Archive for June 21st, 2009

21 June 2009

Pendapat

Pendapat Anda?

Dari Harakah

Oleh M Faqih

KUALA KRAI, 21 Jun - Kehangatan pilihan raya kecil Dun Manek Urai kini semakin terasa apabila kempen kedua-dua parti semakin agresif.

PAS sudah memulakan gerak kerja kempen sejak akhir Mei lalu di Kampung Manek Urai Baru yang disempurnakan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Begitu juga Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Dato’ Mustafa Mohamed sudah beberapa kali datang ke Manek Urai.

Kelmarin Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan dengan penduduk di Sekolah Kebangsaan Sungai Sok.

Dun Manek Urai akan tambah sendat malam ini dengan kehadiran tokoh-tokoh pemimpin Pakatan Rakyat pada program ceramah perdana di Padang Majlis Daerah Laloh.

Kehadiran Menteri Besar bersama Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim tentunya menarik perhatian penduduk tempatan.

Anwar juga dijangka menziarahi keluarga Adun Manek Urai, Allahyarham Ismail Yaacob di Kampung Manek Urai Lama sebelum menyampaikan tazkirah di sebuah masjid.

Anwar dikatakan akan mengadakan pertemuan dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebaik sahaja tiba di Kota Bharu petang ini.

Beberapa penduduk di Laloh ketika ditemui petang semalam menjangka kampung tersebut akan sendat dengan limpahan manusia malam ini.

Beberapa peniaga termasuk dari Pulau Pinang sudah tiba sejak semalam.

Manakala petugas bahagian keselamatan PAS sudah memulakan gerak kerja sejak beberapa hari lalu bagi memastikan program tersebut berjalan lancar.

Pasukan polis juga sudah memasang khemah besar di simpang tiga Laloh yang difahamkan akan dijadikan markaz taktikal.

21 June 2009

Pendapat

Pendapat Anda?

Ucaptama yang saya sampaikan bersempena Wacana Pendidikan Rakyat pagi tadi antara lain menyentuh kelemahan ketara sistem pendidikan yang mengakibatkan ramai pelajar tercicir dari arus pembangunan. Pendidikan yang seharusnya menjadi wahana penting buat rakyat keluar dari bahaya kemiskinan, rupa-rupanya masih gagal walau sudah puluhan tahun merdeka.

Tatkala saya memimpin gerakan mahasiswa dahulu, antara teks yang menjadi rujukan adalah karya Paulo Freire, “Pedagogy of The Oppressed,” satu analisis tajam pemikir asal Brazil ini bersangkutan dasar pemerintah yang berterusan memastikan rakyat terkongkong melalui pendidikan. Dasar digarap sedemikian rupa agar mereka yang berkuasa tetap rakus bertakhta tanpa pertanggungjawaban kepada rakyat.

Tiadanya kebebasan akademik tambah memburukkan keadaan. Pelajar dan pengajar dimomok-momokkan dengan segala macam hukuman sehingga membantutkan proses pembelajaran yang memerlukan pemikiran kritis sebagai pemangkin. Budaya ampu disangga dan melarat ke seluruh pembentukan peribadi setiap dari kita. Ketakutan pula diterima sebagai satu norma biasa masyarakat.

Agenda Pendidikan Nasional yang baru mestilah mengikis barah yang disebut tadi. Dunia akademik, baik pengajar dan pelajar, mestilah berani mendepani persoalan dan menjadi jurubicara rakyat. Usaha mestilah dijana bagi memecahkan kebuntuan kebobrokan sistem kehakiman, rasuah yang bermaharajalela dan kemunduran pendidikan. Kita tidak boleh sama sekali mengkhianati amanah ini. Terkesan sekali karya The Opium of the Intellectuals karya Raymond Aron ketika ini.

Tahun 1955 apabila buku ini diluncurkan, penulisnya mahu memecahkan tiga mitos yang menyebabkan trahison des clercs (pengkhianatan kaum intelektual). Saya kini meminjam wacana tersebut, berhasrat merobohkan tiga pembohongan yang dilemparkan kepada Keadilan; kononnya mengabaikan kemaslahatan umat Melayu, Islam dan derhaka kepada Raja. Nah sekarang sebenarnya siapa yang mengabaikan umat Melayu dan Islam?

Kekayaan beredar di kalangan mereka menyebabkan kebanyakan orang Melayu kekal dalam kemiskinan manakala Bahasa Melayu terus diinjak-injak. Kerakusan untuk terus berkuasa membuatkan mereka memperkudakan institusi kehakiman dan keadilan walaupun ini jelas bertentangan dengan prinsip-prinsip keadilan syariat. Hakim-hakim yang tegas serta berani diketepikan, membuka ruang kepada mereka yang sedia menjadi pak turut.

Sampai sekarang rakyat tidak pasti apakah tindakan susulan yang bertanggungjawab terhadap kes VK Lingam. Manakala rakyat pastinya tidak melupakan penghinaan yang dilemparkan umno bn terhadap Raja-Raja Melayu pada tahun 1993 itu. Mitos dan fitnah jahat penguasa ternyata tidak lagi ampuh membohongi rakyat.

ANWAR IBRAHIM

21 June 2009

Pendapat

Pendapat Anda?

Bahagian 1

Bahagian 2:

Bahagian 3:

Bahagian 4:

Bahagian 5:

Bahagian 6: