semasa saya berada di penjara Sungai Buloh melihat ratusan pekerja-pekerja asing. Indonesia, India, Burma dan Bangladesh masuk. Bila mereka masuk sampai di penjara semuanya sehelai sepinggang. Baju buruk dan seluar buruk. Bila ditanya mana pergi, mustahil dia datang tanpa RM10 dalam poketnya. Semuanya diambil oleh pegawai-pegawai penguatkuasaan kita. Apakah mampu kita menghukum orang? Kita tidak tahu. Namun apakah tidak wajar kerajaan dan jabatan menyiasat puluhan ribu yang ditangkap. Bila ditangkap masuk penjara semuanya sehelai sepinggang. Tidak ada satu sen dan harta atau pakaian juga wang ringgit di kalangan mereka.

Bolehkah Malaysia yang dibanggakan sebagai negara maju, negara bertamadun yang menghormati hukum membiarkan perkara ini berlaku? Sebab itu saya pohon badan-badan penguatkuasaan dalam konteks ini imigresen juga membantu kita membaiki nama dan imej imigresen yang umumnya baik. Saya secara peribadinya tidak pernah menghadapi masalah. Saya tidak pernah dengar masalah oleh rakan-rakan saya baik di Kuala Lumpur atau di Seberang Jaya di Jabatan Imigresen. Namun kenyataannya ialah bahawa salah laku dan rasuah ini masih berlaku dan ini harus diperbetulkan.

Kita juga harus lihat kerana dalam suruhanjaya ini melibatkan juga Jabatan Pengangkutan Jalan. Ada yang mengatakan bahawa penguat kuasa dari JPJ ini lebih ditakuti daripada polis trafik. Ini persepsi kerana dilibatkan sogokan baik melibatkan bas sekolah. Bas
sekolah angkut anak-anak kita. Oleh sebab kos bertambah akibat terpaksa membayar beberapa orang pegawai tertentu maka kos bertambah dan anak yang menggunakan bas, lori dan van sekolah itu terpaksa dibebankan dengan bayaran yang bertambah.

Jabatan Kastam dan Eksais Diraja pun begitu juga. Walaupun pada umumnya kita akui prestasi mereka tetapi tangkapan dan rampasan itu dikaitkan. Saya ada sedikit pengalaman bekerja dengan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja yang umumnya cukup membanggakan.

Namun memang ada kes-kes tertentu. Ada di perairan dua kapal mencuri balak dari Indonesia. Dibawa dengan kapal besar. Bila ditanya pegawai, dia tidak nampak. Kalau dua jarum dibawa lari saya faham dia tidak nampak. Dua kapal tidak kelihatan. Maka terpaksa diambil tindakan terhadap pegawai yang berkenaan. Ia tidak semestinya menjejaskan jabatan, tetapi ia menunjukkan bahawa kita harus teliti untuk memastikan hal ini tidak berlaku.

Ini juga melibatkan AP kenderaan kerana kemasukan kenderaan yang tidak mempunyai AP yang masuk yang dapat diselamatkan melalui proses tertentu dan juga tindakan Jabatan Pendaftaran.

Jadi secara umumnya memang kita akui Suruhanjaya Integriti itu memberikan skop yang cukup luas sebagai agensi penguatkuasaan walaupun memperluaskan dari segi tanggungjawab daripada IPCMC. Namun kelemahannya seperti yang saya sebutkan tadi ialah kerana tidak mempunyai kekuatan, tidak ada keupayaan pendakwaan, tidak boleh menyiasat dalam seksyen 22 dan seksyen 26 seperti yang saya sebutkan tadi dan juga kelemahan yang besar iaitu tidak ada keupayaan untuk mengambil tindakan yang berkesan mengikut seksyen 4(1)(a). Tuan Yang di-Pertua saya ucapkan sekali lagi terima kasih.

Pendapat Anda

Switch to our mobile site