Wejangan Ketuanan Rakyat #1

12 March 2009

Pendapat

Pendapat Anda?

Oleh Ahmad Nizam Hamid

‘When a new truth comes upon the earth or great idea necessary for mankind is born,where does it come from?It comes from men who have dared to be rebels and think their thought and their faith has been the faith of rebels’. (Clarence Darrow*)

Saya sememangnya mengosongkan seluruh kegiatan saya pada 8.3.2009 untuk menghadirkan diri ke majlis Pidato Kebangsaan dengan tema Ketuanan Rakyat di Shah Alam. Beberapa jemputan kenduri kahwin terpaksa saya`sembah mohon derhaka’ menguzurkan diri.
 
Saya tidak mahu melepaskan peluang untuk mendengar sendiri gagasan besar Ketuanan Rakyat yang dibentangkan oleh Dato Seri Anwar Ibrahim. Saya mahu berada disitu untuk mendengar dan menghadamkan sendiri tanpa melalui orang lain atau membaca melalui internet mahupun sumber `secondary’ yang lain.
 
Dan sememangnya perjalanan dari Temerloh ke Shah Alam tidak sia-sia.Saya menekuni intipati dari gagasan besar Ketuanan Rakyat menerusi pidato Anwar Ibrahim (dan kemudiannya mentelaah transkrip pidato yang dibekalkan) yang kepada saya begitu mencabar dan menyegarkan serta berani. Pidato Anwar Ibrahim yang diselangseli dengan humor beliau yang khas dan kadang-kadang sinis membidas tampaknya membuka ruang baru dalam pembinaan negara bangsa.

Pendekatan dan definisi Ketuanan Melayu yang dicanangkan itu tidaklah berupa sesuatu yang abstraks tetapi saya kira yang memperhatikan keperluan sebenar untuk membina negara bangsa yang utuh, demokratik serta persaudaraan diantara seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum. Dan saya melihat asas atau paksi kepada gagasan besar ini ialah memartabatkan harkat dan maruah rakyat didalam negara merdeka.
 
Walaupun demikian,saya melihat juga ada beberapa sisi lain yang perlu diambil kira didalam upaya memartabatkan Ketuanan Rakyat ini sebagai suatu idealogi politik yang mapan.InsyaAllah saya akan cuba mengupasnya didalam tulisan saya yang berikutnya.
 
Saya juga melihat keberanian Dato Seri Anwar Ibrahim menghidangkan gagasan besar ini;bukan calang-calang pemimpin yang punya keberanian,iltizam dan kekuatan moral untuk membawa gagasan sebesar dan sepenting ini yang tidak bersifat exclusive atau perkauman.Ketuanan Rakyat akan di lihat sebagai ancaman kepada Ketuanan Melayu yang menjadi propaganda UMNO sejak sekian lama.
 
Ertinya gagasan Ketuanan Rakyat yang diuar-uarkan oleh Anwar Ibrahim merupakan pendekatan politik yang keluar dari kepompong politik berasaskan kaum yang sempit yang sekian lama mendominasi iklim politik Malaysia.Untuk merombak suatu sistem politik yang berpaksikan kaum bukanlah suatu kerja yang mudah,malah,boleh sahaja dilihat sebagai `political suicide’ kerana telah sekian lama momokan Ketuanan Melayu ‘embedded’ didalam strata politik tanahair.
 
Namun sosok Anwar Ibrahim ini sememangnya menampakkan keperibadian seorang Negarawan yang ingin melihat negara bangsa terbina diatas sistem yang adil dengan demokrasi yang matang bagi memperkasakan rakyat.Siapakah yang punya keberanian untuk berdepan dengan sistem atau idealogi politik exclusive bersifat perkauman jika tidak mempunyai kekentalan semangat,fikrah dan iltizam bagi mempelopori gagasan yang meletakkan rakyat tanpa mengira bangsa,warna kulit dan pegangan agama sebagai keutamaan?
 
Saya kira UMNO/BN yang relevansi keujudan mereka diatas neraca kaum akan menambahgiatkan usaha memfitnah serta menyerang Anwar Ibrahim.Kelak akan berkumandang dengan hebat tohmahan sebagai penderhaka,menjual hak Melayu,alat Cina dan segala yang buruk serta jelek diada-adakan untuk dikumandangkan kepada rakyat khasnya orang Melayu di kampung dan ahli UMNO yang leceh minda mereka.
 
