Oleh Ahmad Nizam Hamid
‘When a new truth comes upon the earth or great idea necessary for mankind is born,where does it come from?It comes from men who have dared to be rebels and think their thought and their faith has been the faith of rebels’. (Clarence Darrow*)
Saya sememangnya mengosongkan seluruh kegiatan saya pada 8.3.2009 untuk menghadirkan diri ke majlis Pidato Kebangsaan dengan tema Ketuanan Rakyat di Shah Alam. Beberapa jemputan kenduri kahwin terpaksa saya`sembah mohon derhaka’ menguzurkan diri.
Saya tidak mahu melepaskan peluang untuk mendengar sendiri gagasan besar Ketuanan Rakyat yang dibentangkan oleh Dato Seri Anwar Ibrahim. Saya mahu berada disitu untuk mendengar dan menghadamkan sendiri tanpa melalui orang lain atau membaca melalui internet mahupun sumber `secondary’ yang lain.
Dan sememangnya perjalanan dari Temerloh ke Shah Alam tidak sia-sia.Saya menekuni intipati dari gagasan besar Ketuanan Rakyat menerusi pidato Anwar Ibrahim (dan kemudiannya mentelaah transkrip pidato yang dibekalkan) yang kepada saya begitu mencabar dan menyegarkan serta berani. Pidato Anwar Ibrahim yang diselangseli dengan humor beliau yang khas dan kadang-kadang sinis membidas tampaknya membuka ruang baru dalam pembinaan negara bangsa.

















