Mengenang 100 tahun Mohammad Natsir

10 January 2009

Pendapat

Pendapat Anda?


Pertemuan julung kali dengan Pak Natsir adalah juga introduksi saya secara intim dengan Indonesia. Ini berlaku dalam tahun 1967 bila hubungan diplomatis antara kedua-dua negara pulih setelah mengalami konfrontasi. Sebelum pertemuan tersebut saya hanya menghidu Indonesia dari sedikit pengetahuan sejarah melalui novel-novel Abdoel Moeis, Marah Rosli, Hamka dan lain-lain. Apa yang terkesan kepada saya sehingga hari ini, dari pertemuan yang pertama itu adalah sosok, sikap dan tingkah beliau yang amat sederhana.

Kurang lebih dua bulan lalu apabila saya diminta untuk menulis satu artikel mengenai Pak Natsir oleh Majalah Tempo, peluang tersebut saya gunakan untuk menonjolkan Mohammad Natsir yang bukan sahaja sederhana bahkan sorang tokoh politik yang intelektual. Melalui karya beliau Capita Selecta, terserlah sosok intelektual Muhammad Natsir, melaluinya saya mengenali Henri Pirenne, nama tersebut mungkin kurang dikenali tetapi di zaman itu tesis Pirenne mencetuskan polemik besar di universitas-universitas di Eropah dan pengkaji-pengkaji tamadun Barat. Muhammad et Charlemagne yang ditulis oleh Pirenne melontarkan gagasan bagaimana Islam menjadi faktor penentu di dalam sejarah Eropah.

Tesis Pirenne itu kemudiannya dikutip kembali oleh Syed Hussien al Attas, tatkala membentangkan kertas The Reconstruction of Malaysian History dan oleh Syed Naguib al Attas, apabila menyampaikan syarahan perdana Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu.

Untuk berlaku adil kepada negarawan dan tokoh besar saperti Pak Natsir, generasi muda harus menghadam karya terpilih almarhum seperti Capita Selecta dan Fiqhud Daawah. Teks Fiqhud Daawah umpamanya digunakan ABIM sebagai rujukan. Teks tersebut juga diterjemahkan ke dalam bahasa jawi dan apabila Pak Natsir menelitinya, beliau kelihatan terharu, mungkin kerana ikatan kebudayaan.

Pak Natsir memperlihatkan teladan kepada kita semua bagaimana sosok yang terkenal berpegang erat dengan prinsip perjuangan Islamnya, juga sorang yang tuntas memperjuangkan demokrasi berperlembagaan Republik Indonesia sehingga dipenjara dan senantiasa diintimidasi. Ketokohan dan keperibadian saperti beliau sememangnya sukar dicari ganti.

Moga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau dan ditempatkan bersama orang-orang saleh.

ANWAR IBRAHIM

Pendapat Anda

Switch to our mobile site