Archive for May 11th, 2009

11 May 2009

Pendapat

Pendapat Anda?

—KENYATAAN MEDIA UNTUK EDARAN SEGERA—

11 Mei 2009, Petaling Jaya- Alhamdulillah saya menyambut baik keputusan mahkamah tinggi hari ini yang mengistiharkan YAB Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin selaku Menteri Besar Perak yang sah. Keputusan tersebut merupakan satu kemenangan buat rakyat dan juga sistem demokrasi di negara ini. Kami menyeru agar YAB Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dengan segera dikembalikan jawatan beliau sebagai Menteri Besar Perak.

Keputusan hari ini membuktikan bahawa Perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi di negara ini. Makanya adalah mustahak bagi semua institusi kerajaan untuk menghormati semangat yang termaktub dalam perlembagaan. Ini termasuklah sistem pengasingan kuasa yang secara jelas menggariskan pengasingan di antara kuasa eksekutif, kehakiman dan juga perundangan. Sejajar dengan itu adalah penting untuk kita mengiktiraf sidang bawah pokok yang berlangsung pada 3hb Mac 2009 serta segala resolusi yang diluluskan pada hari tersebut.

Bagi menyelesaikan kemelut politik di Negeri Perak, Pakatan Rakyat tuntas dengan tuntutan agar Dewan Undangan Negeri dibubarkan serta merta. Ini untuk membolehkan rakyat menentukan kerajaan mana yang memperolehi mandat serta kepercayaan mereka melalui pilihanraya yang bakal diadakan nanti.

Kami yakin rakyat pasti memilih yang terbaik buat masa depan mereka dan negara ini. Sepanjang kemelut di Perak, Pakatan Rakyat menunjukkan iltizam untuk tetap teguh menjunjung keluhuran Perlembagaan serta konsisten membawa perubahan.

ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang

(more…)

11 May 2009

Pendapat

Pendapat Anda?

Dari Malaysiakini

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengumumkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar sah Perak setelah digugurkan jawatan tersebut awal bulan lalu.

Mahkamah juga memutuskan menteri besar BN Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan enam exconya mengosongkan dengan kadar segera pejabat mereka – di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh.

Dalam penghakimannya, hakim Abdul Aziz Abd Rahim berkata seseorang menteri besar hanya boleh dipecat melalui undi tidak percaya di DUN, seperti kes Stephen Kalong Ningkan.

Hakim menambah, dalam kes pelucutan Mohamad Nizar, tiada persidangan dewan diadakan untuk meluluskan usul sedemikian.

Dalam penghakimannya, Abdul Aziz berkata jika Sultan Perak mahu meletakkan Mohamad Nizar meletakkan jawatan, maka baginda sepatutnya mengambil sidang DUN untuk mengemukakan usul tersebut.

Permohonan peguam Zambry, Cecil Abraham untuk menangguhkan penghakiman tersebut ditolak oleh mahkamah.

Mengulas kemenangannya, menteri besar Pakatan Rakyat itu berkata beliau akan menghadap Sultan Perak berhubung penghakiman mahkamah tersebut.

11 May 2009

Pendapat

Pendapat Anda?

Bahang kemelut di Perak semakin membara hangatnya sehingga membuatkan Perdana Menteri bersedia bekerjasama dengan Pakatan Rakyat bagi menyelesaikan krisis perlembagaan tersebut.

Manakala sebagaimana yang sering saya ulangi, ranting zaitun yang dihulurkan demi kesejahteraan rakyat jelata pasti disambut dengan hati terbuka oleh Pakatan Rakyat. Namun, janganlah pula kesediaan ini dikhianati, di saat ranting zaitun dihulurkan, pisau belati tajam sudah siap menikam! Jikalau begitu sandiwara yang direncana, layak sahaja buah durian dibaling ke muka mereka yang menghulurkannya.

Krisis yang berlaku ini sememangnya menjadi pengajaran kepada mereka yang membelakangkan Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang demi kepentingan politik. Sudah pasti saya bersetuju dengan anjuran agar kita kembali merujuk undang-undang dan keluhuran Semangat Keperlembagaan bagi menyelesaikan kemelut di Perak.

Perlu diberi perhatian bila sahaja saranan kembali kepada Kedaulatan Undang-Undang dikemukakan, sudah tentu rakyat mahu diyakinkan bahawa sistem kehakiman bebas dari sebarang kongkongan politik penguasa, undang-undang kuku besi dimansuhkan dan tiada lagi sebarang gangguan terhadap mereka yang berbeda pendapat. Jika ini tidak dipenuhi kerjasama yang ditawarkan umpama mencurah air di daun keladi.

ANWAR IBRAHIM