Seperti biasa UMNO tidak mempunyai kekuatan fikrah untuk berdebat dan berhujjah secara bijaksana.UMNO akan mengerahkan seluruh jentera Kerajaan tidak terkecuali media arus perdana untuk mengdiskredit Anwar Ibrahim dan gagasan Ketuanan Rakyat tanpa peluang diberikan untuk berhujjah.Beberapa orang pensyarah universiti tentunya dijemput untuk membicarakan secara setengah masak gagasan Ketuanan Rakyat ini guna mengelirukan rakyat.
 
Demikianlah kaedah yang akan digunakan oleh UMNO/BN.Mereka sebenarnya sudah kehabisan hujjah dan keberanian moral untuk berdepan dengan rakyat secara bijaksana.
 
Namun demikian,sebagaimana yang disebut oleh Dato Seri Anwar Ibrahim bahawa upaya untuk merealisasikan Ketuanan Rakyat perlu dilakukan segera yang memerlukan penyertaan seluruh rakyat.Ertinya upaya untuk membawa gagasan besar ini kepada masyarakat sewajarnyalah tidak dipikul oleh beliau seorang tetapi menjadi tanggungjawab semua pihak samada yang didalam parti mahupun diluar parti.
 
Amat sayang jika sekiranya gagasan besar dan semulia ini gagal dijayakan disebabkan kealpaan kita mahupun disebabkan sikap tidak acuh selain,saya bimbang jika ada yang masih terbelenggu didalam kerangka politik lama yang bersifat perkauman.Saya teringat akan pandangan dan kritikan Allahyarham Rustam A.Sani didalam bukunya,Fail Nation kerana kepada saya inilah waktu dan ketika yang terbaik untuk membina negara bangsa yang berdaulat yang boleh dilihat dari gagasan Ketuanan Rakyat itu sendiri.Segalanya sudah tersedia,perahu sudah di dalam air,pengayuh sudah di tangan,maka hanya kita yang perlu menentukan haluannya.
 
Saya juga terasa terpanggil untuk menceritakan pengalaman sesudah majlis pidato tersebut.Bersama dengan sahabat baik saya yang sememangnya komited dengan parti semenjak tahum 1999 lagi (dahulu aktif di Temerloh dan Maran dan setelah tukar ke Shah Alam tetap bersama perjuangan) kami berlabun di Restoran Pelita.Beberapa teman dari Selangor juga ada disana.Saya cuba membuka perbualan meninjau pandangan serta pendapat tentang Pidato Ketuanan Rakyat tersebut tetapi nampaknya saya jadi sedikit kecewa kerana bukan sahaja tidak ada tanggapan malah kelihatannya lebih seronok membicarakan siapakah yang dapat dan layak jadi Ahli Majlis Bandaraya dan sebagainya!Dan sememangnya kedongkolan saya memanjang hingga kembali semula ke rumah.
 
Sesungguhnya gagasan Ketuanan Rakyat bukanlah bersifat retoriks semata-mata.Didalamnya terisi kerangka besar untuk membina negara bangsa yang ulung dan bermaruah.
 
*Clarence Darrow (1857-1938) dianggap sebagai tokoh dinamik didalam pergerakan Civil Liberties di USA.Beliau merupakan seorang pengamal undang-undang tersohor,meninggalkan dunia korporat yang menjanjikan kemewahan untuk bergelumang dengan dunia rakyat biasa dan terpinggir. Quotation diatas bagi saya jelas menggambarkan sosok Saudara Anwar Ibrahim.
 
Nota Tambahan:
Saya juga berpeluang bertemu dengan Dato John Soh,seorang tokoh korporat yang menceburkan diri bersama KEADILAN.Saya cukup berbangga berkenalan dengan beliau dengan begitu mesra seolah-olah teman lama yang jarang bertemu.Terima kasih Dato John Soh diatas kemesraan dan komitmen saudara membina Malaysia baru.

Pendapat Anda

Switch to our mobile site