

Tetamu istimewa yang hadir malam ini merupakan seorang tokoh ulama tersohor dari bumi Eropah; Dr Mustafa Ceric Mufti Besar Bosnia. Sahabat saya ini mengimami solat maghrib dan kemudiannya ketika menyampaikan cenderahati yang berupa kumpulan tulisan sarjana Muslim terbitan Universiti Leiden, beliau berkesempatan menerangkan kepada jemaah peranan Ibnu Rusyd sebagai rujukan para filasuf Barat di dalam membangun zaman Renaissance. Sungguh menarik apabila sahabat saya ini menukilkan di antara rujukan beliau merupakan karya George Makdisi berjudul “The Rise of Colleges. Seusai hidangan makan malam, acara malam ini disusuli pula dengan syarahan serta perbincangan dengan para tetamu yang terdiri dari para ulama, pimpinan Keadilan, Pas, Abim, Jim, PKPIM, GMI dan Forum Muslim Profesional.
Mauduk wacana mencungkil pengalaman Dr Mustafa sebagai seorang muslim di benua Eropah. Berdekad-dekad kita dipisahkan akibat label Timur dan Barat. Apatah lagi umumnya budaya, kepercayaan juga institusi sememangnya berbeda. Namun Bosnia pastinya menjadi pentas buat para sarjana dan pemikir memikirkan kembali konsepsi Barat dan Timur? Bahkan ada kemungkinan kekentalan wacana pemisahan ini semakin luntur. Saya bersama Dr Mustafa agar Bosnia bangun kembali sebagai Andalusia baru Eropah.
Kefasihan Dr Mustafa dengan falsafah pencerahan seperti Hobbes yang terkenal dengan Leviathan nya menghangatkan wacana. Tesis beliau mengenai masyarakat yang kononnya sekular itu sebenarnya di lapisan yang lebih dalam merupakan masyarakat yang kuat pegangan agamanya sudah tentu menyegarkan. Lihat sahaja Turki walau perlembagaannya jelas mengagung-agung sekularisme namun ajaran Islam masih kuat berakar dalam masyarakatnya.
Saya nukilkan pesan Dr Mustafa yang menggariskan petanda aras perubahan sebuah negara tirani kepada demokratik iaitu apabila berlakunya transisi dari perhambaan kepada kebebasan, dari kepercayaan karut kepada pemikiran rasional, dari penggunaan kuasa kuku besi kepada keluhuran perlembagaan dan akhirnya dari sebuah negara yang hanya berasaskan teori kepada sebuah negara yang mendapatkan keabsahan daripada rakyat jelata.
ANWAR IBRAHIM