Archive for May 9th, 2009

9 May 2009

Pendapat

Pendapat Anda?

Tatkala meneliti kenyataan Perdana Menteri, bahawa kononnya insiden di Perak berlaku lantaran Pakatan Rakyat tidak menghormati undang-undang dan memburukkan imej negara, sekonyong-konyong saya teringatkan lagu Allahyarham Tan Sri P Ramlee “Antara Senyum dan Tangis”.

Rakyat terus terkesima, apakah kenyataan itu satu lelucon baru ataupun satu lagi detik hitam ke atas demokrasi yang mahu ditalqinkan di bawah kepimpinan Umno-BN.

Lucu benar dibuatnya dek kerana satu dunia dapat menyaksikan bagaimana rakus dan terdesaknya kerajaan kudeta Umno-BN di Perak merampas kuasa sehingga tergamak memanipulasi seluruh instrumen kerajaan khususnya polis yang bertindak mengheret Speaker DUN, V Sivakumar keluar Dewan secara kasar dan agresif.

Pakatan Rakyat kekal komited menegaskan bahawa Sivakumar akan terus berkhidmat sebagai Speaker DUN Negeri Perak yang sah dari konteks undang-undang.
Tidak pernah berlaku dalam sejarah mana-mana persidangan dewan legislatif di dunia ini yang menyaksikan perlakuan sebegitu rupa dikenakan ke atas seorang Speaker Dewan mahupun mana-mana Ahli Yang Berhormat. Kita wajar berasa sedih dan sugul atas sindrom penafian yang semakin parah menjangkiti Umno-BN kini. Perlembagaan dan Undang-undang Tubuh Negeri dilacur rakus oleh mereka, walhasil Pakatan Rakyat juga yang terus dipersalahkan!

Maka benarlah, ia antara senyum atau tangis. Senyum memikirkan kedangkalan mereka yang tiada kesudahan, tangis tatkala memikirkan nasib negara yang berada di persimpangan.

Semoga dikuatkan iltizam kita oleh Yang Maha Esa agar demokrasi tidak terus ditalqinkan tanpa nesan oleh Umno-BN di bumi tercinta ini.

ANWAR IBRAHIM

9 May 2009

Pendapat

Pendapat Anda?

Kepada seluruh penganut agama Buddha di Malaysia saya ucapkan selamat menyambut Hari Wesak. Perayaan ini disambut rakan-rakan kita yang umumnya pengikut Mahayana dan Theravada bersempena hari kelahiran Gautama Buddha ribuan tahun yang lalu.

Secara literalnya Buddha membawa maksud mereka yang sedar ataupun dilimpahi nikmat pencerahan. Bagi mencapai tingkat kebahagian abadi ini, pengikut agama Buddha mestilah bebas dari dukkha; kesengsaraan kerana terikat dengan keinginan duniawi seperti tamak harta dan kerakusan kuasa.

Mereka yang meneliti prajna paramitha  akan menyebut “Gate gate paragate parasamgate bodhi svaha” demi mencapai tingkat nirvana dan ketenangan abadi, manakala umat Islam pula  dianjur untuk sentiasa mengingati Allah SWT agar senantiasa tenang sepertimana pesan Surah Al Radd. Ini menerbitkan rasa keinsafan betapa jalur perbezaan sesungguhnya semakin nipis dan hanya menjadi berita nestapa kepada mereka yang melaungkannya.

ANWAR IBRAHIM