Saya tiba di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta sekitar jam 10 pagi semalam, disambut olih sahabat lama yang kini merupakan Wakil Ketua MPR, saudara AM Fatwa. Beliau turut disertai bersama beberapa orang teman, antaranya pemimpin redaksi Sidang Karya; saudara Ricky Rachmadi.
Alhamdulillah, iringan pasukan keselamatan berjaya memudahkan perjalanan kami ke Hotel Sahid meski jalan sekitar Jakarta macet.
Saya seterusnya memenuhi undangan khas Wakil Ketua MPR yang sudi menjadi tuan rumah majlis makan tengahari di ruang Candi Kalasan.
Turut sama di majlis tersebut adalah teman-teman rapat seumpama saudara Mar’ie Muhammad, mantan Menteri Kewangan yang kini mengetuai Palang Merah Indonesia; Muslimin Nasution, mantan Presiden Ikatan Cendekiawan Muslimin Indonesia; Ketua Majelis Ulama Indonesia, Kiai Pak Amidhan; saudara Irman Gusman, Wakil Ketua Speaker Dewan Perwakilan Daerah serta Ustaz Abdul Mannan dan Ustaz Hasan Ibrahim dari Hidayatullah.
Usai majlis makan tengahari saya diberi kesempatan untuk menyampaikan ucaptama Seminar Benturan Antara Peradaban kepada wakil Hidayatullah seluruh Indonesia. Wacana Benturan Antara Peradaban tersebut diapungkan oleh Samuel P. Huntington, mulanya di dalam Majalah Foreign Affairs edisi musim panas tahun 1993. Tiga tahun kemudiannya artikel tersebut dikembangkan menjadi sebuah buku dengan judul Clash of Civilisations.
Penerbitan buku tersebut mengundang pelbagai kritikan terhadap analisis Huntington berhubung Benturan Antara Peradaban; kononnya sebuah fenomena baru yang menjadi punca konflik sejagat selepas berakhirnya era perang dingin.
Antara yang keras mengkritik beliau adalah Edward Said manakala Amartya Sen dan Kwame Anthony Appiah mengemukakan wacana tanding menerusi karya mereka; Identity and Violence dan Cosmopolitanism.
Berhadapan dengan tantangan serta prasangka dari pelbagai sudut, justeru umat Islam sewajarnya tuntas menyampaikan pesan dan bertindak menentang kezaliman. Janganlah di saat kita mengecam gambaran negatif yang diberikan serta penindasan seumpama Guantanamo dan Abu Ghraib, di ketika lain kita membisu melihat kezaliman tahanan tanpa bicara di negara-negara umat Islam.
Dialog yang berteraskan prinsip lil ta ‘arafu jangan berhenti. Kita harus memiliki keyakinan untuk bertemu serta berbincang dengan masyarakat bukan Islam. Sementara negara seumpama Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah mesti sedia bersemuka dan berbincang dengan Hamas. Andai mereka bersedia berbincang dengan IRA, mengapa Hamas dipinggirkan? Malah dalam isu Iraq dan Afghanistan, asas penyelesaian yang saya luncurkan kepada masyarakat antarabangsa ialah berundur segera dari kedua-dua negara tersebut.
Dialog harusnya mestilah dengan mereka yang punyai keabsahan dari umat, dan bukan dengan mereka yang sekonyong-konyongnya mengaku mewakili umat walaupun memegang kekuasaan.
Acara seterusnya adalah pertemuan dengan Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla bersama Sdr Din Syamsudin dan teman-teman lainnya. Perbincangan seputar perkembangan politik mutakhir di Indonesia serta usaha memperkasakan umat agar tidak terus ketinggalan terutamanya ketika ekonomi dirundung kemelesetan.
Pada sebelah malamnya saya diundang ke acara makan malam anjuran Pusat Dialog dan Kerjasama Antara Peradaban(CDCC) di Menteng, Jakarta. Ternyata saudara Din Syamsudin dan pimpinan CDCC sudahpun menanti dengan hidangan enak nasi padang Indonesia.
Pagi tadi, saya bersarapan bersama pimpinan Hidayatullah dan kumpulan pelajar Islam Indonesia. Sabelum berlepas pulang, saya menemui saudara Rahmat Ismail.
ANWAR IBRAHIM

























