Archive for May 31st, 2009

31 May 2009

Pendapat

Pendapat Anda?

Syabas diucapkan kepada jentera pilihanraya Pakatan Rakyat yang berusaha keras memastikan kemenangan YB Mansor Othman. Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan buat pengundi Penanti.

Alhamdulillah, dalam jangka masa 14 bulan ini, sudah tiga kali pengundi Penanti menghadapi pilihanraya, dan masih tetap tidak berganjak untuk meyokong agenda perubahan Pakatan Rakyat. Keputusan Pilihanraya Kecil ini membuktikan KeADILan masih mendapat sokongan majoriti penduduk Penanti.

Hari ini penduduk Penanti telah membuat keputusan bijak dengan memilih YB Mansor sebagai wakil mereka dan kelak bakal dilantik Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang. Semoga dengan pelantikan ini beliau akan menunaikan amanah yang diberikan serta berkhidmat bersungguh-sungguh demi rakyat.

ANWAR IBRAHIM

31 May 2009

Pendapat

Pendapat Anda?

Hanya tinggal sekitar setengah jam saja lagi sebelum keputusan rasmi diumumkan. Sepanjang kempen pilihanraya kecil ini, calon Pakatan Rakyat Dr. Mansor Othman menunjukkan iltizam yang tinggi dalam memastikan kejayaan hari ini merupakan kemenangan buat rakyat.

Ketiadaan UMNO dalam pilihanraya kecil kali ini membuatkan kempen senantiasa berada dalam keadaan aman dan tenteram. Hanya kehadiran pihak polis dalam jumlah yang sebegitu ramai menimbulkan rasa tidak selesa penduduk tempatan.

Alangkah baik sekiranya jumlah polis yang sebegitu besar ditumpukan dalam usaha membanteras jenayah, dan bukan sekadar sibuk menyiasat pimpinan Pakatan Rakyat dan menakutkan mereka agar berhenti dari terus mempersoalkan wibawa Perdana Menteri.

Saya turut dimaklumkan bahawa beberapa laporan polis telah dibuat sebagai protes kehilangan nama para pengundi dari senarai pemilih DUN Penanti.

Sekali lagi kewibawaan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dipersoalkan. Ketidakcekapan dan imej tidak bebas dari kongkongan pemerintah sering kali dikaitkan dengan badan ini.

Seandainya perkara ini berterusan, maka adalah cukup mustahil dalam masa terdekat ini SPR mampu mengembalikan keyakinan rakyat.

ANWAR IBRAHIM

31 May 2009

Pendapat

Pendapat Anda?

—KENYATAAN MEDIA UNTUK EDARAN SEGERA—
31hb Mei 2009

Kami membantah dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak polis menyalahgunakan kuasa dengan menuntut YB Lim Kit Siang, YB Gobalakrishnan dan tokoh-tokoh Pakatan Rakyat lainnya memberikan keterangan atas alasan yang kurang munasabah.

Langkah polis sedemikian dan penangkapan peguam, dan lain-lain sepanjang bulan lalu pastinya memperkukuh tanggapan umum bahawa pasukan polis telah diperalatkan oleh pimpinan UMNO-BN dalam usaha mereka untuk terus berpaut pada kekuasaan dan mengekang kebangkitan rakyat.

Negara masih dibelenggu krisis ekonomi dan kadar jenayah yang parah. Tenaga pasukan polis sewajarnya dikerahkan sepenuhnya buat menangani masalah jenayah tersebut.

Perdana Menteri Dato’ Sri Najib dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin seharusnya menghentikan tindakan rakus dan keras terhadap pimpinan politik Pakatan Rakyat dan pengkritik kerajaan lainnya dengan segera.

ANWAR IBRAHIM