Memperkasa Sistem Pendidikan Negara

21 June 2009

Pendapat

Pendapat Anda?

Ucaptama yang saya sampaikan bersempena Wacana Pendidikan Rakyat pagi tadi antara lain menyentuh kelemahan ketara sistem pendidikan yang mengakibatkan ramai pelajar tercicir dari arus pembangunan. Pendidikan yang seharusnya menjadi wahana penting buat rakyat keluar dari bahaya kemiskinan, rupa-rupanya masih gagal walau sudah puluhan tahun merdeka.

Tatkala saya memimpin gerakan mahasiswa dahulu, antara teks yang menjadi rujukan adalah karya Paulo Freire, “Pedagogy of The Oppressed,” satu analisis tajam pemikir asal Brazil ini bersangkutan dasar pemerintah yang berterusan memastikan rakyat terkongkong melalui pendidikan. Dasar digarap sedemikian rupa agar mereka yang berkuasa tetap rakus bertakhta tanpa pertanggungjawaban kepada rakyat.

Tiadanya kebebasan akademik tambah memburukkan keadaan. Pelajar dan pengajar dimomok-momokkan dengan segala macam hukuman sehingga membantutkan proses pembelajaran yang memerlukan pemikiran kritis sebagai pemangkin. Budaya ampu disangga dan melarat ke seluruh pembentukan peribadi setiap dari kita. Ketakutan pula diterima sebagai satu norma biasa masyarakat.

Agenda Pendidikan Nasional yang baru mestilah mengikis barah yang disebut tadi. Dunia akademik, baik pengajar dan pelajar, mestilah berani mendepani persoalan dan menjadi jurubicara rakyat. Usaha mestilah dijana bagi memecahkan kebuntuan kebobrokan sistem kehakiman, rasuah yang bermaharajalela dan kemunduran pendidikan. Kita tidak boleh sama sekali mengkhianati amanah ini. Terkesan sekali karya The Opium of the Intellectuals karya Raymond Aron ketika ini.

Tahun 1955 apabila buku ini diluncurkan, penulisnya mahu memecahkan tiga mitos yang menyebabkan trahison des clercs (pengkhianatan kaum intelektual). Saya kini meminjam wacana tersebut, berhasrat merobohkan tiga pembohongan yang dilemparkan kepada Keadilan; kononnya mengabaikan kemaslahatan umat Melayu, Islam dan derhaka kepada Raja. Nah sekarang sebenarnya siapa yang mengabaikan umat Melayu dan Islam?

Kekayaan beredar di kalangan mereka menyebabkan kebanyakan orang Melayu kekal dalam kemiskinan manakala Bahasa Melayu terus diinjak-injak. Kerakusan untuk terus berkuasa membuatkan mereka memperkudakan institusi kehakiman dan keadilan walaupun ini jelas bertentangan dengan prinsip-prinsip keadilan syariat. Hakim-hakim yang tegas serta berani diketepikan, membuka ruang kepada mereka yang sedia menjadi pak turut.

Sampai sekarang rakyat tidak pasti apakah tindakan susulan yang bertanggungjawab terhadap kes VK Lingam. Manakala rakyat pastinya tidak melupakan penghinaan yang dilemparkan umno bn terhadap Raja-Raja Melayu pada tahun 1993 itu. Mitos dan fitnah jahat penguasa ternyata tidak lagi ampuh membohongi rakyat.

ANWAR IBRAHIM

Pendapat Anda

Switch to our mobile site