Archive for June 1st, 2009

1 June 2009

Pendapat

Pendapat Anda?

Dari Malaysia Kini

oleh Muda Mohd Nor

Kira-kira 500 ahli Umno dalam bahagian Arau akan meninggalkan parti jika bekas ketua penerangan Umno negeri, Datuk Hashim Suboh berbuat demikian.

Hashim, yang kecewa dengan pucuk pimpinan Umno negeri, bagaimanapun belum membuat keputusan mengenai perkara tersebut.

Bekas ketua penerangan Pemuda Umno bahagian Arau, Ismail Hashim berkata, mereka adalah ahli Pemuda dan bekas ahli pergerakan itu dalam DUN Tambun Tulang yang diwakili oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim.

“Jumlah 500 itu adalah dari 15 cawangan Umno Tambun Tulang yang merupakan pengikut saya. Jika saya berhijrah, mereka akan ikut saya.

“Saya tunggu keputusan Datuk Hashim, dia lompat saya ikut dia.

“Walaupun Datuk Hashim belum buat keputusan, tetapi 70 peratus sudah ke arah sebelah sana (pembangkang),” katanya kepada Malaysiakini semalam.

Ismail berkata, 500 ahli Umno itu merupakan penyokong kuat Shahidan yang kecewa beliau tidak dilantik semula sebagai menteri besar dan ketua perhubungan Umno Perlis.

Datuk Ismail Kassim, adik Shahidan, merupakan ahli Parlimen Arau.

Menurutnya, dalam masa terdekat ini, ada kumpulan ahli dan penyokong Umno dalam DUN Pauh akan menubuhkan cawangan PKR.

“Saya tidak terbabit dengan penubuhan cawangan PKR itu kerana ia keputusan mereka sendiri,” katanya sambil menambah DUN Pauh diwakili oleh Datuk Seri Diraja Syed Razlan Putra Jamalullail.

Ismail berkata, mereka kecewa kerana tindakan menggantikan jawatan Shahidan sebagai pengerusi perhubungan Umno negeri dengan Datuk Md Isa Sabu.

Katanya, ada ahli Umno di Arau yang menganggapnya sebagai satu penghinaan walaupun Shahidan telah dilantik menjadi ahli majlis tertinggi (MT).

“Dalam kemelut politik Perlis sekarang, apa yang boleh saya buat. Saya nak tubuh parti baru tidak mampu.

“Takkan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim hendak bunuh orang Melayu kerana dia orang Melayu juga,” katanya.

1 June 2009

Pendapat

Pendapat Anda?

Dari Bernama

Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti yang baru dipilih, Mansor Othman akan mengangkat sumpah jawatan Timbalan Ketua Menteri I pada Rabu ini, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng hari ini.

Lim memberitahu pemberita di pusat penjumlahan undi di Institut Kemahiran Belia Negara di sini bahawa Mansor akan dapat menghadiri mesyuarat majlis mesyuarat kerajaan negeri akan datang.

Beliau turut mengalu-alukan penyertaan Mansor dalam kerajaan negeri untuk berkhidmat kepada rakyat.

Mansor, timbalan pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, memperoleh 6,052 undi untuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Penanti dalam pilihan raya kecil hari ini.

Beliau memperoleh majoriti 5,558 undi, menewaskan tiga calon Bebas, Aminah Abdullah, 56, Nai Khan Ari a/l Nai Keow, 41, dan Kamarul Ramizu Idris, 42.